|
Baru-baru ini Dewan Ulama PAS Terengganu telah menganjurkan Multaqa Ulama Terengganu di Kuala Terengganu. Antara pembentang kertas kerja pada multaqa ini ialah Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Harun Taib. Multaqa Ulama tersebut ialah satu perhimpunan ulama PAS seluruh Terengganu yang diadakan saban tahun.
Harun Taib yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu telah membuat kenyataan dalam multaqa itu yang menyeru para ulama dalam PAS supaya bertanding jawatan pada pemilihan PAS tahun hadapan.
Beliau berharap agar ulama-ulama yang ada dalam PAS tidak hanya memegang jawatan penasihat sahaja tanpa menguasai jawatan-jawatan eksekutif di semua peringkat.
Apa yang menghairankan kenapa beliau seolah-olah sampai berada dalam keadaan yang tersepit hingga terpaksa mengeluarkan kenyataan sebegitu rupa.
Sedangkan tiada nas dalam Quran atau Hadith yang menuntut bahawa hanya ulama sahaja yang layak menjadi ulul amri ataupun berada dalam kepimpinan.
Persoalan yang timbul di sini, adakah ulama dalam PAS sekarang mencandukan status ulamanya untuk kekal berkuasa dalam kepimpinan PAS dengan harapan mendapat jawatan dalam kerajaan yang dipimpin oleh PAS?
Benarkah laporan yang penulis terima bahawa Harun Taib amat mementingkan jawatan wakil rakyatnya sehinggakan beliau mengingkari keputusan mesyuarat perhubungan PAS Terengganu selepas Pilihan Raya Umum 2004 yang ingin memboikot majlis angkat sumpah ADUN PAS Terengganu.
Beliau bertegas dalam mesyuarat tersebut untuk pergi mengangkat sumpah seorang diri walaupun tanpa kehadiran tiga lagi ADUN PAS termasuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Ini akhirnya menyebabkan kesemua yang lain terpaksa pergi mengangkat sumpah demi menjaga nama baik PAS di mata umum.
Harun Taib yang merupakan bekas Exco kerajaan Terengganu sekarang berbangga dengan kereta Kia Sorento bernombor pendaftaran PAS 12 yang bernilai beratus-ratus ribu ringgit walaupun masih terdapat rakyat yang hidup susah di kawasannya DUN Manir Terengganu.
Kenyataan Harun Taib tadi akan terus menanamkan satu mind set yang jumud dalam benak pemikiran grass root PAS tentang ulama dalam PAS sebagai golongan yang maksum. Sekiranya terdapat pandangan seperti yang dilontarkan oleh penulis ini maka mereka tentunya akan menuduh penulis bencikan ulama tanpa melihat kebenaran faktanya.
| |
Penulis tidak bencikan ulama sama sekali tetapi ulama didapati gagal bertindak dengan baik apabila mereka memegang tampuk kepimpinan dalam PAS. Mereka lebih sesuai untuk jawatan yang bersifat sebagai penasihat sahaja.
Contoh kegagalan ulama dalam kepimpinan dan pentadbiran ialah Datuk Seri Abdul Hadi dan Datuk Nik Abdul Aziz sendiri gagal mengambil tindakan terhadap exco-exco mereka yang telah menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan kawasan balak. Ini kerana mereka memberi alasan mempunyai sifat malu alah terhadap rakan-rakan mereka.
Datuk Seri Abdul Hadi gagal mengambil tindakan terhadap bekas Exco Terengganu Datuk Mustapha Ali yang menggunakan nama anak saudaranya untuk mendapatkan kawasan balak.
Manakala Datuk Nik Abdul Aziz pula gagal mengambil tindakan terhadap bekas timbalannya Datuk Abdul Halim Abdul Rahman yang membolot kekayaan balak untuk kepentingan peribadi sejak Kelantan berada di bawah penguasaan PAS pada tahun 1990.
Berbalik kepada kenyataan Harun Taib tadi yang menuntut supaya ulama dalam PAS meminta jawatan boleh membawa kepada premis ulama dalam PAS sudah sampai ke tahap gilakan kuasa. Bagi penulis, kita tidak patut memberikan jawatan kepada orang yang meminta jawatan.
Penulis semakin meyakini bahawa PAS hanya akan menang memerintah Malaysia bersama dengan barisan pembangkang yang kuat dan bersatu melalui kepimpinan golongan profesional yang lebih ikhlas berjuang untuk mendaulatkan Islam.
Dunia hari ini memberi kepercayaan kepada pimpinan yang terdiri daripada golongan profesional yang bersih daripada ulama yang tidak terbuka. Eksperimen kepimpinan Partai Keadilan Sejahtera Dr Nur Hidayat Wahid yang merupakan seorang profesional terbukti menyinari kemenangan PKS dalam Pemilu Indonesia baru-baru ini.
Sumber - Laman Marhaen
http://www.marhaen.sharewith.us/mar_a_jamaludin_afghani02.html
|