Idealis Mahasiswa
 
 

Tsunami antara malapetaka alam dan balasan Tuhan


Hit = [ ]

sumber - Laman Astora Jabat

NAMPAKNYA ahli sains dan ahli agama berbalah berhubung malapetaka tsunami. Ahli sains menganggap malapetaka tsunami adalah aktiviti biasa alam. Manakala ahli agama pula (tidak semua) menganggap malapetaka tsunami adalah balasan daripada Tuhan di atas kejahatan dan kemaksiatan yang dilakukan oleh manusia.

Sebenarnya dalam semua agama terdapat kepercayaan bahawa malapetaka itu merupakan balasan daripada Tuhan.

Orang Mesir kuno pada zaman pemerintah Firaun umpamanya selalu ditimpa malapateka banjir besar dari Sungai Nil. Mereka sangat takut dengan banjir besar dari Sungai Nil itu kerana ia menyebabkan kemusnahan yang dahsyat kepada nyawa dan harta benda. Mereka percaya punca malapetaka Nil itu kerana Tuhan murka.

Lalu mereka menurut fatwa ahli agama mereka pada zaman itu terpaksa menghadiahkan seorang puteri cantik dari kalangan anak dara dalam masyarakat sebagai korban kepada Tuhan dengan ditenggelamkannya ke dalam Sungai Nil setiap tahun.

Bagaimanapun, korban sebesar mana pun tidak dapat menyelamatkan orang Mesir dari banjir besar. Pada tahun-tahun tertentu Mesir menjadi aman dan tidak dilanda banjir besar. Ketika itu mereka percaya korban mereka diterima Tuhan. Tetapi seperti semua fenomena alam, banjir besar yang luar biasa akan berlaku dalam tempoh 20 atau 40 atau 60 tahun.

Ketika fenomena alam luar biasa ini berlaku, orang Mesir kuno percaya korban mereka tidak diterima Tuhan dan dengan itu mereka terpaksa menilai semula korban itu berdasarkan bantuan ahli agama mereka dan ini termasuklah mencari anak dara yang paling cantik untuk dikorbankan.

Bagaimanapun, selepas tiba agama langit ke Mesir, iaitu Yahudi, Kristian dan Islam budaya memuja Nil itu berubah wajah dan menjadi amalan yang lebih dekat dengan ajaran dalam agama-agama berkenaan. Amalan mengorbankan anak dara sudah dihapuskan dan yang tinggal ialah perayaan Musim Bunga yang masih diamal di Mesir kini.

Namun begitu ketakutan kepada malapetaka Sungai Nil boleh dikatakan benar-benar terhapus pada tahun 60-an, iaitu apabila Presiden Gamal Abdul Nasser membina Ampangan Tinggi (as-Sad al-Ali/High Dam) di Aswan di hulu Mesir. Sejak itu banjir Sungai Nil dapat dikawal dan tidak lagi menimbulkan malapetaka besar kepada penduduk Mesir seperti beribu-ribu tahun dulu.

Ini bererti kemarahan dan kemurkaan Tuhan yang berpunca dari Nil pun tidak ada. Pada hal jika mengikut teori balasan Tuhan terhadap maksiat, orang Mesir kini pun melakukan maksiat seperti dulu dan sesiapa yang mengunjungi Mesir mengetahui perkara ini.

Hakikatnya ketakutan orang Mesir kepada malapetaka Nil masih tidak terhapus keseluruhannya kini kerana negara mereka berada di kawasan yang sering berlaku gempa bumi. Mereka bimbang gempa bumi boleh menyebabkan Ampang Tinggi pecah dan mengakibatkan banyak bandar dan kampung Mesir tenggelam termasuk bahagian-bahagian tertentu Kaherah.

Kepercayaan yang sama terdapat di kalangan bangsa-bangsa lain seperti orang Romawi. Orang Romawi memanggil gunung berapi Vesuvius yang meletup pada tahun 79 Masihi dan menghancurkan seluruh kota Pompeii itu sebagai Gunung Peringatan (The Mountain of Warning) kerana dipercayai ia merupakan peringatan dan balasan dari Tuhan.

Kota Pompeii merupakan kota yang termaju dan termakmur yang pernah didirikan oleh peradaban Romawi pada ketika itu. Ia menjadi yang sangat diminati golongan pemerintah dan orang atasan. Merekalah mengubah kota yang sangat indah itu menjadi kota kemaksiatan. Setiap pelosok kota istimewa itu penuh dengan pelacur dan budak liwat.

Cara hidup kemaksiatan penghuni dan pengunjung kota Pompeii turut terawet dalam batuan gunung berapi dan beberapa perbuatan perzinaan dan homoseksual turut terakam.

Cuma yang menjadi pertanyaan ramai orang jika malapetaka yang menimpa Pompeii itu bukan aktiviti alam tetapi ia merupakan peringatan dan balasan daripada Tuhan, mana ada nabi atau rasul diutuskan kepada bangsa Romawi pada tahun 79 Masihi itu?

Dalam semua kitab suci termasuk al-Quran, Injil dan Taurat menceritakan bahawa apa yang disebut sebagai malapetaka dari Tuhan itu biasanya diturun selepas nabi atau rasul memberi amaran berkali-kali kepada umatnya. Itu pun jika ditafsirkan teks kitab suci itu secara tektual atau harfiah.

Begitu juga jika benar Pompeii itu dihapuskan kerana dosa dan maksiat penduduk dan pengunjungnya, kenapa tidak dikenakan ke atas kota-kota Romawi lain yang tidak kurang dahsyat dari Pompeii pada zaman itu dan catatan sejarah ada menyebut bahawa penduduk dan pengunjung kota-kota itu terus bergelumang dengan dosa dan maksiat walaupun sudah melihat apa yang telah terjadi kepada Pompeii. Kota-kota yang berkenaan ialah Naples yang terletak tidak jauh dari Pompeii dan Pulau Capri yang menjadi syurga kaum homoseks.

Dalam konteks malapetaka tsunami pula ramai berkata masuk akal jika Tuhan turun bala ke atas Phuket yang terkenal sebagai salah satu syurga dunia itu, tetapi kenapa diturun bala yang paling dahsyat ke atas Acheh Darussalam?

Malah ada juga yang bertanya kenapa tidak turun bala ke atas negara yang paling jahat di dunia, iaitu Amerika Syarikat (AS) yang kini presidennya George W. Bush telah mengakibatkan pembunuhan 100,000 orang di Iraq. Angka malapetaka Bush ini hampir sama dengan angka malapetaka tsunami. Mungkin angka malapetaka Bush akan meningkat lagi memandangkan perang masih berterusan di Iraq. Selain itu beliau boleh mencipta macam-macam malapetaka lain di merata dunia dalam masa empat atau lima tahun memimpin negara polis dunia itu.

Begitu juga jika mengambil kira angka malapetaka Bush di Afghanistan.

Dua contoh malapetaka yang disebut di atas, iaitu malapetaka banjir Sungai Nil dan malapetaka Pompeii adalah malapetaka yang berlaku tanpa penyertaan nabi atau rasul sebagai penyampai amaran Tuhan.

Berikut penulis membawa pula contoh malapetaka yang digambarkan berlaku selepas diberi amaran oleh Tuhan melalui beberapa orang nabi dan rasul. Gambaran sedemikian dapat ditemukan melalui pembacaan teks semua kitab suci secara tekstual atau harfiah seperti malapetaka yang menimpa kaum Nabi Lut, kaum Nabi Nuh dan lain-lain.

Bagaimanapun, pembacaan kontekstual atau tidak harfiah terhadap segala malapetaka itu boleh bertemu dengan penyelidikan sains.

      

Dalam al-Quran, Injil dan Taurat secara tekstualnya menyebut malapetaka yang amat dahsyat telah menimpa kaum Nabi Lut yang tinggal di kota Sodom (as-Sadum) kerana kegiatan homoseksual yang dilakukan mereka.

Kota Sodom terletak di pinggir Laut Mati yang dulu dikatakan laut hidup. Kini kota Sodom tenggelam dalam Laut Mati yang kini terletak di wilayah antara Jordan dan Israel akibat balasan Tuhan terhadap maksiat dan perkara yang keji yang dilaksanakan oleh penduduknya.

Bagaimanapun, penyelidikan sains kini membuktikan bahawa kota Sodom tenggelam ke dasar Laut Mati kerana gempa bumi yang amat dahsyat akibat dari letupan gunung berapi.

Kawasan itu merupakan kawasan patahan atau titik bertemu antara dua kepingan kerak bumi yang bergerak berlawanan arah. Malapetaka itu berlaku disebabkan dua kepingan kerak bumi ini bergeser di kawasan patahan.

Justeru menimbulkan gempa bumi yang dahsyat dan diikuti dengan gelombang tsunami dari Laut Mati yang menyapu kawasan pesisir pantai dan menenggelamkan beberapa bahagiannya termasuk kota Sodom.

Mengenai Kaum Lut ini disebut dalam ayat al-Quran termasuk: (Demikian juga) kaum Nabi Lut telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka). Ketika saudara mereka Nabi Lut, berkata kepada mereka:

Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Sesungguhnya aku ini Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu. Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah dan taatlah kepadaku. Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam. Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia. Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)! Mereka menjawab: Sesungguhnya jika engkau tidak berhenti wahai Lut (daripada mencaci dan menyalahkan kami), nescaya engkau akan diusir keluar!

Nabi Lut berkata: Sesungguhnya aku dari orang-orang yang bencikan perbuatan kamu yang keji itu. (Nabi Lut berdoa): Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dan keluarga serta pengikut-pengikutku dari apa yang dilakukan oleh golongan (yang jahat) itu.

Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya serta pengikut-pengikutnya (semuanya);

Kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan yang kena azab itu.

Kemudian Kami hancurkan yang lain (yang menentang Nabi Lut).

Dan Kami hujani mereka dengan hujan (azab yang membinasakan); maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa kaum yang telah diberi amaran.

Sesungguhnya peristiwa yang demikian, mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman. (Surah asy-Syu'ara'a: 160-174)

Banyak lagi contoh malapetaka yang menimpa selepas diberi amaran oleh Tuhan melalui nabi atau rasul-Nya seperti yang tertimpa kaum Nabi Nuh, kaum Thamud, Kaum Aad dan sebagainya.

Kerana pemahanan tekstual terhadap teks-teks agama inilah menyebabkan ramai ahli agama dalam semua agama kini melihat malapetaka tsunami yang mengorbankan lebih 100,000 jiwa kini sebagai peringatan dan balasan daripada Tuhan.

Sebagai contoh Reuters melaporkan pada 29 Disember lalu bahwa ketua paderi Israel, Shlomo Amar berkata: ``Ia (malapetaka tsunami) merupakan ekspresi kemarahan amat sangat Tuhan terhadap dunia.''

Manakala Azizan Abdul Razak, Naib Presiden Pas yang turut dikutip pandangan oleh Reuters berkata malapetaka itu merupakan peringatan daripada Tuhan bahawa Ia yang mencipta dunia dan Ia mampu memusnahkannya.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempunyai pandangan yang serupa. Beliau dalam surat menyampai takziah kepada empat rakan sejawatnya di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis turut menyebut maksud ayat 40 daripada surah al-Ankabut yang bermaksud:

Maka tiap-tiap (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu dan di antara mereka yang ditimpa tempikkan suara keras yang menggunturkan, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan, dan Allah sekali-kali tidak hendak menganiayai mereka, akan tetapi merekalah yang menganiayai diri mereka sendiri.

Ayat al-Quran yang Nik Aziz berhujah itu merupakan ayat yang menceritakan tentang kaum Lut yang dihukum kerana maksiat homoseksual bermaharajalela dalam masyarakat.

Apakah relevansi ayat tersebut dengan malapetaka tsunami kini? Tanpa mengambil kira Phuket, Pulau Phi Phi dan beberapa kawasan maksiat lain, apakah terdapat maksiat setaraf dengan homoseksual kaum Lut itu dilakukan oleh mangsa tsunami kini sehingga mereka layak dikenakan hukuman dihapus daripada muka bumi?

Penduduk Acheh sebagai contoh, apakah mereka sangat jahat dan dengan itu mereka layak dikenakan hukuman yang sangat dahsyat itu?

Bagaimana pula dengan ribuan anak-anak tidak berdosa yang turut menjadi mangsa, apakah mereka patut menerima hukuman Tuhan?

Penulis mempunyai tafsiran yang berbeza tentang malapetaka alam dan balasan Tuhan ini dan perbincangan mengenainya dapat diikuti dalam ruangan ini minggu hadapan.

Note: Ralat:

Tulisan yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia ada sedikit kesilapan dan perkara itu sudah dibaiki dalam tulisan yang disiarkan di sini.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved