Idealis Mahasiswa
 
 

PAS perlu perubahan realistik


Hit = [ ]

oleh Mohd. Sayuti Omar
sumber - Malaysia-today

Tahun ini Pas akan melakukan pemilihan barisan kepimpinannya di semua peringkat. Awal bulan Mac depan kesemua kawasan Pas akan mula mengadakan muktamar untuk memilih kepimpinan peringkat kawasan. Dijangka bulan Julai atau Jun nanti muktamar agung pula akan menyusul.

Pemilihan atau penyemakan barisan kepimpinan ini adalah menjadi tanggungjawab ahli parti berkenaan setiap dua tahun sekali. Pas tidak seperti Umno yang menetapkan pemimpinnya disemak dan disalin selama tiga tahun sekali.

Pas di dalam soal ini lebih terbuka dan demokratik berbanding dengan Umno. Tidak pernah berlaku apa yang dinamakan endorsement menerusi mesyuarat di dalam memilih pemimpinnya. Selalunya bagi jawatan-jawatan penting, bila ada kekosongan akan dipertandingkan.

Tahun lepas, bila jawatan timbalan presiden kosong apabila Abdul Hadi Awang berganjak ke atas memenuhi tempat yang ditinggalkan Fadzil Mohd Noor (Almarhum), jawatan itu dipertandingkan. Tiga tokoh telah dicalonkan merebut jawatan itu pada mulanya. Musatapa Ali, Hassan Shukeri dan Harun Din. Mustapa Ali dan Hassan Shukeri yang terus sampai ke akhirnya. Pertandingan itu dimenangi oleh Hassan.

Di dalam soal pemilihan pemimpin ini, Pas lebih gentleman dan demokratik berbanding Umno. Demokrasi di dalam Pas masih sihat dan tidak disuntik dengan unsur-unsur wang dan kebendaan.

Pemilihan kepimpinan di dalam Pas kali ini walaupun suatu yang rutin dan tidak banyak merubah situasi, tetapi kali ini ia mempunyai signifikan tersendiri. Ada sesuatu yang istimewa ataupun keperluan di dalam pemilihan penggal ini. Yang jelasnya ia bukan sekadar untuk memenuhi kekosongan atau mematuhi kehendak perlembagaan parti tetapi memenuhi tuntutan kontemporar.

Apakah tuntutan dan signifikan itu? Suatu hal yang harus Pas sedari bahawa iklim dan suasana politik di luar Pas kini mengalami sedikit perubahan. Perubahan ini tidak dapat tidak akan turut mempengaruhi politik Pas. Justeru Pas kena rasional dan peka dengan tuntutan dan perubahan berkenaan.

Salah satu perubahan itu ialah ekoran pembebasan Anwar Ibrahim. Pembebasan itu dilihat bakal membawa satu arus besar di dalam medan politik negara ini di masa akan datang.

Dengan keluarnya Anwar dan ‘aktif’ menyampaikan cermah atau menghadiri program parti, ia membuka ruang baru kepada arena politik negara, dan Pas harus menangguknya sebaik mungkin. Pas harus sama mengikut rentak yang diaruskan oleh kesan pembebasan Anwar ini.

Justeru pemimpin Pas hendaklah sedar akan keperluan serta implikasi ini dan berusaha bersungguh mengambil manfaat daripadanya. Untuk tujuan itu Pas kena memilih pemimpin yang dapat mengiringi arus di dalam alur politik yang akan dimuarakan oleh Anwar nanti.

Kalau Pas tidak dapat mengiringi arus berkenaan parti itu bukan sahaja kerugian tetapi sebaliknya akan terus tersadai di pelabuhan kekalahan demi kekalahan.

Sebagai persediaan menanti arus itu Pas kena melakukan pembersihan dan penyemakan terhadap pucuk pimpinan parti berkenaan. Pas harus membersihkan mana-mana pemimpin yang dikatakan tidak berapa meredhai kalau Pas menuruti arus yang bakal dikocakkan Anwar itu. Sejarah lama dikatakan masih menghantui pemikiran mereka untuk tidak mudah mesra dengan Anwar.

Iktibar kepada sejarah lama mengenai Anwar itu tidak sesuai dan tepat untuk dijadikan panduan. Makanya Pas kena membersihkan kepimpinannya. Pemikiran orang Pas seharusnya berkembang mengikuti tuntutan zaman dan hendaklah larut dalam apa juga suasana. Sikap berpegang kepada prinsip sedemikian bukan relevan lagi.

Apa yang sedang berkumandang di dalam Pas hari ini ialah adanya pemimpin yang tidak relevan dengan parti berkenaan. Karektor dan pembawaan sudah tidak serasi lagi dengan Pas di alaf baru ini. Pemimpin yang begini hendaklah dikaji semula sejauh mana untung dan ruginya sekiranya mereka terus berada di persada kepimpinan Pas. Apa lagi kalau mereka sudah dicam menjadi polong di dalam parti Islam itu, sangat perlu mereka dihalau.

Melihat keperluan Pas hari ini, adalah sangat sesuai kalau Pas mengurangkan pemimpin yang bercorak agama (ulama) ataupun bertitle ustaz. Pas harus menagresifkan pergerakan itu dengan pemimpin berdarah muda dan memiliki ilmu agama yang mantap. Muda di sini ialah mereka yang tegas berpegang kepada dogma agama dan juga siasah politik Islam.

      

Tidak ada guna juga kalau Pas mengambil mereka yang muda sasa – profesional, tetapi mereka tidak bertunjangkan Islam. Prinsip Islam hendaklah ada kepada tokoh muda berkenaan. Jangan sesekali menyamakan tokoh muda Pas dengan tokoh muda di dalam Umno. Selama mana dan di mana juga perbezaan di antara Pas dengan Umno ialah dalam soal penghayatan Islam.

Dalam hal ini bukan bermakna ulama langsung tidak ada tempat, tetapi biarlah mereka (ustaz) yang sedar ataupun memahami serta menguasai berbagai aspek ilmu dan bukan sahaja yang pandai mengulas mengenai halal dan haram semata-mata.

Sesuai sebagai sebuah parti yang lama, ramai tokoh-tokoh muda telah muncul di dalam Pas kini. Paling ketara ialah ketika Pas menguasai 27 kerusi Parlimen dahulu. Separuh daripada ahli Parlimen Pas (1999 - 2004) terdiri dari golongan muda sekitar 35 hingga 45 tahun.

Ada di antara mereka yang dilihat mempunyai pegangan dan anutan prinsip agama yang mapan lebih daripada tokoh yang sudah berkulat di dalam Pas. Mereka ini boleh diketengahkan atau disiap sediakan sebagai tokoh pelapis masa depan.

Antara mereka misalnya, Nasharuddin Mat Isa, yang kini memegang jawataan Setiausaha Agung dan Husam Musa ahli Exco Kelantan. Kedua mereka ini boleh digolongkan dalam golongan muda yang berstatus ulama dan boleh juga dicapkan dengan label profesional.

Selain mereka, Muhammad Sabu, Mahfuz Omar dan Dr Hatta Ramli juga tergolong dalam golongan muda atau semi profesional yang dikira boleh mengemudikan arus Pas seiringan dengan perkembangan zaman. Nasharuddin walaupun muda tetapi perwatakannya yang lemah-lembut serta menguasai berbagai ilmu dilihat adalah tokoh Pas yang ‘ankurat’ di era ini. Walaupun beliau seorang ‘ustaz’ namun perwatakan ustaznya tidak menjadi pakaian hariannya. Corak dan personalitinya sesuai dengan suasana Pas yang dalam proses permodenan (islah).

Mungkin bagi sesetengah orang, mereka ini (Nasharuddin dan Husam) terlalu cepat untuk dianjakkan ke atas berada dalam dewan harian Pas. Tetapi dilihat kepada kemampuan dan peranan mereka di dalam politik mereka layak berada di tempat di atas atau menduduki salah satu kerusi Naib Presiden sebagai mewakili generasi baru.

Sekiranya desas-desus awal ini benar, bahawa salah satu jawatan naib presiden Pas akan kosong pada pemilihan ini, adalah elok kalau kekosongan itu dipenuhi oleh golongan muda. Bukan setakat itu, keperluan ini juga sebagai menyaingi Umno yang sentiasa membuat pembaharuan dan ‘penyemakan’ ke atas pemimpinnya.

Mereka ini juga tidak boleh dianggap sebagai golongan profesional yang tidak dianggap sebagai ustaz. Mereka juga di antara tokoh muda di dalam Pas mempunyai pegangan agama yang kuat. Kalau kepetahan membaca al-Quran dan hadith itu sebagai syaratnya, mereka juga penghafal hadith yang fasih dan mampu untuk menghurai ayat-ayat al-Quran.

Misalnya Husam Musa, bukan sahaja setakat memiliki ilmu ekonomi dan sains politik tetapi boleh mengulas dan mentafsir dan menghurai ayat-ayat al-Quran. Ada warna Nik Aziz kepada anak muda bertubuh gantang ini. Jika diperhati kepada ceramahnya dia akan memulakan ceramah atau ucapannya dengan membaca sepotong ayat al-Quran sebagai tema dan ini adalah ‘sunnah’ Nik Aziz.

Begitu juga dalam pendekatan politiknya di Kelantan yang dipamirkan menunjukkan beliau seorang pemimpin muda yang fatanah dan begerak seiring dengan perubahan zaman. Kelebihan yang ada padanya ialah dapat mengira hitungan awal musuh politik Pas (dibaca Umno). Kebijaksanaan inilah menjadikan Umno mati akal untuk melakukan sesuatu ke atas Kelantan.

Seperkara di dalam pemilihan kepimpinan nanti jangan terlalu melihat kepada hal-hal terlalu personaliti atau bersikap keakuan (kelompok) tetapi biarlah realistik untuk masa depan Pas. Mungkin sudah tidak sesuai lagi kalau kriteria pemimpin itu hanya diukur kepada soal pakaian, kelancaran hafalan ayat Quran tetapi tidak sama melihat kebolehan atau pun aset lain yang ada pada seseorang itu.

Kekuatan ilmu politik sekular hendaklah ada kepada pemimpin Pas kerana politik itu sendiri penuh dengan hipokrasi.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved