Idealis Mahasiswa
 
 

Pelajar diberi tempoh 14 hari jawab notis tuntutan hutang PTPTN


Hit = [ ]

sumber - Malaysiakini.com Feb 22, 05 4:55pm

Kumpulan pertama 200 orang pelajar yang masih berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dihadapkan ke mahkamah jika mereka gagal menjawab notis peringatan terakhir dari perbadanan tersebut dalam tempoh 14 hari.

Ketika memberi amaran tersebut, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Shafie Mohd Salleh berkata, mereka perlu respons dalam tempoh tersebut sebaik saja menerima notis itu yang kini sedang diedarkan.

"Kita dah putuskan kes sekumpulan 200 pelajar yang dah terima notis peringatan terakhir terlebih dahulu akan dibawa ke mahkamah pada April ini.

"Oleh itu, kita nasihatkan mana-mana pelajar yang akan menerima notis kali ini supaya bertindak dalam tempoh yang diberikan atau kita akan bawa mereka ke mahkamah," katanya.

Bernama melaporkan beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan Forum Pengkisahan Ketokohan Bapa Kemerdekaan Malaysia, di Universiti Malaya di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Shafie berkata ia membabitkan kira-kira 140,000 pelajar daripada 190,000 yang telah tamat pengajian setakat ini.

      

Penangguhan bayaran

"Jumlah yang patut dikutip ialah RM420 juta, yang membabitkan 190,000 peminjam, tetapi yang berjaya dikutip cuma RM93 juta dengan pembayar aktif seramai 32,000 orang, manakala seramai 20,000 lagi telah dibenarkan penangguhan pembayaran," katanya.

Menurutnya, PTPTN membenarkan penangguhan pembayaran balik itu atas beberapa faktor, termasuk masih menganggur dan ada yang menyambung pelajaran.

Katanya, PTPTN telah mengeluarkan pinjaman berjumlah RM7.2 bilion sejak penubuhannya pada 1997 hingga tahun lalu.

Selain itu, menurut Dr Shafie, PTPTN juga akan menstrukturkan semula pembayaran balik bagi mana-mana peminjam yang telah bekerja tetapi kurang mampu membayar dengan kadar yang telah ditetapkan akibat pendapatan yang diperolehi rendah.

"Bagi yang menganggur pula, kita akan bincangkan di Kabinet esok," katanya.

Mengenai penghantaran notis berkenaan, Dr Shafie berkata ia dihantar mengikut alamat yang telah diberi semasa permohonan pinjaman dibuat, dan adalah menjadi tanggungjawab peminjam untuk memastikan mereka menerimanya.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved