Idealis Mahasiswa
 
 

Ahmad Lutfi Othman tersingkir kerana gagal peperiksaan - Che Johan Che Pa


Hit = [ ]

sumber - Akhbar Mahasiswa

Che Johan Che Pa adalah bekas Naib Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) bagi sesi 1985/1986. Ketika itu jawatan Presiden PMUM disandang oleh Zulkifli Yusoff (sekarang menjadi salah seorang pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya). Beliau adalah anak kelahiran negeri Kelantan yang dibesarkan di Pekan Pasir Mas. Semasa menjadi aktivis pelajar, beliau aktif dalam Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) sebagai Timbalan Presiden dan aktif dalam Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN).

Beliau bersama-sama dengan Saifuddin Nasution Ismail, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (MPPUPM) ketika itu menggunakan landasan BBMN untuk memperjuangkan nasib Ahmad Lutfi Othman, Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (PMUTM) yang telah telah tersingkir daripada universiti. Terdapat dua versi mengenai penyingkiran Ahmad Lutfi, pertama disingkir oleh universiti kerana terlibat dalam kegiatan haram yang berlawanan dengan AUKU. Versi kedua pula tersingkir kerana gagal dalam peperiksaan.

Menurut Che Johan Che Pa, memang benar Ahmad Lutfi terlibat dalam kegiatan anti kerajaan, termasuk memperjuangkan isu siswi berpurdah, tetapi beliau lebih bersetuju penyingkiran bekas aktivis PMIUTM itu disebabkan masalah teknikal iaitu disingkirkan kerana tidak berjaya menghadiri peperiksaan. Menurut Che Johan, Ahmad Lutfi sering sakit-sakit hingga tidak mampu meneruskan pengajian. Tetapi ketidakprihatinan universiti tentang masalah kesihatan Ahmad Lutfi itulah yang diperjuangkan oleh BBMN.

      

Che Johan pernah mengikuti program usrah PAS dan ABIM dan membuat perbandingan mengenai kelemahan dan kekuatan antara keduanya. Pada tahun 1980-an, beliau bersama-sama dengan Saifuddin Nasuiton Ismail (Presiden PMUPM) dan Mohd Fuad Zarkasi (bekas Setiausaha Agung PMUM) telah mengikuti jejak Ustaz Nakhaie Hj Ahmad, Naib Presiden PAS menyertai UMNO.

Menurutnya kemasukan ke dalam UMNO hasil kesedaran diri sendiri, melalui pembacaan, pemerhatian dan perbincangan ilmiah yang pernah diikuti sebelum ini. Beliau lebih tertarik dengan perjuangan Burhanuddin al Helmy yang mengatakan Islam yang diperjuangkan terletak dalam setiap individu Melayu dan harus diperkasakan dan diterima masyarakat umum.

Sekarang menjadi salah seorang usahawan muda, bergiat aktif dalam politik dan menyandang sebagai Naib Ketua UMNO bahagian Pasir Mas, Kelantan.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved