|
Pada pertengahan tahun lalu, laman web PMIUM (www.pmium.com) telah menyerang Dato Razali Agus, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Malaya. Menyedari serangan itu akan membawa padah, webmaster laman itu secara tiba-tiba telah memansuhkan dengan segera artikel yang dianggap mengundang padah itu. Kenapa dikatakan begitu ? Kerana penyiaran laman web dan penulisan artikel-artikelnya bersalahan dari segi AUKU dan boleh dituduh berniat jahat untuk mencemar imej individu dan universiti.
Laman web haram
Tentu ramai yang tertanya-tanya kenapa begitu berani PMIUM menyerang TNC HEP menggunakan laman web persatuan yang dibina secara haram. Berani menggunakan instrumen haram berwadahkan logo dan organisasi rasmi PMIUM mengecam dan mengutuk wakil universiti tanpa sebarang tindak balas.
Kalau di Universiti Utara Malaysia, persatuan itu mungkin dibubarkan dan pengendalinya akan dikenakan tindakan tatatertib seperti yang pernah terjadi ke atas Mohd Rizal Mat Anan yang telah membina laman haram “Sintok.com”
Menjadi satu rahsia, kenapa dengan tiba-tiba PMIUM menyinga seperti seekor singa, rakus membaham mangsanya seperti lagak bahawa kuasa PMIUM adalah lebih tinggi daripada kuasa Naib Canselor, yang boleh menjatuhkan hukuman mengikut budi bicaranya. Walhal Naib Canselor boleh menggunakan kuasa mutlaknya menggantung atau membubar sesuatu organisasi yang telah melencong daripada landasan penubuhannya.
Misalnya penyiaran artikel bertajuk “PMIUM mendesak TNC HEP memohon maaf” yang sebelum ini dimansuhkan dengan tiba-tiba, membayangkan pimpinan PMIUM sudah memasang niat untuk bermusuh dengan pihak universiti, terutamanya TNC HEP dan institusi di bawah jagaannya. Bagi PMIUM, baik TNC HEP ataupun institusi HEP semuanya ‘musuh’ yang harus diperangi secara habis-habisan. Lalu dibina laman web rasmi persatuan secara haram untuk menyampaikan benih-benih kebencian di kalangan ahli dan meraih simpati seluruh mahasiswa IPTA untuk memalukan imej TNC HEP dan nama baik universiti secara amnya.
Sememangnya banyak teka-teki yang cuba disembunyikan oleh persatuan yang berusia 48 tahun itu. Yang dizahirkan kebiasaannya hanyalah bersifat ‘dummy’ untuk menyembunyikan agenda tersirat, tetapi sekurang-kurangnya yang zahir boleh dijadikan kata kunci untuk memahami apa yang sebenarnya sedang bergolak di kalangan pimpinan dan ahli-ahlinya.
Qardhul Hassan
Walaupun PMIUM berusaha menyembunyikan segala kegiatan-kegiatan dalamannya, tetapi dalam laporan tahunannya turut menyebut satu perkataan yang aneh iaitu “Qardhul Hassan”. Selain daripada menggunakan istilah bahasa Arab, “Qardhul Hassan” dikatakan merujuk kepada satu sistem pemungutan dan pinjaman kewangan di kalangan ahli.
Memandangkan Catatan laporan itu tidak mencatatkan secara terperinci tentang “Qardhul Hassan” sudah membayangkan aktiviti ini dijalankan secara haram dan PMIUM berusaha sedaya mungkin supaya tidak diketahui umum.
Ini akan mengundang beberapa pertanyaan lain, seperti dari manakah sumber kewangan itu diperolehi untuk memenuhi tabung “Qardhul Hassan”, berapakah jumlahnya, di mana wang itu disimpan dan bagimanakah cara pengurusan wang tersebut. Sekiranya wang itu tidak ditabung oleh pihak-pihak tertentu, apakah benar terdapat sistem “peras ugut” pengutipan wang sepertimana yang didedahkan oleh bekas-bekas ahli yang telah keluar daripada PMIUM.
Ini akan mengesahkan tuduhan bahawa PMIUM sedang menjalankan aktiviti haram, memperjudikan mata wang yang bersalahan dengan AUKU. Seksyen 15, AUKU, menyebut secara jelas setiap mahasiswa atau organisasi ditegah daripada mengutip dana, menyimpan dan membahagi-bahagikan kewangan kepada ahli-ahlinya. Larangan itu merupakan kesalahan besar kerana individu dan organisasi boleh menyalahgunakan kewangan untuk tujuan-tujuan tertentu. Apatah lagi tiada laporan kewangan dan audit daripada pihak universiti.
| |
Baitul Muslim
Lebih tragedi lagi apabila PMIUM dikatakan sedang menjalankan aktiviti perkahwinan secara rahsia di kalangan ahli-ahlinya di bawah kelolaan satu unit yang dinamakan “Baitul Muslim”
Dikatakan dalam sistem ini, seorang individu yang dipercayai oleh ‘jemaah’ telah diberi peranan untuk mengatur jodoh di kalangan ahli-ahlinya. Aktiviti ini dijalankan secara rahsia tanpa pengetahuan pihak universiti.
Sistem yang sama pernah dipraktikkan dalam al Arqam, untuk mengikat dan memperkukuhkan ahli-ahlinya. Kes ini terbongkar apabila al Arqam diharamkan oleh kerajaan Malaysia kerana mempraktikan amalan yang bertentangan dengan akidah Islam.
Modus operandi rahsia
Menurut sumber dalaman, PMIUM mempunyai dua wajah iaitu wajah rasmi yang dikenali sebagai “Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya” dan wajah underground yang dikenali sebagai ‘jemaah’. Dikatakan wajah underground lebih berkuasa daripada wajah rasmi yang dianggap sebagai dummy. Penciptaan wajah dalaman ini adalah untuk menyamai modus operandi parti PAS, sebagai kuasa di sebalik tabir yang menggerakkan organisasi itu. Lebih menyakinkan PMIUM menggunakan istilah-istilah yang digunakan oleh parti PAS, walaupun tidak termaktub dalam AUKU. Misalnya penggunaan istilah Muktamar Senawi bagi menggantikan istilah ‘mesyuarat agung’ yang termaktub dalam AUKU. (rujuk carta 1)
Dikatakan organisasi ‘jemaah’ diketuai oleh seorang amir (ketua lelaki) dan amirah (ketua perempuan) dan setiap kawasan diseliakan oleh mas’ul. Selain itu terdapat beberapa jawatankuasa yang menggerakkan organisasi yang dikenali sebagai lajnah. Amir, amirah, mas’ul dan ketua lajnah kebiasaan orang yang berlainan daripada pemegang jawatan dalam PMIUM. Namun begitu, Amir melalui “majlis syura” berhak mengarahkan orang-orang tertentu dalam jemaah dalaman untuk memegang jawatan dalam PMIUM.
Sistem rahsia
Dikatakan PMIUM tidak mengikuti sistem yang telah digariskan oleh universiti, sebaliknya menggunakan sistem rahsia yang telah diperkenalkan oleh ustaz Mohamed Hussein, bekas Presiden PMIUM pada tahun 1983. Dalam sistem rahsia ini diperkenalkan peringkat-peringkat pemerosesan ahli iaitu bermula dengan usrah, tamrin dan bai’ah. Tujuan sistem ini diperkenalkan untuk memastikan ahli-ahli diberi ancaman agama supaya terus taat setia, bersedia sedia berkorban, wang masa dan tenaga untuk memastikan kelangsungan jemaah yang berideologi parti PAS terus menyerap ke dalam kampus.
Sistem ini berjaya merekrut Zulkifli Yusof, sebagai Presiden PMUM (sekarang ketua Jabatan Pengajian al Quran Sunnah), Zuhdi Marzuki, bekas Timbalan Presiden PMIUM (sekarang pensyarah Fakulti Sains dan exco Pemuda PAS pusat), Ishak Sulaiman, bekas Presiden PMIUM (sekarang pensyarah Akademi Pengajian Islam), Anwar Ridwan Zakaria, bekas Presiden PMIUM (sekarang tenaga pengajar sambilan Akademi Pengajian Islam), Khoirul Anwar Mat Zuki, bekas Presiden PMIUM (sekarang presiden pertubuhan haram yang dikenali sebagai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan ramai lagi.
Sebenarnya banyak lagi agenda PMIUM atau jemaah yang telah dirahsiakan. Justeru itu pihak universiti dan pihak berkaitan patut menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Persamaan istilah PMIUM dan PAS
| PMIUM | PAS | Piawai |
| Lajnah | Lajnah | Jawatankuasa |
| Syura | Syura | Mesyuarat |
| Muktamar Sanawi | Muktamar Sanawi | Mesyuarat Agung |
| Tamrin | Tamrin | Kem |
| Liqa' | Liqa' | Perjumpaan |
| Tarbiyyah | Tarbiyyah | Pendidikan |
| Siasah | Siasah | Politik |
| Naqid | Naqid | Fasilitator |
| Tanzim | Tanzim | Organisasi |
| Manhaj | Manhaj | Silibus |
| Ta'aruf | Ta'aruf | Suaikenal |
| Mad'u | Mad'u | Sasaran Dakwah |
|