Idealis Mahasiswa
 
 

AS Gagal Beri Amaran


Hit = [ ]

sumber: Utusan Online 28/12/2004

LOS ANGELES 27 Dis. - Pegawai Amerika Syarikat (AS) yang mengesan gempa bumi kuat di utara Sumatera kelmarin bertungkus-lumus cuba memberi amaran mengenai ombak besar tsunami yang menyusulinya.


Beratus-ratus mayat mangsa gempa bumi diletakkan di sebuah kawasan lapang di Banda Acheh untuk dikenal pasti semalam. - Gambar Reuters.

Bagaimanapun sistem amaran rasmi tidak wujud di rantau berkenaan kerana bencana sedemikian hanya berlaku di sana sekali dalam tempoh 700 tahun, kata ketua Pusat Amaran Tsunami Pasifik, Charles McCreery semalam.

"Kami cuba melakukan segala yang terdaya," kata McCreery, ketua pusat yang terletak di bawah Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan AS itu.

"Kami tidak ada nama di dalam buku alamat kami untuk orang yang boleh dihubungi di dunia sebelah sana."

Beberapa saat selepas mengesan gempa bumi berukuran 9.0 pada skala Richter itu, McCreery dan kakitanganya sibuk menelefon pihak berkuasa di Australia dan kemudian pegawai tentera laut AS, kedutaan AS di pelbagai negara terlibat dan akhirnya Jabatan Negara AS.

Mereka tidak dapat menyampaikan amaran kepada beribu-ribu penduduk di negara-negara yang paling teruk terjejas termasuk India, Thailand dan Sri Lanka kerana tidak ada satu pun negara terlibat mempunyai sistem amaran tsunami atau alat pengukur ombak besar untuk memberi amaran kepada penduduk masing-masing, kata beliau.

      

"Kami sebenarnya mengeluarkan buletin mengenai gempa bumi itu tetapi ini hanya dihantar kepada negara-negara Pasifik yang melangganinya seperti Australia dan Indonesia," menurut McCreery.

Pusat amaran seperti yang digunakan di sekitar Pasifik boleh menyelamatkan beribu-ribu nyawa, kata Waverly Person daripada Pusat Maklumat Gempa Bumi Kebangsaan di Pusat Kajian Geologi AS.

"Kebanyakan mangsa sepatutnya dapat diselamatkan jika mereka menyediakan sistem amaran tsunami atau alat pengukur ombak besar," katanya.

"Saya fikir malapetaka ini akan menjadi pengajaran bagi mereka," katanya dengan merujuk kepada kerajaan-kerajaan negara terlibat.

Person juga menyatakan, oleh sebab ombak tsunami jarang-jarang berlaku di Lautan Hindi, penduduk tidak pernah diajar supaya lari ke darat selepas merasai gegaran gempa bumi.

Beliau menegaskan kerajaan seharusnya mengarahkan penduduk yang tinggal di pesisiran pantai supaya berpindah selepas gempa bumi dikesan.

Oleh sebab tsunami berpunca dari pusat gempa bumi di dasar laut, penduduk ada masa 20 minit hingga dua jam untuk menjauhi pantai.

"Ombak mengambil masa sejam setengah untuk bergerak dari pusat gempa bumi ke Sri Lanka dan sejam untuk bergerak ke pantai barat Thailand dan Malaysia," kata McCreery.

"Anda boleh berjalan ke darat selama 15 minit untuk sampai ke kawasan selamat," katanya. - Reuters





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved