|
Hamdan Taha, pernah memegang jawatan Ketua Penerangan Pemuda Negeri Perak (UMNO), Ketua Pemuda Bahagian Teluk Intan, Bendahari UMNO Teluk Intan, memimpin Yayasan Gerak Bakti serta memegang jawatan lain seperti Setiausaha Biro Belia Pemuda UMNO Malaysia dan Jawatan Kuasa Biro Pendidikan merangkap Pengarah Gerakan Motivasi Pendidikan Kebangsaan Pemuda UMNO Malaysia sebelum beliau melangkah menyertai Keadilan pada tahun 1999.
Dalam Parti Keadilan Nasional beliau telah memegang beberapa jawatan penting seperti Timbalan Ketua Pemuda Keadilan yang pertama, Majlis Kepimpinan Tertinggi, Timbalan Pengerusi Perhubungan Keadilan Perak, Timbalan Pengarah Pilihanraya (Keadilan) Malaysia, Setiausaha Pemuda Keadilan dan Naib Ketua Pemuda Keadilan. Hamdan Taha terlibat dalam arus utama Parti Keadilan Nasional, satu parti yang pernah memberi tekanan kuat terhadap UMNO khususnya sewaktu pilihanraya tahun 1999.
Pengalaman berada di kedua - dua arena politik telah menjadikan Hamdan lebih menyeluruh dalam membicarakan mengenai politik Malaysia. Berada dalam UMNO, kemudian menyertai pembangkang dan kini kembali kepada UMNO membuat Hamdan lebih matang dalam membezakan erti politik yang menggariskan pelbagai idealisme perjuangan.
www.umno-reform.com berasa bertuah kerana sepanjang pengamatan kami, inilah kali pertama Hamdan Taha mahu memberi temuduga secara menyeluruh biarpun kepada laman kecil seperti www.umno-reform.com
"Yang penting kita harus menyedari dan berpijak di bumi yang nyata" katanya dalam mengertikan keputusan beliau untuk kembali ke pangkuan UMNO. UMNO telah dikritik oleh pengamat politik lawan tanpa mereka mahu mengenali dengan lebih mendalam struktur geo - politik negara ini. UMNO di ukur dengan perbezaan perlaksanaan demokrasi, dibidas dalam pengertian kebebasan, direndahkan kedudukan intergriti yang disukat oleh pengukur yang tidak berpaksikan andaian - andaian realistik serta dikritik dengan pelbagai sangkaan kekurangan yang bagi saya adalah sebenarnya adalah satu kelebihan UMNO.
Kita harus terlebih dahulu sedar perbezaan landskap politik negara ini. Perbezaan geografi politik antara negara kita dengan negara lain serta struktur sosio - budaya antara kita dengan negara lain mensyaratkan perubahan dalam pengertian demokrasi serta kebebasan mutlak yang dituntut oleh mereka. Mereka sebenarnya tidak memahami iklim kolektif struktur kemasyarakatan dan kebudayaan negara ini. Perbezaan - perbezaan ini saya sedari setelah berada dalam parti pembangkang dan kemudiannya kembali dalam UMNO. Menyedari kelainan dan mengakui hakikat sebenarnya adalah punca kehadiran saya semula dalam UMNO. Kehadiran ini adalah lebih bermakna kerana saya tidak lagi akan mengambil UMNO "for granted" . Ini bagi saya kedewasaan, kesedaran dan kematangan. Menyedari hakikat inilah maka keyakinan saya menebal bahawa perjuangan agama, bangsa dan negara terletak ditangan UMNO dan Barisan Nasional yang selama ini telah di uji dan teruji. Bagi saya pengalaman politik berada dalam UMNO dan diluar UMNO banyak mengajar dan memberi pengalaman buat saya. Ini adalah iktibar yang hadir dalam laluan saya mengharungi dunia politik Malaysia.
Diminta memberi sedikit penerangan mengenai geografi politik dan berbezaan yang perlu ada; Hamdan mengulas, lain padang lain belalang dan kelainan ini membentuk keperluan untuk sistem kita mengikuti kehendak geografi politik Malaysia yang mengambil kira aspek kemasyarakatan dan perbezaan budaya di negara kita ini. Kita harus menerima hakikat dan mencorakkan arah pentadbiran kita mengikuti iklim dan geografi yang sedia ada khususnya dalam masyarakat majmuk Malayssia. Formulasi pentadbiran inilah yang kita katakan acuan kita dan bukan acuan negara lain khususnya negara barat.
Kalau kita permudahkan, tidak berubah iklim negara sungguhpun kita semua berpakaian ala "winter". Pakaian kita harus menuruti iklim negara kita dan ini adalah realiti sebenarnya. Geografi politik kita terbentuk sejak berzaman lagi. Dengan geografi sedemikian maka kita, mahu tidak mahu harus ada satu sistem yang mengikuti geo - politik tersebut. Demikianlah terwujudnya bagi saya terma acuan kita, cara kita dan cara yang diterima adalah cara yang terbaik buat masa ini untuk mentadbir negara ini.
Apakah dengan ini UMNO tidak perlukan reformasi ?
UMNO melaksanakan reformasi berterusan. Setiap kali ada perubahan kepimpinan baik menteri atau Perdana Menteri perubahan sentiasa dilakukan. Kalau difikirkan secara teoritikal perubahan kepimpinan UMNO lebih ketara dari PAS. Presiden UMNO telah 5 kali berubah sedangkan perubahan pada PAS agak statik. UMNO pula, sungguhpun sentiasa melakukan reformasi tetapi kesinambungan kepimpinan konsisten tanpa terputus cucuran pentadbiran mereka. Bagi PAS pula mereka tidak konsisten, peralihan dari kepimpinan ulamak kini tidak menjanjikan kepimpinan baru ulamak tetapi telah berubah - mereka kini mahu mengikuti geografi politik yang ada untuk terus berusaha merebut kuasa. Kalau begitu baik digugurkan perkataan ISLAM yang selama ini dijadilkan instrumen untuk perjuangan mereka.
Bukankah UMNO masih lagi ortodoks dengan konsep perkauman berparti tidak seperti Parti Keadilan Rakyat ?
Itu hujah sempit politik. Berbicara tentang kemajmukkan dalam Barisan MPT sahaja tidak mengarcakan bahawa polarisasi kaum terhapus. Pengukuran harus bukan berasaskan ukuran statistik sempit tetapi melihat secara menyeluruh penerima kaum lain terhadap parti tersebut. UMNO dengan kehadiran MCA, MIC dan pelbagai parti kaum lain membuktikan bahawa ianya adalah penyatuan dalam konteks Barisan Nasional, diterima secara menyeluruh oleh struktur sosio budaya yang pelbagai di negara ini. Tidak timbul persoalan ortodoks parti perkauman dalam UMNO. Sebenarnya, inilah yang senantiasa saya tekankan, pentadbiran - dalam konteks ini penyatuan kaum dalam konteks geo - politik tadi. Nampak seakan lemah tetapi lebih mantap dan lebih menguntungkan. Ini kelebihan UMNO.
UMNO dalam konteks perubahan kepimpinan dikatakan mengamal budaya feudalisma, apa komen saudara ?
Satu hipotesis yang paling tidak masuk akal. Pernahkah mereka mengkaji erti feudalisma? Apakah perlantikan dalam UMNO tidak berasaskan pemilihan? Sekiranya tidak ada pemilihan konsensus diperlukan dan ianya mengikuti lunas demokrasi. Apakah kita lihat anak atau kerabat Perdana Menteri kita di tabalkan setelah Pendana Menteri meletak jawatan atau meninggal dunia? Sebenarnya bagi saya kenaikan Datuk Hishammuddin, Datuk Najib, Khairy Jamaluddin sungguhpun dikaitkan dengan langkah feudalisma - tetapi ciri - ciri kepimpinan mereka wujud. Banyak anak - anak bekas Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri kabinet lain yang ada dalam politik tetapi gagal menyerlah. Anak Allahyarham Tun Dr Ismail, keluarga Tunku Abdul Rahman hatta anak Tun Ghafar Baba dan Allahyarham Dato Harun Idris wujud tetapi tidak begitu menyerlah dalam politik negara ini.
Bagi Hamdan, tuduhan feudalisma itu adalah cercaan politik sahaja untuk kepentingan politik dan agenda politik parti pembangkang. Isu kononnya UMNO mengamalkan feudalisma tidak disertakan dengan kekukuhan pengeritan feudalisma menunjukkan kelemahan isu parti pembangkang. Kelemahan isu ini hadir sebenarnya adalah kerana kekuatan UMNO, kesungguhan UMNO dalam merangka sistem yang paling sesuai untuk politik Malaysia dan ini bersesuaian dengan klimaks politik negara ini - sekali lagi kondisi geo - politik negara ini mesti dirujuk.
Apakah sekiranya Parti Keadilan Rakyat memerintah maka akan rosak ketuanan Melayu ?
Asasnya kerosakan ketuanan Melayu tidak mungkin berlaku. Ini saya hujahkan berdasarkan 2 faktor. Faktor pertama adalah kehadiran UMNO dan faktor kedua adalah Parti Keadilan Rakyat tidak nampak akan memerintah negara ini. UMNO akan terus membela ketuanan Melayu dan hak bumiputera tidak mungkin digugurkan dari perjuangan UMNO. UMNO akan sentiasa hadir membela ketuanan Melayu tanpa diskriminasi terhadap kaum - kaum lain. Parti Keadilan Rakyat tidak mungkin merosakkan ketuanan Melayu dalam konteks pesoalan tadi kerana tidak mungkin mereka akan memerintah.
Apa komen saudara terhadap resolusi Datuk Hishammuddin selaku peneraju Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia untuk tidak menerima bekas - bekas parti pembangkang yang mahu menyertai UMNO ?
| |
Itu resolusi yang di buat beliau selaku beliau menerajui Pergerakan Pemuda UMNO. Yang penting agenda menyeluruh berlandaskan perlembagaan UMNO perlu diutamakan. Sekatan hanya akan menyebabkan UMNO tertutup dan semangat ini tidak sesuai dengan perjuangan UMNO secara keseluruhan.
Saya percaya Datuk Hishammuddin mempunyai pegangan murni untuk menyelamatkan UMNO dari serangan dalaman seperti yang berlaku pada insiden pembubaran UMNO dan krisis politik 1998 yang dicetuskan oleh Anwar Ibrahim.
Menyebut mengenai Anwar Ibrahim apakah dia akan Perdana Menteri Malaysia ?
Kalau beliau di dalam sirkulasi UMNO - tidak mustahil, tetapi sehingga hari ini saya lebih layak dari beliau untuk jadi Perdana Menteri kerana saya berada dalam UMNO dan beliau tidak. (sambil ketawa)
Apakah UMNO mengharapkan Anwar Ibrahim kembali dalam UMNO ?
Bagi saya tidak. Saya percaya ahli UMNO lain juga sependapat dengan saya - tidak mengharapkan Anwar Ibrahim kembali ke UMNO.
Walau justifikasinya adalah demi perpaduan Melayu, apakah UMNO tetap tidak mengharapkan beliau kembali menyertai UMNO ?
Kalau beliau mahu menyertai UMNO semula atas dasar mengutuhkan perpaduan Melayu apa salahnya? Beliau boleh berbincang dengan Perdana Menteri Malaysia - itupun kalau beliau sungguh - sungguh mahu melihat Melayu itu bersatu.
www.umno-reform.com ada menggesa agar Dato Seri samy Vellu meletakkan jawatan. Apa komen saudara ?
Asal desakan itu tidak sampai ke peringkat asfal, menghentam keperibadian menteri tersebut. Sebenarnya saya bersetuju dengan saranan www.umno-reform.com atas alasan untuk membawa masuk injeksi baru dalam kepimpinan Kementerian beliau. Evaluasi terhadap beliau harus dibuat oleh Pak Lah dengan mengambilkira semua aspek dalam pengukuran KPI atau Key Perfomance Index yang dilaksanakan oleh Pak Lah keatas penjawat awam kerajaan dan menteri.
Ekstremis agama - apa pandangan saudara mengenai isu ini ?
Apakah ini ditujukan kepada PAS, sekiranya PAS, bagi saya mereka bukan ekstremis agama. Kalau kita bercerita mengenai ekstremis - sama seperti sukan ekstrem - melampau - terlampau mencabar dan sebagainya. Ekstrem dalam konteks politik mungkin membawa kepada pengertian radikal. Namun apa sahaja ia tertakluk kepada struktur, had dan kefahaman berlandaskan pegangan mereka. Mereka radikal dalam mencapai cita - cita politik - bukan extremis agama. Agama adalah instrumen mereka dan bukan falsafah perjuangan mereka yang sebenarnya. Mereka mengertikan cita - cita politik dengan perjuangan Islam sedang UMNO mendaulatkan Islam dan Melayu sebagai satu kesatuan yang perlu diperjuangkan. PAS menolak erti pluralisma dalam satu kesatuan besar sistem kepimpinan negara ini. Penolakkan kehadiran pluralisme ini adalah kerana menghalalkan cara untuk matlamat. PAS perlu memberitahu rakyat secara jujur - bahawa mereka menerima pluralisasi dalam kesatuan politik - yang tidak bercanggah dalam apa bentuk sekalipun dalam Islam. Konsep kehadiran ikhtilaf ini ditolak oleh PAS sungguhpun ianya satu kesatuan yang telah tercipta dalam landskap agama itu sendiri. Penafian kewujudan pluralisma dalam teks agama (takwil) tidak diterima oleh PAS kerana penerimaan itu sebenarnya akan mencacatkan dan membantutkan serangan dan desakan politik mereka. Maka - PAS menutup sebelah mata pada kehadiran perbezaan pendapat agama sungguhpun dibenarkan oleh ALLAH SWT - lantas -menghukum kelompok yang berbeza dari segi tawilnya sebagai kafir.
Atas alasan ini - saya tidak meletakkan PAS sebagai eksterim agama - tetapi lebih kepada cara radikal dalam mahu mencapai matlamat untuk memimpin negara ini. Mereka mungkin dipesongkan atau mungkin lebih arif lagi mengenai pluralisama dalam Islam tetapi mengambil langkah berdiam diri kerana takut isu ini akan mengugat kedudukan Pas . Mereka mengambil tindakan untuk berdiam dan menyembunyikan kehadiran pluralisma dalam Islam. Ini hanya membuktikan betapa terdesak mereka untuk mendapat sokongan dan sebenarnya membawa makna, apa sahaja perlaksanaan mereka adalah tidak tepat dan Islam hanya instrumen buat mereka.
Berbalik isu Parti Keadilan Rakyat - sejauh mana parti itu dapat bertahan ?
Atas desakan dan platform demokrasi saya harap parti itu akan terus ada. Namun melihat cara Parti Keadilan Rakyat membangunkan agenda rakyat - setakat ini belum nampak mereka mampu bertahan lama. Parti Keadilan Rakyat sebenarnya hanya berpusat kepada Anwar Ibrahim dan kemungkinan Ezam Mohd Nor dan Azmin Ali. Sokongan hanya keatas isu Anwar Ibrahim dan tidak nampak ada perkembangan ikhlas untuk memperjuangkan agenda rakyat. Kalau ada pun bersyarat.
Kehadiran penyokong Parti Keadilan Rakyat sekarang ini antara lain adalah dengan harapan Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri kelak. Kalau hari ini Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak mahu berpolitik tetapi hanya mahu membuka NGO - ramai akan mengasingkan diri kerana harapan untuk memimpin negara ini menjadi jarak.
Hakikat parti itu mengamalkan sistem pelbagai kaum dalam parti itu akan membawa mereka ke jalan buntu. Sejarah pernah membuktikan parti sedemikian dengan corak sedemikian tidak akan dapat sokongan rakyat.
Saya nampak parti itu akan hadir - tetapi tidak akan cukup kuat. Mereka akan bergolak dari segi idealisma mereka dan akan menemui jalan buntu. Parti Keadilan Rakyat itu bagi saya adalah hak mutlak individu dan sekiranya berlaku perubahan arah individu tersebut maka terkuburlah parti itu.
Apakah pada pilihanraya akan datang UMNO mampu menyaingi Anwar Ibrahim ?
UMNO mampu dan UMNO sudah ada trek dalam menyaingi biar deras bagaimana pun saingan yang akan datang. Ini adalah kerana UMNO dekat dengan rakyat dan UMNO dapat membantu rakyat dalam apa juga keadaan. Yang ada pada pembangkang adalah janji - sehingga rakyat Terenggangu sedar lantas menolak walaupun PAS hanya sepenggal memerintah Terengganu.
Pada pandangan saudara apakah Pak Lah lulus ujian 365 hari dan apakah ada kebenaran bahawa Pak Lah gagal meneraju UMNO berbanding dengan Dr Mahathir ?
Tidak adil pemerintahan hanya lebih dari 365 hari di bandingkan dengan kepimpinan Dr Mahathir yang hampir 22 tahun. Namun bagi saya Pak Lah sedang merubah momentum kederasan pembangunan fizikal dengan pembangunan insaniah. Pengkhususan untuk melihat semula sumber dalaman khususnya pertanian adalah asas desakan beliau. Ini akan menguatkan kedudukan negara ini dari segi perekonomian - kerana sektor pertanian, perladangan dan nelayan adalah sektor yang menyaksikan tahap kemajuan yang perlahan. Tarikan anak muda pada sektor ini semakin kurang kerana pendapatan tidak separa dengan keringkat menjadi petani dan nelayan.
Arah pentadbiran Pak Lah adalah kesan pengamat beliau terhadap kesusahan rakyat dan ini harus dipuji. Saya percaya Pak Lah mampu bukan sahaja membangunkan ekonomi berlandaskan kemodenan dan perindusterian tetapi nilai manusia sejagat.
Akhirnya sekali apa yang diharapkan oleh saudara dalam mengharungi pahit getir berpolitik ?
Saya harap saya berjaya. Namun usaha adalah perlu dan tidak diabaikan kepercayaan bahawa semua adalah ketetapan ALLAH SWT itu sendiri.
Terima Kasih
editor1
Ghazali Mat Dom
www.umno-reform.com
|