|
Keputusan pemilihan Umno bahagian Permatang Pauh semalam telah menamatkan desas-desus yang mengatakan bayangan bekas ketua bahagian itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih kuat di situ, kata ketua bahagian itu yang baru dipilih, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.
Katanya walaupun bayangan Anwar masih wujud di bahagian itu, tetapi ianya semakin hari semakin pudar memandangkan orang Melayu mula menerima hakikat bahawa Umno adalah parti yang memperjuangkan nasib mereka.
Pemilihan bagi bahagian tersebut menarik perhatian ramai kerana ia merupakan bahagian yang pernah dipimpin oleh Anwar sebelum beliau dipecat dari parti dan kerajaan pada September 1998.
Selepas itu, Umno bahagian Permatang Pauh dipimpin oleh Datuk Ahmad Saad yang memenangi pemilihan bahagian pada tahun 2001 selepas menewaskan Datuk Adnan Ramli, bekas timbalan ketua bahagian ketika itu.
Bahagian itu juga merupakan terletak dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh yang dimenangi oleh parti Keadilan dalam pilihanraya umum tahun lalu.
Ahmad, 58, bagaimanapun digugurkan oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno dan melantik Abdul Jalil, 51, sebagai ketua penaja bahagian itu pada November 2003.
Undi rosak
Dalam mesyuarat 87 cawangan dalam bahagian tersebut Jun lalu, Abdul Jalil mendapat 57 pencalonan manakala Ahmad pula mendapat 31 pencalonan.
Dalam pertandingan semalam, Abdul Jalil (gambar) memperolehi 185 undi untuk menewaskan Ahmad dengan majoriti 27 undi. Ahmad memperolehi 158 undi, dengan 17 undi rosak. Pemilihan itu disertai 360 perwakilan daripada 87 cawangan dalam bahagian tersebut.
Bahagian Permatang Pauh merupakan satu-satunya bahagian daripada keseluruhan 191 bahagian Umno di seluruh negara yang belum mengadakan persidangan perwakilan.
Persidangan bahagian itu sepatutnya diadakan pada 18 Julai 2004, tetapi ditangguhkan oleh Majlis Tertinggi (MT) kerana petisyen pilihanraya kawasan Parlimennya sedang didengar oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ketika itu. Petisyen itu dikemukakan oleh calon Barisan Nasional, Datuk Pirdaus Ismail.
Pirdaus tewas kepada calon Keadilan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 590 undi. Wan Azizah mendapat 21,737 undi manakala Pirdaus Ismail memperolehi 21,147 undi.
Pada 28 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mengisytiharkan pilihanraya Parlimen Permatang Pauh pada 21 Mac lalu adalah sah di sisi undang-undang selepas menolak dengan kos petisyen tersebut.
| |
Dahagakan pembaharuan
Sementara itu, Bernama melaporkan Abdul Jalil sebagai berkata, beliau menyedari ahli-ahli Umno bahagian Permatang Pauh “dahagakan” pembaharuan dalam kepimpinan Umno dan mereka juga “dahagakan” pembangunan untuk dibawa masuk ke bahagian itu.
“Keputusan pemilihan hari ini membayangkan politik Umno di bahagian Permatang Pauh kembali pulih. Dengan mandat yang kami perolehi pada pemilihan ini, kami berazam akan membawa pembaharuan itu untuk memartabatkan kedudukan orang Melayu di bahagian ini,” katanya.
Jawatan Timbalan Ketua bahagian dimenangi tanpa bertanding oleh Pirdaus yang juga exco Pemuda Umno yang juga bekas imam Masjid Negara.
Ini berikutan seorang lagi calon, Ariff Shah Omar Shah, yang juga Adun Seberang Jaya, menarik diri pada saat-saat terakhir, walaupun beliau mendapat pencalonan lebih banyak pencalonan (46) berbanding 42 pencalonan untuk Pirdaus.
Jawatan Naib Ketua Bahagian pula dimenangi oleh Nasir Abdullah yang memperolehi 116 undi, untuk menewaskan tiga calon lagi – Zulkifli Bakar yang mendapat 103 undi, Dr Radin Muhd Amin Hadi Munir (64 undi) dan Datuk Adnan Ramli (63 undi).
Minggu lalu, Normala Abdul dan Siti Zakiah Salleh masing-masing menang tanpa bertanding bagi jawatan ketua dan naib ketua Wanita bahagian. Normala ialah ketua penaja dan Siti Zakiah pula naib ketua penaja pergerakan itu sebelum ini.
Puteri Umno kekal
Manakala pemilihan Pemuda Umno bahagian pula menyaksikan rombakan besar-besaran di mana kesemua ahli jawatankuasa penaja tewas mengejut kepada calon muka baru.
Penyandang jawatan Ketua Pemuda penaja bahagian, Ahmad Nizar Hashim tewas kepada pencabarnya Mohd Zaidi Mohd Said. Ahmad mendapat 92 undi, berbanding 140 undi untuk Mohd. Zaidi.
Jawatan naib ketua pula dimenangi oleh Azmi Md. Iman selepas menewaskan dua calon lagi – Azlan Azmi dan Abdul Baharin Rial Abdullah. Penyandang jawatan itu, Nasir Abdullah tidak bertanding kerana melebihi had umur.
Bagi pergerakan Puteri Umno bahagian pula, ketua penaja, naib ketua penaja dan kesemua barisan ahli jawatankuasa pergerakan itu mengekalkan jawatan masing-masing.
Marina Yahaya yang memperolehi 59 undi dipilih sebagai ketua puteri bahagian itu, setelah mengalahkan pencabarnya Wan Suzana Wan Ibrahim yang mendapat 22 undi.
Naib Ketuanya disandang oleh Wayuhaida Muhd. Noor yang memperolehi 51 undi setelah menewaskan Aliza Aboo Bakar yang memperolehi 23 undi.
|