|
KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini memberitahu, Datuk Khalid Jafri mendakwa dia yakin dengan isi kandungan artikel yang ditulisnya di halaman 29 perenggan 12 buku bertajuk 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi PM selepas mendapat pengesahan daripada lima penama.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Musa Hassan berkata, perkara itu diketahui daripada temu bualnya dengan Khalid dan lima lagi penama yang disebut sebagai orang yang ditemui oleh tertuduh bagi mengesahkan artikel tersebut.
"Khalid memberitahu saya bahawa dia telah bercakap dengan Umi Hafilda Ali, Azizan Abu Bakar, Khairuddin Abu Hasan, Dr. Ristina Majid dan Raju untuk mengesahkan dakwaan itu.
"Khalid menyatakan kepada saya kelima-lima mereka mengesahkan kandungan artikel yang ditulisnya itu," kata Musa yang bertindak sebagai penyelia siasatan kes tersebut.
Saksi itu berkata demikian ketika disoal oleh peguam yang mewakili Khalid, Sashi Menon.
Perbicaraan kini dalam peringkat pembelaan.
Khalid atau nama penuhnya Abdul Khalid @ Khalid Jafri Bakar Shah, 63, didakwa menulis berita palsu pada muka surat 29, perenggan 12 buku tersebut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada Mei 1998 di Pejabat Media Pulau Legenda, No. 27M, Jalan Kosas 13, Taman Kosas, Ampang.
| |
Khalid didakwa di bawah Seksyen 8(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memperuntukkan hukumah penjara maksimum tiga tahun atau denda RM20,OOO atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar.
Menyambung keterangannya, Musa berkata, Khalid bagaimanapun memaklumkan dia tidak dapat memberikan butiran nama mereka berlima dalam kenyataannya kerana takut nyawa mereka diancam.
"Saya kemudiannya telah memanggil mereka berlima dan merakamkan percakapan. Mereka juga memberitahu telah berjumpa dengan Khalid.
"Saksi-saksi itu percaya bahawa perkara yang ditulis itu adalah benar," kata Musa.
Jelas Musa, beliau telah mengarahkan siasatan terhadap kes itu diteruskan termasuk membuat ujian DNA.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Saman Mohd. Ramli bersambung pada 2 Mac tahun depan.
|