Idealis Mahasiswa
 
 

Anwar tidak relevan di Sarawak ?


Hit = [ ]

sumber - Malaysia-today

Semenjak bertanding kali pertama di pentas Pilihan raya dalam tahun 1999, Keadilan atau singkatan barunya PKR, tidak pernah berjaya mencuri satu kerusi pun di Sarawak. Ia kerap ditertawakan serta dipersenda oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) dan politikus kedai kopi. Mana tidaknya, kerelevanan PKR pun sukar untuk dilihat dalam konteks Sarawak. Lebih-lebih lagi titik temu PKR dan politik Sarawak ialah kegagalan peribadi.

Jika PKR dibangunkan untuk membangkitan Keadilan bermodalkan laungan reformasi, orang biasa di Sarawak melihat ia lebih merupakan suatu kenderaan bagi penyokong setia Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperjuangkan wira mereka di Tanah Besar Malaya. Selain penyokong setia, sudah tentulah golongan opportunis yang gagal mendapat tempat dalam arus perdana mencuba nasib, untuk mendapatkan kuah sesudah gagal meraih isi.

Payung baru golongan kecewa

Ia cukup jelas di Sarawak. PKR dibangunkan oleh runtuhan serpihan Pesaka Bumiputera Bersatu yang dulunya bernama Persatuan Rakyat Malaysia (Permas), Keadilan kini dikemudi oleh seorang bekas Menteri negeri, Datuk Hajah Hafsah Harun. Permas seperti yang kita tahu dipimpin oleh Tun Abdul Rahman Ya'akub, bapa saudara Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Tun Rahman merupakan bekas TYT dan Ketua Menteri Sarawak.

Pendokong-pendokong lain silih berganti, bermula dengan pemimpin sulungnya, Yusuf Abdul Rahman, sebelum berpindah ke tangan Hafsah, saling berkaitan. Yusuf merupakan anak angkat Tun Rahman. Dalam erti kata lain, sepupu angkat Taib Mahmud.

Setiausaha perhubungan PKR, Wan Zainal Wan Senusi, bekas orang kuat PBB, tidak lain tidak bukan adik kepada Wan Wahab Wan Senusi, ADUN Sadong Jaya. Mereka pernah bertembung di pentas pilihan raya zaman kemuncak perseteruan politik, namun ramai berpendapat itu semua sandiwara sahaja, lebih-lebih lagi pertandingan satu lawan satu mereka masih tercatat dalam sejarah sebagai tempoh kiraan undi paling cepat.

Begitu juga nama-nama lain yang mewarnai Keadilan seperti bekas Menteri Pelajaran Dato (dibeli dari Mindanao) Bujang Ulis, yang kini sudah kembali menyertai UMNO. UMNO? Mengapa UMNO? Mungkin pintu PBB sudah ditutup rapat oleh bekas rakan seperjuangannya bagi Bujang. Untuk terus hidup, maka Bujang cuba berbaik-baik dengan bosnya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang suatu ketika dahulu menjadi Menteri Pelajaran. Setidak-tidaknya bisnes Bujang membekalkan rasion ke sekolah tidak tertutup terus, nak makan.

Politik peribadi

Nama-nama pejuang professional parti itu juga sudah mulai lenyap dari persada, berbeza dengan nyalaan hebat semangat reformasi awal pertumbuhannya di Sarawak. Kita tidak lagi mendengar khabar Zulrusdi Mohd Hol anak muda bekas pengurus Bank yang mencabar Taib di Kota Samarahan, Dr Udie Salleh, Ustaz Hamdan, Dominique Ng, malah ada nama yang sudah tidak dapat kita ingati lagi. Untuk berlaku adil, Dr Udie serta Dominic bukanlah nama baru dalam politik Sarawak.

Semua orang tahu, Dominic, menyelinap masuk ke dalam Keadilan kerana tidak mendapat tempat untuk bertanding di Bandar Kuching atas tiket DAP. Kerusi itu diberikan kepada Chong Chieng Jen pada tahun 1999, menyebabkan Dominic keluar DAP serta menyertai Keadilan. Namun, bila Keadilan memberikan laluan kepada DAP dalam permuafakatan Barisan Alternatif, Dominic keluar Keadilan lalu bertanding atas tiket bebas, lalu kedua-duanya kalah walaupun Dominic mendapat lebih banyak undi. Ini membuatkan ramai tertanya-tanya apakah Keadilan hanya hendak dijadikan saluran untuk melunaskan keperluan peribadi yang terhalang?

Bagi Dr Udie pula, peluang untuk bertanding atas tiket Keadilan merupakan sesuatu yang mustahil dilepaskan begitu sahaja setelah gagal merebut kerusi atas tiket Bebas. Namun pertaruhannya gagal lagi bila ditewaskan dengan mudah oleh calon BN. Kini seperti orang lain Dr Udie juga sunyi sepi. Khabarnya takut peluang adiknya Len Talif Salleh untuk naik terjejas. Len mendapat tempat istimewa di mata Taib setelah memainkan peranan cemerlang selaku Pengurus Besar STIDC. Biasalah semua manusia jika diperhalusi sama ada suka atau tidak, dalam apa keadaan sekalipun terpaksa mengutamakan perjuangan peribadi.

Semuanya kini senyap sunyi, tiada berita. Bagaikan cendawan musim hujan, suara sumbang mereka berpidato hanya akan muncul, itupun jika muncul, menjelang pilihan raya yang bakal menjelma. Kalau ada pun, mungkin cuma saudara Dominique Ng sesekali mencelah dalam akhbar menjadi wira golongan setinggan yang dirobohkan.

Pengaruh Taib

Bagi rakyat Sarawak, terutama masyarakat berpendidikan rendah Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah seperti penjenayah-penjenayah yang lain yang sudah disabitkan bersalah. Momokan serta tuduhan yang dijalankan ke atas Anwar berjaya mencalar reputasinya di mata orang kampung yang hanya mampu membaca 'face value' sesuatu isu.

Jika rakyat Malaysia sudah dapat melihat lebih jauh daripada sekadar ’in between the lines’, masakan BN akan terus berkuasa di Sarawak sedangkan penyelewengan yang dihalalkan sudah diterima sebagai suatu nilai biasa.

Bagi mereka, keluarga Abdul Taib merupakan golongan bangsawan yang kaya-raya serta berjaya kerana kemampuan mereka memenangi segala projek atau kontrak utama kerajaan. Keluarga Taib tiada tolok bandingannya kerana saban tahun ada sahaja yang dianugerahkan gelaran Datuk. Taib sememangnya seorang pemimpin agung yang mempastikan semua projek pembangunan di Sarawak berjalan lancar.

Kebijaksanaan Taib menjaga kepentingan masyarakat Islam luarbandar menjamin kemenangan calon-calon BN di kawasan majoriti Melayu/Melanau Islam tanpa sebarang saingan sengit.

Boleh dikatakan semua kampung masyarakat Islam di Sarawak sudah mendapat bekalan air, jalanraya bertar, bekalan elektrik dan air bersih. Jika ada di antara mereka yang mendakwa masih dipinggirkan oleh Taib, mereka perlu melihat serta membandingkan taraf hidup mereka dengan kawsan bumiputera bukan Islam.

Hasilnya, hampir semua calon BN di kawasan terbabit menang tanpa bertanding. Politik pembangunan Taib cukup berkesan. Rakyat di luar bandar cukup simple. Kawasan bukan Melayu lain cerita, itu terletak di bahu pemimpin mereka sendiri.

Kerelevanan Anwar

Anwar tidak dikenali umum di sini, kecuali sekumpulan kecil masyarakat Melayu bandar yang melihatnya sebagai idola. Sehinggakan kumpulan orang-orang miskin ini tanpa berfikir dua kali untuk mendermakan wang bagi tujuan perjuangan Keadilan sewaktu kempen pilihan raya, sedangkan mereka sendiri hidup merempat. Mereka cuma mengharapkan Anwar dapat mengubah nasib mereka yang kononnya sudah ditindas pimpinan BN. Namun bila isu-isu yang dibangkitkan serta dimanipulasi oleh Keadilan dibaca serta difahami oleh Taib, rakyat sudah tidak punya sebab untuk terus menyokong Keadilan.

      

Keadilan seringkali dilihat sebagai sebuah parti yang hanya muncul sebelum pilihan raya. Apatah lagi Anwar tidak mempunyai platform kukuh untuk mendirikan panji-panji Keadilan. Pejuang yang cuba mengibarkan bendera Keadilan Sarawak hanyalah ahli-ahli politik yang tidak pernah menang dalam pilihan raya sehinggakan ada di antara mereka dilabelkan sebagai politikus kecewa.

Kewujudan mereka sering dilihat sekadar memperlengkapkan pilihan raya tanpa mendatangkan sebarang impak besar terhadap pilihan raya, apatah lagi untuk menang. Malahan dalam pilihan raya negeri dalam tahun 2001, majoriti calon Keadilan hilang wang pertaruhan.

Nama parti Keadilan seperti biasa akan tenggelam dalam lipatan sejarah sehinggalah menjelang pilihan raya maka berterbanganlah Ezam, Wan Azizah, Nurul Izzah, Saifuddin Nasution, menyusup masuk untuk berceramah. Isu yang dibawakan untuk ceramah pula sering tersasar, jelas menunjukkan mereka tidak ikhlas selain cuba untuk memenangi pilihan raya.

Politik penglipur lara

Kadang-kadang, jika kita amati secara terperinci, budaya politik PKR tidak begitu relevan dengan Sarawak. Orang kampung hanya melihat kehadiran Ezam, Wan Azizah serta Nurul Izzah sebagai penglipur lara atau dalam bahasa tempatan Tukang Ensera. Nurul Izzah yang tidak petah bercakap sememangnya mengecewakan para peminat yang mengkagumi kecantikannnya setelah beliau bersuami. Keadilan mencuba segala-galanya untuk meraih undi termasuk merayu simpati terhadap apa yang diperlakukan terhadap Anwar.

Begitu juga Ezam. Ucapannya terlalu dangkal serta jarang disokong oleh fakta yang kukuh. Ketika berceramah, Ezam cuma melaung-laungkan kononnya anak Taib, Tun Dr Mahathir Mohammad serta Tun Ling Liong Sik bekerjasama menggondolkan hutan Sarawak. Dia tidak pula berani menyebutkan nama syarikat atau nama-nama anak pemimpin terbabit secara spesifik. Apa yang diutarakan selalunya hanyalah tuduhan liar yang gagal disokong oleh fakta bernas.

Rakyat sudah semestinya terhibur dengan kepetahan beliau berucap, namun adakah kehadiran ribuan orang itu wajar dijadikan ukuran sekiranya peti undi hanya terisi oleh pangkahan yang memihak BN? Orang kampung hanya datang untuk berhibur sambil mendengar ceramah yang disulami lawak-lawak pedas. Mereka tidak menilai pemimpin Keadilan untuk memerintah sekadar berdasarkan kemampuan mereka berceramah. Ia membuatkan parti Keadilan tidak dapat berbuat apa-apa selain menyanyikan alasan demi alasan.

Malahan ketika kalah dalam tahun 1999, Keadilan cuba menjadikan kejadian 'blackout' semasa mengira undi sebagai alasan. Peti undi kononnnya ditukar. Adakah peti undi juga ditukar ketika kalah teruk dalam tahun 2001 (pilihan raya negeri) dan tahun 2004?

Sejarah silam Anwar

Bagi sesetengah penduduk luar bandar, mereka tahu Anwar Ibrahim bukanlah mesra Sarawak sepertimana yang cuba dilaungkan isterinya sewaktu berkempen. Malahan ramai yang tahu bahawa permohonan YB-YB mereka sering ditolak Anwar. Malahan kata-kata Anwar 'Sarawak is not the only State in the country' ketika menolak permohonan untuk membangunkan projek luar bandar masih terngiang-ngiang di telinga ramai orang.

Ketika menjadi TImbalan Perdana Menteri serta Menteri Kewangan, Anwar sering mengggunakan suasana ekonomi yang gawat sebagai alasan bagi menolak permohonan untuk mendapatkan skim pengairan masyarakat luar bandar yang menjadi penentu sama ada rakyat luar bandar dapat menyara keluarga atau tidak. Mungkin kerana kejahilan serta tidak sensitif dengan masalah orang miskin luar bandar yang dihantui oleh masalah tanaman dibanjiri air masin, projek-projek itu sering ditolak Anwar semata-mata kerana jumlah yang dipohon besar.

Ini membuatkan nama Anwar tidak begitu popular di luar bandar kerana tindakannya itu sudah semestinya diluahkan oleh mangsa politik 'Cold Storage' Anwar kepada rakyat bila beliau tidak lagi berkuasa. Anwar perlu membuktikan bahawa beliau sudah bersih daripada keagresifan serta kecenderungannya untuk menerjah.

Percaturan di kawasan majoriti Cina

Jika segalanya berjalan lancar, Keadilan mungkin mendapat laluan untuk bertanding di kerusi Padungan serta Batu Kawah daripada DAP. Di atas kertas, Padungan mungkin berada dalam genggaman pembangkang kerana rakyat sudah nyata sudah muak dengan budaya membazir serta bongkak sesetengah pemimpin BN. Padungan mungkin dijadikan saluran untuk menyatakan protes.

Namun, identiti serta pengalaman silam mereka membuatkan undi mungkin terbahagi kerana masyarakat Tionghua masih sangsi terhadap politik 'firebrand' Anwar. Mereka masih melihat Anwar sebagai seorang ultra-nasionalis Melayu yang sukar untuk berkompromi dengan bangsa-bangsa lain serta penganut agama selain Islam.

Jika pihak Keadilan berjaya mengikis itu semua dan membuktikan mereka bukannya sekadar sebuah parti politik picisan yang hanya terbit di bumi Sarawak menjelang pilihan raya, mungkin mereka akan diterima rakyat. Setakat ini, majoriti penyokong Keadilan sudah meninggalkan parti itu kerana mereka tidak mendapat apa-apa selain tekanan yang amat dahsyat daripada parti pemerintah sebagai hadiah perjuangan mereka. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang memasuki Keadilan dengan harapan mendapat habuan.

Keadilan bakal gagal lagi

Jika mood politik penduduk tempatan hendak diambilkira, Keadilan pasti menghadapi jalan sukar untuk mencuri kerusi di kawasan majoriti Melayu/Melanau Islam. Jika mereka hendak mencuba nasib di kawasan Bumiputera bukan Islam, kita tidak pasti wujud atau tidak jentera parti itu di sana. Malahan pemimpin Keadilan sendiri mengakui jentera mereka sudah kucar-kacir serta sedang dirombak bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang.

Bagi masyarakat luar bandar, calon Keadilan tidak lebih daripada politikus-politikus lain yang menjanjikan segala-galanya sewaktu pilihan raya namun lenyap ditelan bumi sebaik kempen berakhir.

Kita tidak tahu bagaimanakah Keadilan dapat membangunkan jentera partinya dalam masa yang singkat sedangkan tidak ramai yang berani untuk dikaitkan dengan parti itu secara terbuka, apatah lagi untuk mengaku menjadi ahli atau penyokong. Budaya politik Sarawak cukup berbeza berbanding Semenanjung.

Untuk memburukkan lagi keadaan, ramai pemimpin serta ahli parti peringkat bahagian mahupun cawangan sudah meningggalkan parti itu berikutan ketiadaan hala tuju. Tinggal hanya saki-baki pemimpin tertinggi yang punyai sumber pendapatan tetap cuba menegakkan sisa-sisa perjuangannya sebaik Anwar dibebaskan. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam...





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved