|
Kritikan terhadap tiga orang pemimpin PAS – Timbalan Presiden Ustaz Hassan Shukri, Naib Presiden Ustaz Azizan Abdul Razak dan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Ustaz Harun Taib - mempunyai asas yang kuat tentang ketidakmampuan mereka untuk terus memimpin PAS ke arah hala tuju yang lebih realistik demi menjayakan misi menawan Malaysia.
Tentunya sekali kita tidak dapat mempersetujui kritikan yang mengatakan bahawa ianya bertujuan untuk memusnahkan PAS kerana kritikan dibuat secara fokus terhadap mereka bertiga sahaja.
Ianya juga bukan kritikan terhadap institusi ulama dalam kepimpinan PAS kerana ulama-ulama lain dalam PAS tidakpun dikritik hebat oleh mana-mana pihak. Ulama lain, terutama Dr Haron Din dan Ustaz Ahmad Awang didapati amat terbuka dan progresif.
Justeru, ia hanya melibatkan ketiga-tiga pemimpin ini sahaja. Mereka ini adalah pemimpin yang bermasalah dan anti-pembaharuan dalam parti.
Ustaz Hassan adalah seorang pemimpin veteran PAS yang tidak mempunyai gagasan bagi memantapkan perjuangan parti, seiring dengan alaf baru yang lebih mencabar. Beliau menang jawatan timbalan presiden pun atas simpati perwakilan kerana beliau adalah orang lama dan selalu membersihkan persekitaran Markaz Tarbiyah PAS Taman Melewar.
Menurut satu sumber, beliau sering menjadi penentang kepada idea-idea pembaharuan yang ditimbulkan ketika mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat (AJK). Tambahan pula, beliau juga tidak patuh kepada keputusan Majlis Syura PAS Pusat sebelum pemilihan tahun lalu yang mahukan supaya jawatan timbalan presiden tidak dipertandingkan bagi memberi laluan kepada Dr Haron.
Bayangkan dalam menghadapi cabaran besar daripada arus globalisasi, Ustaz Hassan cuma mampu menyatakan buah fikirannya tentang memperbanyakkan cawangan PAS.
Ditambah pula dengan isu kerugian pelaburan Kohilal yang diketuainya itu yang sampai sekarang penulis masih menantikan penjelasan peribadi daripadanya demi untuk membersihkan dirinya.
Kepimpinan PAS pula, terutama lembaga displin parti, amat lemah kerana tidak mengambil sebarang tindakan sampai ke hari ini, mungkin kerana kes ini melibatkan pimpinan nombor dua dalam parti.
Penulis yakin, sekiranya kesalahan sedemikian dilakukan oleh pimpinan parti di peringkat kawasan, maka sudah tentulah tindakan displin akan segera diambil. Kenapa berlaku sikap ‘double standard’ sebegini rupa ?
| |
Manakala Ustaz Azizan pula sering membantah pandangan positif untuk menaikkan imej parti ketika mesyuarat AJK PAS Pusat. Dalam pada itu, beliau juga mengimpikan jawatan Menteri Besar Kedah jika PAS menang di Kedah tempoh hari.
Menurut sumber saya dalam PAS Kedah, di peringkat awalnya, Ustaz Taib Azamuddeen akan diletakkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang selamat kerana beliau memang sudah dikenal pasti akan kalah di kerusi parlimen Baling.
Namun begitu, Ustaz Azizanlah yang bertanggungjawab mencantasnya dengan mengekalkannya di Baling supaya jika PAS menang di Kedah, hanya Ustaz Azizan seorang sahajalah calon yang layak menjadi menteri besar.
Pemimpin terakhir yang penulis bersetuju supaya dapat digantikan dengan pemimpin lain ialah Ustaz Harun Taib. Beliau adalah seorang lagi pemimpin yang bersifat ‘garis keras’ (hardliner) yang mengagungkan idea-idea lama sahaja.
Dalam mesyuarat-mesyuarat Dewan Ulama, beliau yang menunjukkan sikap ‘one-man show’, banyak memfokuskan mesyuarat kepada melabelkan pimpinan tertentu sebagai golongan Abim atau JIM dalam parti, yang disifatkan sebagai golongan pengacau.
Ini amat difahami kerana dua golongan tersebut mahukan imej dan strategi parti yang dinamik dan progresif di atas sifat PAS sebagai parti politik dan bukannya badan NGO dakwah.
Penulis juga mengharapkan agar pemimpin PAS tidak lagi bersikap jumud (beku) yang menyempitkan pandangan ahli di peringkat akar umbi. Majlis Syura PAS janganlah terlampau asyik hendak menghukum sahaja - ini yang menyebabkan golongan atas pagar menjauhkan diri dari PAS.
Rakan-rakan penulis yang terdiri daripada golongan bukan Islam, ketika ditanya tentang persepsi mereka terhadap PAS, mengatakan PAS memang baik tetapi mereka masih lagi bimbang sekiranya PAS berjaya memerintah Malaysia kerana beranggapan kerja PAS hanyalah sekadar menghukum orang sahaja.
PAS sebagai sebuah parti politik yang bercita-cita besar, harus pandai membaca isyarat semasa.
Bagaimana anda mahu menjemput orang ramai datang ke rumah anda sedangkan pada masa yang sama, anda menutup pintu pagar. Dan anda memberitahu orang ramai yang hendak ke rumah anda itu bahawa di rumah anda ‘ni tak boleh, tu tak boleh’
Fikir-fikirkanlah.
|