Menjelang berlangsungnya kongres pertama Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Ipoh pada 17 – 19 Disember lepas berbagai pertanyaan terlontar mengenai wira reformasi Lunas itu – Saifuddin Nasution. Ada macam-macam cerita mengenainya. Sebenarnya cerita itu meletus sebelum itu lagi. Kononnya wira Lunas ini sudah tawar hati dan mahu minggat (lari) daripada Keadilan (PKR)?
Beliau dikhabarnya sudah tidak berminat untuk berjuang bersama Sdr. Anwar Ibrahim lagi. Apapun sebab musababnya masih kelabu. Ada yang mengatakan beliau kecewa dengan sikap Anwar yang tidak mempedulikannya. Peduli tentang apa?
Jikalah kerana itu, (tanpa kepedulian) daripada Anwar bukan sahaja Saifuddin merasakannya tetapi ramai lagi. Namun dalam hal ini kita harus rasional di dalam keadaan seperti hari ini (dilema) tidak termampu untuk Anwar hendak mempedulikan kepada semua orang dengan sepenuhnya.
Ketika ini apa yang diperlukan oleh wira semua bangsa itu ialah pengertian kita semua terhadap penerusan perjuangannya. Kepedulian kita kepada hujung jatuh perjuangan memartabatkan keadilan dan kebenaran.
Perkara Saifuddin kecewa dan merajuk itu menjadi hebuh terutamanya di dalam Keadilan. Namun di luar masih ramai yang tidak tahu dan melihat tidak ada apa-apa ‘ketegangan’ yang berlaku di antara Saifuddin dengan Anwar. Biasa-biasa sahaja.
Mungkin kerana tidak ada niat bagi Saifuddin (untuk meninggalkan Keadilan) beliau tampil membuat penafian. Kalau tidak silap ianya disiarkan dalam portal Malaysia-today. Dengan penafian itu keraguan mengenai pendirian politiknya reda dan beliau masih bersama Keadilan dan bersama Anwar Ibrahim.
Tegas beliau di dalam penafian itu; “sampai sekarang saya masih ahli Keadilan, malahan mendapat pencalonan tertinggi untuk merebut kerusi MPT”. Kenyataan berbau politik itu benar-benar melagakan dan ramai yang berterima kasih kepadanya kerana masih konsisten dengan perjuangan Keadilan. Sebenarnya Saifuddin di antara orang yang menjadi harapan di dalam Keadilan.
Selepas penafian itu langsung berita dan cerita mengenai Saifuddin hendak beralih angin itu pun reda. Sebenarnya Saifuddin tidak payah bergelagat demikian. Sebagai seorang pemimpin yang dikenali sebagai hebat, bersyarat penuh dengan fakta dan petah mematikan hujah lawan, beliau tidak sepatutnya membuat kontroversi seperti itu atau mudah melontar angan-angan demikian.
Saifuddin adalah bekas pasukan Ahmad Zahid Hamidi (si jantan yang takut bini). Beliau dikatakan meninggalkan ‘kesenangan’ demi Anwar Ibrahim – memperjuangkan keadilan dan kebenaran. Apakah setelah membuat keputusan itu (meninggalkan kesenangan) maka beliau terpaksa membetulkan balik tindakannya? Kalau benar begitu tindakan Saifuddin itu tidak bijaksana.
Bagaimana pun penafian beliau itu bagi kalangan yang rapat dengannya dan juga pihak Pas menganggap hanya sebagai untuk menenangkan keadaan sahaja. Setidak-tidaknya menjelang kongres PKR tempoh hari. Saifuddin khabarnya tetap dengan keputusannya – beliau akan pamit dan mengucapkan selamat jalan kepada Anwar dan akan memilih Pas sebagai wadah.
Berita Saifuddin hendak masuk Pas ini bukan cerita rekaan tetapi ia sampai ke pengetahuan pihak Pas, khususnya Pas Kelantan. Pas dikatakan sudah menyediakan tapak dan juga kawasan untuk beliau bergerak iaitu di Machang. Beliau akan aktif di situ dan akan bertanding Parlimen Machang.
| |
Alasan kenapa Machang ialah kerana di situ kampung isterinya – oh rupanya isteri Saifuddin mek Kelantan! Kalau benar maka Saifuddin adalah kesekian orang yang mencari dan menumpang tuah di Kelantan untuk menjadi wakil rakyat?
Dalam hal ini perlu diingatkan sungguh pun politik Kelantan terbuka dan orang Kelantan unit dengan ‘keliberalisme-an’ tetapi bukan senang juga untuk Saifuddin membina jalan ke Parlimen di Kelantan! Saifuddin kena berfikir panjang dalam soal ini.
Keredaan mengenai Saifuddin bagaimana berombak kembali apabila beliau tidak muncul-muncul semasa kongres di PKR? Mengapa? Ramai orang hampa dengan ketidakmunculannya itu. Tidak pula ada khabar berita mengatakan beliau sakit atau dibaham ombak tsunami. Ketika itu tsunami masih pun belum bergelora lagi.
Kecewa dan hampalah sekalian para peminat, kawan dan sahabat Saifuddin dengan telatahanya itu. Ketidakhadiran pada kongres itu menyebabkan orang berdesih semula mengenainya. Desas desus sebelum ini hampir menjadi benar. Orang mula membuat jangkaan sendiri mungkin benar Saifuddin akan meninggalkan Keadilan.
Iya, kalau beliau masih bersama Keadilan dan sayang kepada wadah itu kenapa beliau tidak hadir? Bukankah beliau salah seorang pemimpin tertinggi? Bekas salah ahli Majlis Tertinggi? Kedudukan itu adalah top level dalam sebuah parti politik. Tidak ada sebab untuk beliau tidak hadir.
Rasa ganjil itu bukan di situ sahaja, orang terus merasa ganjil apabila tiba-tiba beliau muncul dalam rancangan Debat Perdana RTM yang mewakili Keadilan? Apa pula ceritanya ini? Kalau kongres tidak pergi tetapi kenapa bila televisyen beri peluang kita nak ambil kesempatan untuk mendapatkan publisiti pula? Di manakah sikap gentleman Saifuddin?
Dan terbaru alih-alih beliau katanya akan membentang kertas kerja di konvensyen anjuran Angkatan Muda PKR Kelantan pada 15 Januari (Ahad) ini bersempena lawatan Anwar ke Kelantan. Apa pula jadahnya? Kalau benar beliau enggan bersama Keadilan untuk apa lagi beliau diundang dan menerima undangan itu?
Apakah undangan itu atas sifat peribadinya dan bukan sebagai pemuka PKR? Atau pun persetujuan itu kerana ingin memperbetulkan semula langkah dan niatnya? Atau selepas melihat kongres di Ipoh mendapat sambutan hebat Saifuddin tarik balik niatnya, begitukah?
Dalam hal ini Saifuddin kena jelas “conscience”nya. Jangan main-main. Kalau beliau hendak bersama Pas, nah... masuk sahaja Pas atau sebaliknya kalau nak kekal di dalam PKR, kekal sahaja.
Kononnya beliau tidak jadi menyertai Pas kerana ada pujukan dari Anwar ia sesuatu yang naïf. Apakah seorang pemimpin yang dilihat hebat, berilmu pengetahuan ‘syurga’ dan ‘neraka’ – sekular dan agama boleh dipujuk seperti budak-budak!
Saifuddin dan sesiapa juga yang sespecies dengannya berhentilah bermain politik ala budak-budak. Cubalah matangkan sedikit tindakan dan juga rajuk politik. Kita tidak perlu membuang masa dengan rajuk merajuk atau pun merasa loya dan sakit hati kepada sesiapa. Masa untuk kita memperjuangkan hak rakyat terlalu singkat dan semput.
Pedulikan dengan individu yang merasakan hidungnya tinggi, yang dilayan sebagai anak emas itu, sebaliknya kita kena utuh dan padu dengan prinsip perjuangan kita. Perjuangan ini bukan hak sesiapa tetapi ia adalah hak semua orang yang dijuangkan demi agama, bangsa dan negara. - Reformasi.
|