Idealis Mahasiswa
 
 

Sistem amaran tsunami di Lautan Hindi


Hit = [ ]

sumber: Utusan Online 30/12/2004

LOS ANGELES 29 Dis. - Para pegawai malapetaka antarabangsa akan membuat persediaan asas untuk memasang sistem amaran tsunami di Lautan Hindi, kata seorang pakar terkemuka semalam.


IMEJ satelit menunjukkan keadaan ombak besar yang melanda perairan barat daya Sri Lanka dalam kejadian yang berlaku pada Ahad lalu. - Gambar Reuters.

Usaha untuk memasang sistem amaran tersebut dibuat ketika angka kematian akibat malapetaka ombak besar itu yang melanda sembilan negara Asia dan Afrika meningkat menghampiri paras 70,000 orang.

Perbincangan mengenai pemasangan sistem amaran seperti yang ditempatkan di Lautan Pasifik akan diadakan dalam Persidangan Dunia mengenai Pengurangan Malapetaka tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kobe, Jepun pada 18-22 Januari ini, kata Pengarah Pusat Amaran Tsunami Antarabangsa di Hawaii, Dr. Laura Kong.

Menurut beliau, pemasangan sistem amaran tsunami itu boleh menyelamatkan beribu-ribu nyawa dan ia amat diperlukan di Lautan Hindi.

"Kami mahu melakukannya dalam satu cara yang merangkumi semua pihak dan di peringkat antarabangsa," kata Kong.

Beliau mencadangkan supaya Kumpulan Penyelarasan Antarabangsa untuk Sistem Amaran Tsunami di Pasifik (ICG/ITSU) mengetuai usaha itu.

Beribu-ribu nyawa dapat diselamatkan seandainya sistem amaran yang sama seperti yang dipasang di Lautan Pasifik ditempatkan di negara-negara terbabit, termasuk Indonesia, Sri Lanka, Thailand dan India, kata Kong.

Beliau mengaku bahawa pihaknya tidak dapat melakukan apa-apa untuk menyalurkan amaran mengenai malapetaka itu.

Sementara itu, bilangan sebenar mereka yang maut dalam kejadian gempa bumi dan ombak besar tsunami mungkin lebih tinggi.

      

Di Indonesia, pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Sosial berkata, jumlah mereka yang terbunuh di negara itu melebihi 33,160 orang selepas usaha mencari dan menyelamat digerakkan secara besar-besaran berikutan kejadian ombak besar tiga hari lalu.

Malapetaka tsunami menenggelamkan hampir keseluruhan perkampungan yang terletak di kawasan pantai Acheh.

Di Sri Lanka, seramai 22,493 orang termasuk sekurang-kurangnya 70 warga asing terbunuh dalam bencana itu.

Angka kematian akibat tsunami di India melepasi 12,419 orang dengan beribu-ribu lagi masih hilang, kata para pegawai.

Jumlah itu merangkumi 7,000 orang di pulau Andaman dan Kepulauan Nicobar, yang terletak berhampiran dengan pusat gempa bumi di utara Sumatera, Indonesia yang mencetuskan fenomena ombak besar.

Baki 4,500 lagi dicatatkan di Tamil Nadu, selatan negeri India.

Para pegawai berkata, kira-kira 1,657 orang, dengan hampir 700 orang pelancong asing terbunuh di selatan Thailand.

Di Myanmar pula sekurang-kurangnya 90 orang terbunuh, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Seramai 65 orang maut di Malaysia.

Sekurang-kurangnya 55 orang termasuk dua pelancong British terkorban manakala 68 yang lain masih hilang di syurga pelancong, Kepulauan Maldives.

Di Bangladesh seorang lelaki dan anaknya terkorban selepas sebuah bot pelancong karam dalam ombak besar.

Kematian turut berlaku di pantai timur Afrika, dengan 100 nelayan disahkan maut di Somalia.

Seramai 10 orang maut di Tanzania manakala Kenya mencatatkan satu kematian.

Kajian geologi Amerika Syarikat (AS) berkata, gempa bumi di pulau Sumatera itu berukuran 9.0 pada skala Richter menjadikannya gempa bumi terkuat menggegarkan dunia sejak empat dekad lalu. - Agensi





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved