|
PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) masih gagal menyelesaikan masalah pemberian pinjaman dengan teratur dan cepat kepada pelajar, menyebabkan banyak di antara kami menderita.
Setiap kali kami merujuk masalah kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar, pegawai HEP akan meminta kami merujuk kepada PTPTN, sedangkan perjalanan untuk ke PTPTN sendiri sudah membebankan kami yang miskin ini.
Pihak universiti mudah sahaja melepaskan masalah kepada PTPTN, tanpa berusaha untuk membolehkan kebajikan pelajar diatasi, sedangkan tugas asasi mereka adalah untuk membantu pelajar.
Kerana kegagalan PTPTN ini, kerajaan khususnya Menteri pengajian Tinggi, Datuk Dr Shafie Mohd Salleh turut dipersalahkan.
Pelajar-pelajar propembangkang termasuk persatuan haram seperti Solidaritas Mahasiswa turut mengajak kami untuk bersama-sama dengan mereka untuk mengadakan tunjuk perasaan dan sebagainya.
Oleh sebab duit menjadi faktor utama yang boleh meneruskan pengajian kami di kampus, seruan dan pujukan pembangkang menjadi begitu indah kepada kami, walaupun kebanyakan mahasiswa adalah bersama-sama dengan aspirasi kerajaan.
Justeru, saya ingin mengusulkan supaya PTPTN diurus sendiri oleh bank komersial kerana mereka mempunyai dana yang cukup, selain memiliki kecekapan yang tinggi.
Jika sejak dari awal PTPTN diurus oleh bank, saya tidak fikir masalah lewat pembayaran akan timbul dan dalam masa sama kerajaan tidak dituduh dengan pelbagai tohmahan kerana kelemahan pentadbiran PTPTN.
| |
Bank juga mesti berminat untuk mengurus pinjaman kepada pelajar kerana merekajuga akan mendapat keuntungan yang besar. Malah, dana PTPTN yang sudaj diberikan kepada pelajar kini sudah mencecah RM7 bilion.
Jika bank diberikan sejumlah wang yang sama, tentunya bank dapat menjadikan wang berkenaan bertambah berlipat kali ganda.
Dalam isu kutipan balik pinjaman, bank juga mempunyai jentera dan teknologi yang berkesan untuk mendapatkan balik sama ada selepas tiga tahun atau selepas enam bulan, tertakluk kepada dasar yang ada.
Sekarang ini PTPTN diurus oleh kakitangan kerajaan dan saya difahamkan bekas PTD yang tidak mempunyai pengalaman luas mengenai pinjaman. Ketua Eksekutifnya juga khabarnya PTD pencen.
Kos pengurusan seperti membayar gaji Ketua Eksekutif , Timbalan dan kakitangannya yang ramai, menyebabkan banyak wang terpaksa disalurkan kepada mereka.
Jika bank menguruskan dana ini, tentunya bank dapat menggunakan kakitangan sedia ada yang kos pengurusannya jauh lebih rendah, berbanding kos membayar gaji dan mesyuarat di hotel-hotel bagi kakitangan PTPTN.
Jika kerajaan tidak mahu selalu dipersalahkan, serahkan PTPTN kepada bank komersial seperti Maybank, AM Bank atau RHB, biar mereka menguruskan.
Shamsinar Rafiuddin
UKM, Bangi
|