|
PERTAMA-tamanya saya ingin mengucapkan tahniah kepada sahabat sekampus di Lembah Klang khususnya kepada pejuang-pejuang di Universiti Malaya (UM) kerana berjaya menyingkirkan pengaruh PAS di universiti tertua itu.
Untuk pengetahuan saudara-saudari pembaca akhbar ini, kami di Universiti Sains Malaysia (USM), Minden turut berjuang bermati-matian untuk menyingkirkan pengaruh PAS, tetapi sehingga kini masih belum berjaya.
Persaingan kali ini agak sengit juga kerana kemenangan hampir menjadi kenyataan, tetapi pengaruh mereka juga sangat kuat dengan dibantu oleh Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) menjadikan banyak kaum Cina memberi sokongan kepada PAS.
Bukan saya ingin menyalahkan pihak universiti berhubung dengan kekalahan ini, tetapi saya merasakan pihak pentadbiran turut memainkan peranannya dalam menjayakan kumpulan prokerajaan menguasai kampus.
Dalam perbincangan bersama rakan-rakan di universiti lain, Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar berganding bahu dalam memberi sokongan kepada kumpulan yang menyokong aspirasi dan dasar negara.
Malangnya, di universiti kami kedua-dua Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar bukan sahaja tidak boleh bekerjasama, malah semacam berusaha untuk mengalahkan kumpulan proaspirasi kerajaan.
Sebagai tokoh bijak pandai negara, tidak bolehkah mereka bekerjasama demi memastikan kebajikan dan kemenangan pelajar di pihak kami. Jika tidak boleh bekerjasama, salah seorang sepatutnya berundur!
Saya tidak mahu membuka pekung di dada kerana ini akan merosakkan nama baik universiti kami juga, tetapi sudah dua tiga tahun tidak nampak kerjasama di antara satu sama lain.
| |
Ada Naib Canselor mengambil sikap neutral seolah-olah Naib Canselor tidak boleh berpihak kepada mana-mana kumpulan, sekali gus tidak bekerja untuk kumpulan prokerajaan.
Saya setuju dengan sikap neutral. Dan universiti sendiri sudah membuat peraturan bahawa pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) tidak lagi boleh diwakili oleh mana-mana kumpulan.
Bagaimanapun, kumpulan tetap wujud walaupun hanya diketahui di pihak kami. Dengan sikap neutral itu, kumpulan yang menyokong perjuangan PAS telah memenangi pilihan raya kampus.
Bukan saya ingin mengajar Naib Canselor yang merupakan seorang profesor, tetapi sebagai kakitangan kerajaan bukankah beliau sepatutnya berpihak kepada kerajaan. Setia kepada government of the day.
Kami merupakan kumpulan yang menyokong kerajaan dan dasar kerajaan, bukan semestinya kumpulan UMNO. Kumpulan kami patut disokong dan dibantu, manakala kumpulan yang gemar mencaci kerajaan dan memperlekehkan dasar kerajaan perlu ditentang.
Saya ingin memohon maaf kepada pihak pentadbiran jika tulisan ini menyinggung dan menghina universiti. Saya akur kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Harapan saya jika ada universiti yang masih dicemari imej pembangkang, maka perubahan perlu dilakukan untuk memastikan imej yang bersih.
Semua pelajar universiti seharusnya menyokong kerajaan dan dasarnya. Tetapi, mereka tidak semestinya menyokong UMNO.
Iskandar Mahyudeen
USM, Minden, Pulau Pinang
|