|
TAHNIAH di atas perlantikan Datuk sebagai setiausaha Parlimen di Kementerian Pengajian Tinggi. Boleh Datuk ulas mengenai tanggungjawab baru ini.
Terima kasih. Saya melihat banyak kebaikan apabila Perdana Menteri mengumumkan penubuhan kementerian baru ini. Saya berasa amat bertuah kerana diberi kepercayaan untuk berada di posisi sekarang. Satu tempat untuk saya memberi khidmat kepada pembangunan masyarakat khususnya di kalangan warga pelajaran tinggi.
Adakah posisi sekarang bersesuaian dengan gerak kerja Datuk sebelum ini ?
Ya. Saya dulu sebagai pengerusi Biro Pendidikan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, memang dari dulu lagi saya meletakkan agenda pelajaran sebagai sasaran utama. Sebagai setiausaha parlimen, memberi ruang kepada saya untuk memikirkan dan melaksanakan tiga perkara yang PM mahukan iaitu pertama Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Kedua, to learn, unlearn and relearn. Ketiga, kena refocus, rethink, relearn and resynergized.
Maksud Datuk ?
Sekarang kita menghadapi zaman k-ekonomi, zaman yang pesat dengan knowledge worker. Jadi kita perlu meletakkan pengajian tinggi di tempat yang tinggi supaya kita bukan sahaja mengeluarkan produk-produk graduate IPTA/S yang boleh apply kualiti, tetapi juga mampu untuk mendapatkan pensyarah-pensyarah berkualiti tinggi supaya lebih ramai masyarakat dunia akan datang ke negara kita. Apabila mereka balik ke negara masing-masing mereka akan berbangga mendapat ijazah daripada Malaysia sepertimana kita pernah berbangga apabila mendapat ijazah daripada England, Amerika Syarikat dan sebagainya.
Saya amat optimis, kita mampu majukan institusi pengajian tinggi di Malaysia sebagai pusat kecemerlangan ilmu di rantau ini. Maknanya tugas kami di sini lebih fokus berbanding dengan Kementerian Pendidikan dahulu. Kita mahu produk ke universiti pun yang terbaik. Dasar meritrokasi pada hari ini memainkan peranan penting dalam melahirkan produk yang lebih berkualiti.
Adakah ini agenda utama Kementerian Pengajian Tinggi ?
Perdana Menteri mahu agenda pendidikan negara dilihat secara serius. Beliau pernah menyebut bahawa human capital investment iaitu pelaburan untuk melahirkan lebih ramai bijak pandai supaya boleh mentadbir negara ini, berdaya saing untuk membawa pendidikan negara ini ke peringkat global. Jadi operasi di Kementerian Pengajian Tinggi ini, pertama sekali tentunya melebar luas peranan kita dengan mengadakan struktur organisasi yang bertepatan dengan kehendak kementerian. Saya melihat organisasi Kementerian Pengajian Tinggi bukan sahaja perlu komprehensif dan holistic tetapi mampu memartabatkan pengajian tinggi sebagai gedung ilmu dan pencarian ilmu yang tersohor pada masa depan. Kita mahu lebih ramai pensyarah-pensyarah muda akan naik pangkat sebagai profesor madya dan profesor supaya dapat mengajar anak-anak kita pada masa depan dalam dunia yang mencabar. Pada masa depan informative age tidak boleh kita capai sekiranya kita lemah pada waktu ini.
Adakah selama ini kualiti IPTA/IPTS dalam negara terkebelakang berbanding dengan universiti-universiti luar negara ?
Sebelum membuat penilaian kualiti antara universiti dalam dan luar negara, beberapa perkara asas, termasuk polisi sesebuah negara perlu dikaji terlebih dahulu. Kalau kita melihat mengikut acuan negara kita, memang kita harus berbangga dengan taraf dan pengiktirafan yang telah dicapai. Kriteria pensyarah, infrastruktur, pengajaran dan pembelajaran telahpun berjaya dipertingkatkan. Kerajaan telah banyak memberi bantuan kepada institusi pengajian tinggi sebagai menanggung perbelanjaan dan pembangunan di universiti.
Berbanding dengan kebanyakan negara luar, universiti mereka tidak ditanggung oleh kerajaan sepenuhnya. Selalunya masyarakat (pihak luar) menilai kualiti berdasarkan aspek penjanaan duit dalam universiti tetapi dalam negara kita, satu lagi aspek yang tidak boleh kita kesampingkan adalah konsep affirmative action iaitu membantu masyarakat terutama bumiputera yang masih ketinggalan. Hal ini sudah termaktub dalam dasar negara iaitu agenda Dasar Ekonomi Baru (DEB) bertujuan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Berbanding dengan universiti luar negara, mereka bercorak komersial dengan menjana kewangan sendiri dan mereka mengenakan charge tinggi kepada para pelajar untuk mereka menanggung universiti mereka. Sedangkan di sini hampir 90% pelajar-pelajar subsidized, diberi bantuan dan mereka hanya belanja 10 hingga 20 peratus terutamanya IPTA. Begitu juga dengan IPTS, kerajaan telah menyalurkan pelbagai bantuan seperti PTPTN. Selain itu, pinjaman atau biasiswa daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta juga turut ditawarkan.
Adakah kementerian bercadang untuk menambahkan lagi bilangan universiti ?
Pada masa ini kita telah mempunyai 17 IPTA. Ada yang bertaraf kolej universiti yang menekankan aspek kemahiran dan life-long learning. Setakat ini menteri telah mengumumkan untuk menubuhkan universiti penyelidikan. Saya yakin pada masa depan beberapa universiti akan turut dibina untuk memenuhi harapan menyediakan peluang kepada pembelajaran rakyat.
Ada berpendapat bahawa bertambahnya bilangan universiti adalah faktor masalah pengangguran di kalangan graduan. Apa komen Datuk ?
Kita melihat perkara ini sebagai penawaran. Di universiti kita tidak bolehlah memberikan ruang untuk belajar bidang-bidang yang terkenal sahaja. Kita perlukan masyarakat yang holistic (menyeluruh), walaupun bidang ikan, bidang marin, bidang biotech ataupun bidang sastera. Kita kena menawarkan. Yang boleh kita buat ialah menambah bilangan iaitu 60 peratus jurusan sains dan 40 peratus jurusan sastera. Kita perlukan lebih ramai bilangan saintis dan pencipta kerana golongan ini merupakan golongan profesional yang mampu bersaing di peringkat dunia.
Daripada hasil kajian yang telah dibuat oleh Kementerian Pendidikan, graduan terbahagi kepada tiga kategori iaitu yang telah bekerja, masih menganggur dan yang melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Jadi kategori penganggur tidaklah seramai seperti yang disangka selama ini dan mereka sebenarnya boleh memainkan peranan untuk mendapatkan pekerjaan. Sama ada mereka bekerja sendiri, bekerja di sektor swasta, ataupun menunggu untuk masuk ke sektor kerajaan.
Tetapi dalam sektor swasta, masalah mereka selalu dikatakan bahawa graduan IPTA/IPTS tidak menguasai Bahasa Inggeris dengan baik atau tidak mengusai ilmu pengetahuan secara pakej (K-worker). Dikatakan mereka lemah dalam bersosial dan kurang kemahiran dalam ICT. Jadi kalau penawaran dalam bidang kerja memerlukan nilai tambah, maknanya untuk masa akan datang, di peringkat universiti sendiri faktor-faktor ini perlu diberi penekanan supaya produk mereka lebih marketable, mudah dipasarkan dalam sektor-sektor awam, sektor swasta ataupun self-earning (bekerja sendiri).
Satu perkara lagi, definisi pengangguran itu pun perlu diperbetulkan. Menurut kementerian seseorang itu diistilahkan penganggur setelah tidak mendapat peluang pekerjaan selepas enam bulan bergraduat. Kalau dalam tempoh itu graduan itu mendapat pekerjaan itu bukan pengangguran. Pelajar-pelajar kita pada masa akan datang diharap bukan sahaja boleh bekerja dalam negara, bahkan mampu bekerja di luar negara. Hakikat ini perlu diterima kerana negara sekarang menuju ke era globalisasi. Mereka boleh mencari kerja di negara dunia ke-3, misalnya negara-negara NAM dan OIC yang Malaysia telah menjadi pengerusinya.
Pada saya, satu lagi aspek yang lebih penting ialah learning outcome iaitu pembelajaran tentang kaedah-kaedah mengaplikasikan pengetahuan apabila telah keluar dari universiti. Selain itu, graduan boleh meningkatkan keupayaan diri mereka dengan memahirkan diri melalui kerja sementara ataupun mengambil skim-skim yang disediakan oleh Kementerian Sumber Manusia seperti skim siswazah lanjutan. Sekurang-kurang graduan itu mempunyai nilai tambah sebelum mereka mendapat pekerjaan tetap.
| |
Difahamkan kementerian telah memperkenalkan program dwi pengkhususan di seluruh IPTA. Boleh Datuk jelaskan apakah motif perlaksanaan program ini ?
Ya, kementerian telah mengumumkan untuk mengadakan program dwi pengkhususan kepada seluruh IPTA. Universiti telah pun bersetuju mengadakan program itu sebagai salah satu cara untuk membolehkan produk mereka lebih marketable di pasaran. Saya difahamkan, sebelum ini universiti kurang berupaya melahirkan pelajar mempunyai nilai tambah, jadi apabila dwi-pengkhususan ini dilaksanakan diharap akan dapat melahirkan graduan yang lebih luas skop pembelajaran dan meluaskan peluang pekerjaan mereka sesuai dengan bidang pengajian mereka. Dari segi perlaksanaannya bergantung kepada pihak universiti. Kita difahamkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diperkenalkan program ini. Kita memang menggalakkan agar turut dilaksanakan di semua IPTA lain.
Misalnya yang mengambil jurusan sains sosial boleh dikombinasi dengan jurusan teknologi maklumat. Kalau sekiranya peluang pekerjaan terhad kepada penghususan sains sosial, pelajar itu masih ada peluang kedua iaitu teknologi maklumat. Perkara ini akan menguntungkan mahasiswa kerana mereka boleh menawarkan dua perkara yang berbeza dalam satu masa.
Bagaimana pula dengan kemahiran interpersonal ?
Perkara ini juga penting. Ketrampilan diri seseorang mahasiswa itu amat penting terutamanya ketika menghadiri proses temuduga. Selain daripada mempunyai pengetahuan, mahasiswa perlu mempunyai kemahiran lain iaitu mempunyai nilai-nilai murni seperti keyakinan, sikap bertanggungjawab dan komited dengan bidang yang diceburi.
Kita sering diberitahu bahawa graduan tidak dapat menghadiri interview dengan baik malah tidak dapat menjawab dengan yakin dan tepat apabila mereka berada dalam pasaran kerjaya yang memerlukan temuduga. Sepatutnya perkara ini tidak terjadi kerana di dalam kampus mereka sudah dilatih, dengan kemahiran-kemahiran komunikasi, berbahasa asing (terutamanya Bahasa Inggeris), dan berorganisasi.
Adakah mentaliti bekerja di sektor awam masih sesuai pada zaman sekarang dan akan datang ?
Memang ada kecenderungan graduan untuk bersikap begitu dan kebanyakan mahasiswa merasakan lebih selamat kalau mereka masuk ke sektor awam kerana berdasarkan faktor jaminan. Tetapi selepas mereka masuk ke dalam bekerja di sektor awam terdapat juga di kalangan mereka yang mengalami konflik diri terutamanya jika dibandingkan dengan rakan-rakan mereka yang bekerja di sektor swasta. Sudah tentu keupayaan skim gaji dan kenaikan pangkat berbeza di antara kedua-dua sektor ini. Gaji di sektor swasta boleh melebihi 3 atau 4 kali ganda lebih tinggi daripada sektor awam.
Masa sudah berubah. Sekarang kerajaan lebih mementingkan sektor swasta. Dasar penswastaan yang diperkenalkan oleh kerajaan menyebabkan lebih banyak syarikat-syarikat baru telah muncul yang memerlukan pekerja dan menjana ekonomi negara dengan lebih efektif.
Begitu juga dengan golongan graduan self learning membuka perniagaan secara kecil-kecilan atau berkongsi ataupun mencari nilai tambah dalam diri mereka seperti menuntut di peringkat yang lebih tinggi.
Difahamkan Datuk pernah bekerja di sektor awam dan swasta. Boleh beri ulasan lanjut.
Sebagai seorang doktor perubatan saya dimestikan bekerja dengan kerajaan dalam tempoh tertentu. Selepas tempoh itu saya mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan, iaitu membuka klinik sendiri. Pada hari ini, sebelum saya menjadi Setiausaha Parlimen, saya telah pun mempunyai 9 buah klinik di daerah Johor Bahru. Ini menunjukkan walaupun dahulu saya pelajar perubatan, nampaknya ruang untuk berkhidmat dalam sektor swasta lebih bermanfaat kepada diri saya. Selain itu, saya menambah nilai diri saya dengan mengambil kemahiran dalam bidang cleaning industri. Ini akan menambahkan lagi pendapatan saya pada masa itu.
Maksudnya Datuk lebih selesa bekerja di sektor swasta ?
Dalam sektor swasta, kalau kita mempunyai ilmu yang lengkaplah sebagai K-worker, kita mudah untuk naik sebagai pekerja yang mempunyai kelayakan dan ganjarannya lebih tinggi. Selebihnya, kita akan mendapat kepuasan untuk diri sendiri. Kalau kita bekerja, kita akan dapat lebih, kalau tak bekerja kita akan dapat kurang. Tetapi kalau kita lipatgandakan usaha dengan ilmu-ilmu tambahan akan mendatangkan pulangan yang lebih lumayan. Semasa saya bekerja di sektor awam hanya RM1,800.00 sebulan, tetapi apabila saya buka klinik sendiri, saya mampu mencapai pendapatan lebih kurang RM 10,000.00 sebulan.
Boleh Datuk jelaskan penglibatan dalam bidang politik ?
Saya melihat negara memerlukan rakyat yang membalas jasa kepada kerajaan. Kita perlu melihat, kenapa orang-orang sebelum ini (pemimpin negara) memberi ruang kepada anak bangsanya selepas itu untuk menjadi cerdik pandai dan golongan profesional. Zaman mereka telah lepas, sekarang zaman kita pula, sebagai pewaris untuk membantu generasi akan datang.
Saya menceburi bidang politik berasaskan faktor minat, semangat untuk membalas jasa dan berkorban untuk bangsa, agama dan negara. Itulah saya menzahirkan harapan saya dengan menceburkan dalam bidang politik dan saya tahu pada waktu ini, ialah sesuatu yang saya dapat hari ini adalah kesan daripada perjuangan UMNO yang memperjuangkan nasib orang-orang Melayu dalam bidang pendidikan. Jadi saya menceburi bidang politik demi memenuhi tuntutan aspirasi negara.
Sebenarnya bidang kerjaya saya sebagai doktor lebih dekat dengan masyarakat. Saya suka mendengar dan membantu masyarakat. Apabila sudah banyak membantu masyarakat, masyarakat pula telah memilih saya sebagai wakil mereka dengan cara mengundi saya supaya menjadi ahli politik di kawasan mereka. Mereka juga mencalonkan saya sebagai Ketua Pemuda UMNO bahagian. Saya tidak banyak pilihan kerana mereka mahukan saya. Sekarang saya dipilih pula sebagai Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Biro Pendidikan.
Apakah fungsi Biro Pendidikan Pemuda UMNO untuk membantu mahasiswa/i institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) ?
Kita turut membantu mahasiswa IPTS. Pada suatu masa terdapat jurang yang tinggi antara pelajar Melayu dan bukan Melayu di IPTS. Kita dapati tidak ramai pelajar Melayu yang mampu memasuki intitusi swasta itu kerana masalah yuran tinggi. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dato Hisyamuddin Tun Hussein telah mengarahkan saya supaya melihat perkara ini dan mengatasinya.
Kita telah menubuhkan tabung bagi membantu pelajar-pelajar Melayu di institusi itu. Kita juga turut berbincang dengan IPTS yang bukan daripada kalangan Bumiputera untuk mengatasi masalah ini. Akhirnya mereka (IPTS) telah bersetuju untuk mengeluarkan dana berbentuk penghapusan yuran-yuran pengajian. Walaupun yuran pengajian ditanggung, para pelajar masih perlu membayar yuran buku dan penginapan.
Setakat ini, kita dapati 19 buah IPTS aktif membantu kita hingga kita dapat mengumpul dana sebanyak RM6.5 juta.Pelajar-pelajar Melayu yang berkelayakan diberi ganjaran berbentuk pinjaman boleh ubah. Sekiranya mereka mendapat keputusan yang cemerlang, mereka tidak perlu membayar balik. Itu adalah antara agenda kita untuk meramaikan pelajar Melayu ke IPTS.
|