|
GOSIP percintaan yang melanda dua penyanyi ini memang cukup hangat, hingga ada khabar yang mengatakan mereka akan mengikat perhubungan ini dengan ikatan yang sah. Lebih hangat, kononnya perhubungan mereka menjadi mekar kerana mendapat restu daripada orang tua.
Begitulah dunia seni, selalu kisah beginilah yang lebih mendapat perhatian berbanding kisah kerjaya seni. Fazley sendiri pernah mengakui, biarpun dia seboleh-bolehnya tidak mahu kisah begini disensasikan, namun sebagai artis, dia harus akur dengan hakikat sensasi itulah yang dinamakan hiburan.
Terbaru, namanya sekali lagi dikaitkan dengan Siti Nurhaliza apabila penyanyi yang mencipta nama dengan lagu Asmara Ini terbang ke Indonesia. Kononnya, pemergian Fazley ke sana adalah khusus untuk menemani Siti Nurhaliza yang sedang sibuk dengan jadual konsertnya di sana.
"Benar saya ke Indonesia. Saya ke sana pada 17 Disember dan pulang semula ke Kuala Lumpur pada hari Ahad, 19 Disember lalu. Saya ada juga mendengar gosip ini tetapi sudah namanya gosip, belum tentu kebenarannya.
"Terus terang cakap, pada tarikh-tarikh berkenaan, sebenarnya saya sendiri tak tahu di mana Siti Nurhaliza berada. Jadi, mana mungkin saya ke sana mahu menemaninya. Biasalah mulut orang, kebetulan saya dan Siti memang menjadi bahan gosip sekarang... Jadi, segala apa yang boleh dikaitkan tentang kami, pasti dikaitkan.
"Saya perlu jelaskan di sini, saya ke Indonesia bukanlah kerana Siti. Saya tak tahu apa aktiviti Siti kala saya berada di Indonesia. Kami hanya teman artis dan bekerjasama untuk kerjaya. Itu sahaja. Jadi, saya harap, tak perlulah nama kami dikaitkan lagi. "Cerita tentang kami bercinta dan bertunang dan sebagainya itu tak benar sama sekali. Masing-masing sibuk dengan kerjaya sendiri dan saya misalnya, sedang sibuk dengan urusan pembikinan album terbaru. Saya belum terfikir untuk bercinta.
"Macam saya cakapkan sebelum ini, tumpuan saya adalah untuk kerjaya dan pelajaran. Insya-Allah, kalau saya nak kahwin, saya akan beritahu... Tapi bukanlah sekarang. Saya mahu terus berjaya di bidang seni. Jadi, tahun 2005 ini, saya akan tumpukan perhatian terhadap album baru saya.
"Malah, saya ke Indonesia baru-baru ini pun sebab album. Saya ke sana bukan kerana Siti tetapi kerana Glenn. Album baru saya nanti akan mendapat sentuhan Glenn dan kunjungan saya ke sana, memang khusus untuk berbincang bersama Glenn dan team produksi album di sana.
"Dalam masa yang sama, Glenn mempelawa saya menjadi artis undangannya dalam konsert yang dijayakan di bandar Jakarta. Saya memang happy dapat bekerjasama dengan Glenn kerana Glenn merupakan idola saya," kata Fazley dengan nada riang.
Mahu Cipta Nama Di Indonesia
MUNGKIN ramai yang tidak tahu, tetapi sebenarnya, hubungan Fazley dan Glenn Fredly sudah lama terjalin iaitu sebelum Glenn bergelar artis lagi.
"Saya kenal Glenn sebelum dia buat album lagi, sebab saya kenal rapat dengan kawan Glenn semasa di universiti dulu. Masa tu, saya dapat dengar sample album dia lagi... Saya dapati dia memiliki vokal yang bagus dan saya senang dengan muziknya.
"Sebab itulah, apabila Glenn bersetuju untuk terbitkan album dan bagi lagu kat saya, ia ibarat bulan jatuh ke riba. Muzik dah sebati dengan jiwa saya dan saya sangat gembira dengan kerjasama ini. Saya anggap ini satu platform untuk memasarkan album saya ke Indonesia.
"Kalau ikut perancangan, album terbaru saya yang akan diberi judul Kerna Asmara ini akan memasuki pasaran Indonesia. Jadi, alang-alang nak pasarkan album di Indonesia, eloklah saya selitkan satu lagu ciptaan komposer Indonesia.
"Lagipun, saya sebenarnya pernah membesar di Jakarta kala kecil dulu. Saya bersekolah tadika di sana dan apabila terjalinnya kerjasama begini, ia ibarat mengembalikan nostalgia saya semasa kecil-kecil dulu.
| |
"Lagu ciptaan Glenn tersebut berjudul Biarkanlah dan memang elemen muzik Indonesia tu amat kuat dalam lagu ni. Saya juga sebenarnya menyimpan keinginan untuk berduet dengan Glenn... Teringin sangat tetapi buat masa sekarang, cukuplah dengan apa yang ada dulu. Kalau ada rezeki untuk berduet dengan Glenn nanti, pasti saya terima dengan hati yang cukup gembira.
"Saya happy jumpa Glenn sebab di antara saya dan dia, memang sudah kenallama. Jadi, apabila berjumpa, ia ibarat pertemuan dengan sahabat lama. Tak terlalu formal meskipun tujuan saya bertemunya memang kerana kerja.
"Untuk pengetahuan semua peminat, sekarang nisaya memangtengah sibuk dengan rakaman vokal album terbaru saya yang akan membawa beberapa perbezaan berbanding album sebelum ini. Selain menukar imej agar saya nampak lebih muda, album ini akan ada elemen moden, pop dan urban, selain elemen muzik Indonesia yang saya katakan tadi," kata Fazley yang hanya sempat membeli-belah sedikit sahaja semasa di Jakarta.
Takut Tengok Tsunami
APABILA bencana tsunami melanda negara baru-baru ini, rupa-rupanya Fazley turut berada salah satu tempat kejadian dan melihat sendiri bagaimana ganasnya ombak menuju daratan.
"Waktu itu, saya berada di Pulau Langkawi bersama keluarga. Saya ada sedikit kerja berkaitan show dan mahu berehat bersama keluarga. Saya ingat lagi, waktu itu sekitar pukul 12.00 tengah hari dan saya bersama adik, Faizal berada di luar hotel penginapan kami.
"Waktu itu, saya sebenarnya sedang mendengar lagu-lagu dalam album terbaru saya. Saja nak dengar balik apa yang sudah saya rakamkan. Tiba-tiba, saya nampak warna putih dari tengah lautan dan hati saya mula berkata-kata; 'Eh, ombak besar ni macam tanda-tanda awal tsunami'.
"Sebabnya, semasa saya menuntut di New Zealand dulu, saya pernah belajar tentang fenomena tsunami. Apabila saya melihat ombak dari tengah laut berkumpulan dan berwarna putih, saya dah syak akan berlaku sesuatu.
"Saya cakap kat Faizal dan mereka yang ada di situ, bahawa itu fenomena tsunami dan lebih baik bergerak sekarang sebab saya bimbang akan terjadi sesuatu yang lebih buruk. Tapi masa tu, ramai yang tidak percaya dan anggap ia ombak biasa sebab tsunami ni... kita hanya akan nampak di tengah laut, kemudian ia akan reda sikit dan mengganas kembali apabila dah hampir tiba di tepi pantai.
"Ketika itu, ada yang mentertawakan saya. Tetapi saya cepat-cepat pergi ke tempat yang lebih selamat. Alhamdulillah, tiada apa yang berlaku terhadap saya dan keluarga. Tetapi saya melihat sendiri bagaimana tsunami mengganas di depan mata saya.
"Saya tengok sendiri ada orang ditelan ombak dan melihat bagaimana ombak yang ganas itu memukul pantai. Saya juga menyaksikan sendiri ikan-ikan melompat di persisiran pantai. Bot dan sampan pula berlanggar sesama sendiri dan menghentam perkampungan nelayan. Suasana masa tu memang kelam-kabut sangat, semua orang yang ada berdekatan pantai, bertempiaran lari menyelamatkan diri.
"Maklumlah, segalanya tak diduga. Saya memang sedih dengan apa yang berlaku dan rasa ngeri melihat sendiri kemusnahan itu ada sampai sekarang. Kalau nak tahu, semasa tu, saya sebenarnya dah plan nak pergi memancing tetapi entah mengapa, hati saya belum tergerak nak pergi. Itulah kebesaran Illahi.
"Apa pun, bencana tsunami yang melanda negara ini ada rahmatnya. Saya yang nampak sendiri apa yang berlaku, memang mengucap panjang dan ia cukup memberikan kesedaran buat saya. Saya sedar kekuasaan Illahi dan nyawa kita hanya pinjaman sahaja.
"Kalau disuruh cerita balik betul-betul apa yang saya nampak, rasanya tak tercerita sebab apa yang berlaku, cukup dahsyat. Sukar untuk saya gambarkan. Bagi saya, apabila melihat kebesaran Ilahi ini, memang hati jadi insaf dan kita sedar siapa kita sebenarnya. Sebab itu, saya selalu berpesan kepada adik-adik saya, biar ke mana kita pergi, jangan sesekali tinggalkan solat," kata Fazley mengakhiri perbualan mengenai pengalaman cemasnya itu.
|