Idealis Mahasiswa
 
 

PKR: Apakah nasib 2008 ?


Hit = [ ]

oleh dryacid72@yahoo.com
sumber - UMNO-Reform

Pembebasan Dato Seri Anwar Ibrahim telah mencetuskan satu gelombang kebangkitan rakyat untuk kali kedua. Pembebasan DSAI boleh kita katakan sebagai satu sinar baru dalam perjuangan dan politik tanahair. Keadilan kini dianggap sebagai satu parti yang mampu menggugat Barisan Nasional. Dalam erti kata lain Parti Keadilan Rakyat bakal muncul sebagai satu parti yang berkemampuan untuk memerintah. Saya pada hakikatnya meletakkan harapan yang cukup tinggi satu masa dahulu di awal perjuangan kepada parti keadilan ini atas dasar sebuah parti yang bernafas baru, berorientasikan perjuangan menegakkan keadilan, menentang kezaliman dan sebuah parti berbilang kaum yang pada pendapat saya mampu untuk merubah senario politik negara.

Pembebasan Dato Seri Anwar Ibrahim turut menjulang nama dua orang kanan beliau iaitu Sdr Ezam Mohd Noor Dan Azmin Ali kedua-dua bekas setiausaha politik dan setiausaha sulit DSAI ini di angkat sebagai panglima kepada pembebasan DSAI. Kalau kita lihat kembali dari hari pertama pembebasan DSAI mereka berdua ini lah yang yang sentiasa berada dikiri dan kanan DSAI.

Persoalan yang ingin saya timbulkan di sini adalah kita juga tidak harus melupakan rakan-rakan perjuangan yang lain, sekadar menyebut beberapa nama antaranya ialah Hamdan Taha, Ruslan Kasim, Lokman Nor Adam, Hanafiah Man, Zahid Mat Arif, YB Saifuddin Nasution, Saiful Izham Ramli, Adlan Benan dan berapa yang lain, walaupun ada antara mereka yang telah meninggalkan keadilan dan ada yang masih bersama keadilan tetapi perjuangan dan pengorbanan mereka tidak dapat kita ketepikan.

Mungkin ramai yang akan bertanya mengapa nama-nama diatas saya tonjolkan semula, jawapannya mudah mereka-mereka yang saya sebutkan diatas adalah bekas orang kanan Ketua pemuda Parti Keadilan dan kini mereka sama ada telah meninggalkan parti atau pun lebih suka low profile dalam parti keadilan. Pasti wujudnya sesuatu yang menjadikan mereka mengambil jalan yang sedemikian.

      

Apa yang saya harapkan dalam penulisan ini bukannya satu kebencian atau di tuduh cuba menjatuhkan atau di katakan agen kepada mana-mana individu yang tertera disini tetapi saya mengharapkan apa yang akan saya paparkan di sini di jadikan landasan untuk satu kebangkitan yang berteraskan perubahan sikap yang saya rasa perlu di lakukan oleh beberapa individu dalam parti keadilan.

Perkara pertama yang ingin saya paparkan adalah tentang sikap SDR Ezam Mohd Noor dalam konteks memimpin pemuda keadilan, Hampir kesemua nama yang saya sebutkan tadi pernah menjadi setiausaha dan orang kanan Ezam dan hampir kesemuanya meninggalkan keadilan atau bersikap low profile dalam parti dengan mengaitkan nama sdr Ezam atau Azmin Ali dan ada antara mereka yang di pecat kerana mengkritik Sdr Ezam dan Azmin.Persoalan saya mengapa ini berlaku. Saya ingin mengambil contoh apa yang di kritik oleh Sdr Lokman Noor Adam yang berkaitan tentang penyalahgunaan dana sumbangan kepada parti dan juga isu sikap Sdr Ezam dan Azmin yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi dari perjuangan. Saya bersetuju sekiranya benar Lokman Noor Adam di pecat dari Parti kerana menghasut ahli parti untuk menyertai UMNO tetapi bagaimana dengan tuduhan tuduhan yang di lemparkan keatas Ezam Dan Azmin berkaitan dengan penyelewengan dana parti ini kerana mereka tidak pernah tampil untuk menjelaskan tuduhan tuduhan tersebut keperingkat akar umbi ahli dan mereka lebih berminat untuk menamatkan riwayat politik Lokman dari Parti Keadilan dengan seberapa segera. Mungkin Ahli MPT keadilan boleh menjelaskan berkaitan amaran Sdr Ezam Dan Azmin kepada mesyuarat MPT tentang apa yang akan berlaku sekiranya lokman tidak dipecat.


surat original "perletakan jawatan Ezam Mohd Nor" sewaktu krisis dengan Saifuddin Nasution (gambar eksklusif dari www.umno-reform.com)

Krisis YB Saifudin Nasution dan Ezam Mohd Noor juga ingin saya paparkan di sini yang boleh saya katakan antara faktor utama Yb Saifudin enggan memegang sebarang jawatan dalam parti. Sebenarnya krisis ini berlaku semasa YB Saifudin menjadi Timbalan Ketua Pemuda Keadilan lagi. Semua exco pemuda pada masa itu sudah sedia maklum yang pada ketika itu Sdr Ezam masih berada di dalam penjara dan semasa Sdr Yb Saifudin memangku jawatan Ketua Pemuda krisis ini di lihat semakin kronik sehingga terdapat khabar-khabar angin yang menyatakan Sdr Ezam telah meletak jawatan selaku Ketua Pemuda tetapi kemudian menafikan perletakkan jawatan beliau dalam parti.. mungkin hanya exco-exco pemuda Keadilan ketika itu yang mengetahui kebenaranya. Tidak lama kemudian Yb Saifudin akhirnya meletak jawatan selaku Timbalan Ketua Pemuda dan turut di ikuti oleh beberapa orang exco pemuda parti yang ramai jumlahnya. Antara faktor utama yang di katakan sebagai faktor penting kepada krisis dalaman pemuda adalah Penubuhan Angkatan Muda Keadilan yang mana majoriti exco pimpinan pemuda pada ketika itu tidak bersetuju untuk menerima kemasukan ahli wanita berusia di bawah 40 tahun kedalam pemuda dan mengakui penerimaan Angkatan Muda, krisis ini di lihat cukup besar apabila beberapa pemuda negeri memainkan peranan dalam menentang dan menerima Angkatan Muda ini. Negeri Selangor telah menghantar persetujuan sebulat suara yang di ketuai oleh sdr SD Johari selaku Ketua Pemuda negeri dan ketua pemuda bahagian Sdr Ezam, yang mana di lihat mewakili suara sdr Ezam, tidak beberapa lama kemudian Pemuda Negeri Perak yang merupakan negeri yang mempunyai bahagian paling banyak dalam keadilan telah menyatakan penolakan sebulat suara penubuhan Angkatan Muda Keadilan yang di lihat mewakili suara YB saifudin, apa yang menghairankan saya mesyuarat exco pemuda pusat telah membuat keputusan menolak kemasukan wanita dalam pemuda akan tetapi sdr Ezam telah menggunakan kuasanya untuk membawa perkara itu ke mesyuarat MPT dan telah diluluskan tanpa mengambil kira keputusan mesyuarat exco pemuda pusat. Kini dapat kita lihat sacara rasmi tertubuhnya Angkatan Muda Keadilan di Kongres Keadilan yang lalu. Saya ingin mengajak semua ahli melihat secara terbuka tentang penubuhan Angkatan Muda Keadilan ini kerana banyak bahagian yang sebenarnya tidak dapat mengumpulkan ahli wanita muda dalam keadilan untuk di selaraskan mengikut perlembagaan Angkatan Muda dan kebanyakkannya lebih kepada nama on paper. Persoalan saya adakah mesyuarat tersebut sah dan ini semua di lakukan untuk menutup kelemahan demi menjayakan hasrat untuk merealisasikan penubuhan Angkatan Muda atau dengan kata lain lebih sesuai saya katakan ia lebih kepada konsep menghalalkan cara. Saya tidak menentang penubuhan Angkatan Muda tetapi beranggapan masa untuk menubuhkan Angkatan Muda ini tidak sesuai memandangkan satu perancangan yang lebih teliti dan komprehensif perlu di lakukan terlebih dahulu sebelum penubuhan Angkatan Muda ini. Kebaikan penubuhan angkatan muda ini tetap ada terutama dalam konteks untuk bersaing dengan puteri umno dan membuka peluang kepada golongan wanita muda untuk lebih aktif dalam politik keadilan akan tetapi perancangan yang di lakukan tidak tersusun dan ini telah mengakibatkan nama-nama on paper wujud sekadar untuk menutup kelemahan, akan tetapi sekiranya wujud satu penentangan yang menjurus kepada tindakkan undang-undang saya pasti cukup banyak angkatan muda di peringkat bahagian akan di batalkan dan angkatan muda itu sendiri boleh di anggap tidak sah. cuba kita renungkan perkara ini secara terbuka. Dan demi untuk menunjukkan kehebatan angkatan muda terutama golongan wanita ini beberapa jawatan penting terpaksa di serahkan kepada mereka termasuk jawatan ketua Angkatan Muda Negeri. Sedangkan ada lebih banyak calon di kalangan lelaki yang lebih sesuai untuk memikul jawatan ini bukan saya mendiskriminasikan kaum wanita dalam Angkatan Muda tetapi apabila saya melihat secara keseluruhan kepimpinan Angkatan Muda ini ada tempangnya.

Penyeberangan kumpulan 12 ke dalam UMNO turut ingin saya paparkan di sini kerana penyeberangan mereka-mereka ini yang di ketuai oleh Hamdan Taha dan Ruslan Kasim cukup memberi impak kepada Parti Keadilan menjelang pilihanraya yang lalu.Nama Ezam di sebut secara meluas yang kononnya beliaulah yang sebenarnya mengetuai kumpulan 12 ini. Dan maklumat ini jelas di tunjukkan melalui gambar dan kenyataan dari ahli-ahli kumpulan 12 ini sendiri yang mengesahkan Ezam adalah ketua perunding utama untuk menyertai umno sebelum membuat keputusan menarik diri, akan tetapi mereka-mereka yang lain yang bersama dalam perundingan tersebut tetap meneruskan hasrat mereka untuk menyertai umno. Dalam keadaan genting, di saat Ezam sedang berada dalam keadaan tertekan memandangkan mereka-mereka yang bakal menyeberang ke dalam umno bukan setakat pemimpin dan bekas pemimpin kanan parti akan tetapi mereka-mereka ini juga merupakan sahabat rapat Ezam dan juga merupakan think tank kepada Sdr Ezam, tiba-tiba maruah sdr Ezam dan parti di selamatkan dengan akuan bersumpah Ketua pemuda Keadilan Perak berkaitan dengan politik wang yang di kaitkan dengan penyeberangan kumpulan 12 ke dalam umno, Maka terselamatlah beliau dari masalah tersebut.persoalan saya Sdr Ezam perlu jelas dalam menyatakan kebenaran, saya masih ingat kata-kata bekas setiausaha pemuda keadilan yang juga merupakan seorang peguam bahawa Ezam adalah orang yang paling tidak boleh di percayai dalam parti.Saya mahu panglima Keadilan ini menjelaskan secara menyeluruh kepada pimpinan dan ahli parti berkaitan dengan tuduhan-tuduhan yang di lemparkan keatas saudara.Penyeberangan kumpulan 12 ini kedalam umno saya lihat sebagai satu kehilangan besar dalam parti dan juga Sdr Ezam kerana Ezam telah kehilangan pemikir-pemikir politik dalam pemuda dan kini yang tinggal hanya mereka-mereka yang saya anggap lebih kepada pejuang dan bukan pemikir.

Saya ingin membangkitkan persoalan tentang kebajikan dan ingin perkara ini lebih dititikberatkan oleh Sdr Ezam kepada pejuang pejuang muda dalam keadilan kerana saya melihat faktor kewangan menjadi faktor utama penyeberangan ramai pemimpin muda keadilan ke dalam UMNO Dan kita harus melihat ia sebagai satu perkara penting memandangkan hakikat yang sebenarnya pimpinan pemuda keadilan mampu membantu akan tetapi enggan berbuat demikian. Lihat dalam kes lokman Adam bekas tahanan ISA Dan saya anggap sebagai pejuang paling berani dalam pemuda keadilan di mana saya melihat ia sebenarnya lebih kepada krisis kewangan akan tetapi apabila keadaan cukup mendesak beliau akhirnya gugur. Dan seorang lagi mangsa yang tunduk kepada tekanan kewangan ialah bekas ketua pemuda keadilan perak zul hilmi yahya orang yang bertanggungjawab menyelamatkan maruah Ezam dalam kes kumpulan 12 dan bekas panglima perang Semasa Gerakan Anwar Bebas di Pasir Salak turut gugur dalam perjuangan dalam keadaan yang cukup mengaibkan.

Saudara Ezam dan pimpinan parti harus sedar bahawa betapa pentingnya soal kebajikan pemuda ini di titik beratkan kerana faktor kemampuan mereka untuk membantu mereka yang memerlukan. Saya ambil contoh beberapa tokoh pemuda seperti Badrul Hisham Shahrin yang mana telah tersingkir dari jawatan tetap beliau sebagai seorang guru kerana tuntutan perjuangan dan tetap komited dalam perjuangan tetapi di beri kemudahan yang sepatutnya di bantu memandangkan beliau seorang pejuang tulen. Begitu juga dengan rakan-rakan pemuda yang lain seperti Sd johari yang merupakan seorang ahli perniagaan muda satu ketika dulu kini kehilangan segala-galanya demi tuntutan perjuangan satu contoh lagi Sdr Zulhilmi yahya bekas ketua pemuda keadilan perak yang telah dua kali di singkir dari universiti dan juga telah kehilangan segala-galanya juga demi tuntutan perjuangan Ramai lagi nama-nama besar dalam keadilan yang turut menerima padah yang cukup besar demi menyahut seruan DSAI "KALAU TAKUT DENGAN RISIKO USAH BICARA SOAL PERJUANGAN".

Ramai juga di kalangan calon-calon dalam keadilan yang bertanding dalam pilihanraya yang lalu gagal di bantu terutama dari aspek penyediaan kemudahan poster dan barangan keperluan pilihanraya yang lain walaupun di khabarkan wujudnya dana berjumlah RM 3 JUTA untuk membantu calon, persoalan saya adakah kerana dana ini tidak mencukupi atau wujudnya penyelewengan dana ini. Kalau ingin di bicarakan soal wang ghaib ini telalu banyak sebenarnya yang boleh di perkatakan semenjak di awal penubuhan keadilan sehingga kini. Dan apa yang menariknya hampir 90 peratus isu wang ghaib ini banyak mengaitkan nama-nama regular seperti Azmin Ali, Ezam Mohd Noor dan Khalid Jaafar kenapa ini berlaku ? entah lah persoalan ini hanya boleh di jawab oleh pimpinan Parti sendiri.

Saya ingin sekali bertanya tentang wang dana pembelian ibu pejabat Parti Keadilan di Shah Alam kerana banyak pihak menyatakan Sdr Abdul rahman Osman adalah penyumbang terbesar pembelian pejabat tersebut sedangkan ada pula pihak yang menyatakan sebaliknya isu ini perlu juga di perjelaskan kepada umum. Perkara ini menjadi satu isu yang meluas dalam parti terutama dalam kongres dan pemilihan yang terdahulu ianya di jadikan senjata kedua-dua pihak yang bertanding, isu ini sebenarnya boleh di selesaikan secara mudah oleh presiden parti yang semestinya tahu akan kebenaran yang sebenar cukup sekadar menyatakan terima kasih kepada penyumbang yang sebenar atau semua penyumbang-penyumbang yang terbabit di umumkan secara terbuka.

      

Perbezaan pendapat sesama pemimpin dalam parti keadilan saya lihat turut banyak menyumbang kepada perpecahan dalam parti sedangkan saya merasakan yang ianya cuma permasalahan perbedaan pendapat sesama mereka yang seharusnya bijak untuk menyelesaikan perkara ini secara rasional dan tersusun memandangkan mereka-mereka ini terdiri daripada golongan profesional dan berpengalaman.Cuba kita lihat krisis pertama yang saya rasa memberikan impak yang besar kepada Parti Keadilan iaitu krisis penggabungan antara parti keadilan dan parti rakyat yang telah menyebabkan keadilan kehilangan ramai tokoh-tokoh seperti Dr Mohd Noor Manuty Anuar Tahir dan beberapa pimpinan Yang lebih elok saya katakan tokoh-tokoh dari ABIM. Krisis ini sebenarnya cukup mudah untuk di selesaikan kalau sekiranya kita melihat tuntutan perjuangan lebih penting dari tuntutan lain,akan tetapi pemikiran sebilangan pemimpin parti yang lebih suka menunjuk kuasa dan kehebatan masing-masing akhirnya berlakulah perpecahan. Dalam keadaan usia keadilan yang masih setahun jagung pada ketika itu mengapa tidak pembahagian kerusi kepimpinan dilakukan secara musyawarah, bukan untuk menolak demokrasi dalam parti akan tetapi keadaan parti yang masih belum stabil ketika itu memerlukan semua pemimpin lebih bersikap profesional dan bertolak ansur bukanya beradu menunjuk kekuatan.Kalau ingin menyatakan siapa sebenarnya yang bersalah dalam perpecahan itu saya tegas menyatakan yang semua kepimpinan ketika itu yang bertanggungjawab keatas perpecahan yang berlaku baik yang menyokong pengggabungan dan yang menentang penggabungan.

Isu kabilah merupakan isu besar ketika itu yang boleh kita kategorikan dalam kumpulan seperti ABIM, JIM, REFORMIS, BEKAS AHLI UMNO DAN NGO yang mana merupakan tonggak kekuatan parti pada ketika itu. Krisis berpuak itu masih wujud sehingga kini dan wujud juga sikap berpuak-puak ini dalam kumpulan perhubungan masyarakat cina dan india dalam parti kalau dalam konteks perpecahan yang berlaku dalam perhubungan masyarakat india dalam parti saya lebih melihat kepada aspek perebutan kuasa dan ego yang berlaku kepada sesetengah pemimpin masyarakat india ini.Saya turut melihat yang faktor agama turut menyumbang kepada sikap tidak bertolak ansur sesama mereka, saya ambil sebagai contoh untuk memudahkan klasifikasi puak tersebut adalah antara india beragama hindu dan india beragama kristian mengapa sebenarnya isu ini harus berlaku sedangkan objektif penubuhan keadilan adalah untuk membawa satu politik baru dan politik berbilang bangsa yang tentunya melibatkan berbilang agama untuk menuju kearah masyarakat majmuk di malaysia dan dengan apa yang berlaku rumusanya adalah sama iaitu kepentingan lain lebih di utamakan dari tuntutan perjuangan perkara ini seharusnya di bincangkan bersama secara muafakat di antara Dr xavier dan N Gobalakrisnan

Perhubungan masyarakat cina dalam keadilan sebenarnya turut mengalami krisis sesama mereka iaitu antara yang cenderung kepada politik asas dan antara mereka yang cenderung kepada politik perjuangan total seperti demonstrasi jalanan dan perhimpunan.Akan tetapi krisis dalam perhubungan masyarakat cina ini hampir tidak di ketahui oleh sesiapa kerana mereka lebih kepada penyelesaian secara profesional saya kagum dengan mereka-mereka ini dan kita seharusnya belajar tentang kaedah penyelesaian masalah yang di amalkan oleh mereka tahniah kepada Dr Lee Boon Chye dan Sdr Tian Chua

Pengurusan parti keadilan juga saya anggap setakat ini masih gagal menunjukan kemampuan untuk menjadi tulang belakang perjuangan alternatif di malaysia kerana atas beberapa isu seperti pengurusan keahlian dan penyaluran maklumat kepada ahli parti. Masih wujud kepincangan dalam aspek pengurusan dan pentadbiran parti yang perlu diperbaiki. Saya ingin menyatakan bahawa banyak bahagian yang pada hakikatnya bermesyuarat agong tahunan dalam keadaan tidak mempunyai korum yang mencukupi dan mesyuarat tetap di teruskan sedangkan mesyuarat itu pada hakikatnya tidak sah dan sikap tidak profesional di kalangan pimpinan bahagian ini cukup menyedihkan malahan ada bahagian yang cuma menyediakan laporan mesyuarat sedangkan mesyuarat tidak pun berjalan, perkara ini perlu mendapat perhatian serius dari Setiausaha Agong Parti.

Harapan saya dalam perjuangan ini adalah untuk melihat kembali era kegemilangan parti seperti di awal penubuhanya terlalu teringin rasanya untuk melihat Sdr Ezam dan Yb Saifuddin Nasution berganding bahu bersama sama dalam perjuangan, teringin juga untuk melihat kembali tokoh tokoh seperti Anuar Tahir, Dr Mohd Noor Manuty, Shaari Sungip, Abdul Rahman Osman, Johari Abdul Ust Mahyuddin dan ramai lagi aktif dan terus komited dengan perjuangan keadilan.

Akhir sekali ingin saya mohon maaf kiranya apa yang saya nyatakan diatas menyentuh perasaan mana-mana pihak tetapi bagi saya semua tuduhan perlu di jawab agar ia tidak lagi menjadi duri dalam daging yang akan merosakkan perjuangan dalam parti. Harapan saya cukup jelas iaitu tuntutan reformasi sikap di kalangan pimpinan Parti perlu di segerakan demi sebuah perjuangan hakiki.Saya mohon agar apa yang saya nyatakan di fahami secara terbuka dan di anggap sebagai satu kritikan dan pendapat yang sekurang-kurangnya boleh memperbaiki kelemahan dalaman parti.

dryacid72@yahoo.com





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved