Idealis Mahasiswa
 
 

Mengapa Ustaz Hassan Shukri Ditentang ?


Hit = [ ]

sumber - Tranungkite

"Sejak akhir-akhir ini, penulisan yang memburuk-burukkan Ustaz Hassan Shukri, Timbalan Presiden PAS semakin menjadi-jadi. Sehubungan itu, saya rasa terpanggil untuk turut serta memberi pendapat atau maklumat bagi mengimbangi tulisan-tulisan tersebut.

Seingat saya, berita memburuk-burukkan Ustaz Hassan Shukri bermula menjelang Muktamar Tahunan PAS pada tahun 2003 yang juga memperlihatkan pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan kebetulan pada masa yang sama bahang Pilihanraya Umum ke 11 sudah mula terasa.

Saya tidak mahu membicarakan prihal Ustaz Hassan yang dikatakan oleh "golongan bernafsu besar" sebagai jumud, kolot, tidak berwawasan, perwatakan keras dan lain-lain lagi kerana ia telah dijawab oleh penulis-penulis sebelum ini. Apa yang ingin saya ketengahkan ialah senario penentangan terhadap Ustaz Hassan supaya kita dapat menilai mengapa Ustaz Hassan ditentang sedemikian rupa.

Dari amatan saya, penentangan ini bermula di dalam PAS Selangor yang mana ketika itu Ustaz Hassan memegang jawatan Pesuruhjaya PAS Selangor. Selepas PAS Selangor pimpinan Ustaz Hassan mencapai sedikit kemenangan dalam Pilihanraya Umum ke 10, terdapat pihak tertentu di dalam PAS Selangor yang "bernafsu besar" untuk menawan Negeri Selangor dalam Pilihanraya Umum ke 11. "Golongan bernafsu besar" menganggap kepimpinan Ustaz Hassan adalah lemah dan tidak berwawasan. Ini sudah tentu menghalang PAS Selangor untuk menawan Negeri Selangor.

Sikap penentangan mereka tidak terhenti di Negeri Selangor sahaja. Menjelang Muktamar Tahunan PAS pada tahun 2003, kerusi Timbalan Presiden PAS menjadi panas dan "golongan bernafsu besar" telah berusaha untuk menghalang Ustaz Hassan dari menduduki jawatan tersebut. Sehari sebelum menjelang pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, tersebar berita bahawa Ustaz Hassan telah melanggar keputusan Majlis Syura Ulamak yang telah menetapkan bahawa jawatan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dan Dato' Dr. Harun Din dilantik ke jawatan tersebut. Persoalan timbul? Benarkah Majlis Syura Ulamak telah membuat ketetapan tersebut? Kalau ya, kenapa tidak diumumkan secara rasmi. Berani saya katakan bahawa "golongan bernafsu besar" inilah yang bertanggung jawab menghebahkan perkara ini. Tujuannya ialah untuk mempengaruhi perwakilan agar tidak memberi undi kepada Ustaz Hassan.

Dalam Majlis Munaqashah Ucapan Presiden baru-baru ini, seperti mana yang dikhabarkan oleh sahabat saya yang turut serta dalam majlis tersebut, "golongan bernafsu besar" masih mempertikaikan bahawa Ustaz Hassan telah melanggar keputusan Majlis Syura Ulamak. Bagi menjaga kreabiliti Majlis Syura Ulamak, wakil Ulamak PAS Pusat yang juga Ahli Majlis Syura Ulamak telah menegaskan bahawa Majlis Syura Ulamak tidak membuat keputusan sebagai mana yang dihebahkan. Selepas penegasan tersebut, tersentak seketika "golongan bernafsu besar".

Selepas Muktamar, jawatan Pesuruhjaya PAS Selangor pula menjadi panas. "Golongan bernafsu besar" berusaha pula untuk menghalang Ustaz Hassan dari dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor. Saya tidak mahu membicarakan peranan mereka, takut-takut nanti menjejaskan kreabiliti Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang telah melantik Dato' Dr. Hassan Ali sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor.

      

Perlantikan Dato' Dr. Hassan Ali sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor sangat menggembirakan "golongan bernafsu besar". PAS Selangor dalam genggaman, maka bermulalah era pembaharuan. Berbagai idea yang serba canggih diketengahkan bagi menggantikan idea kolot dan tidak berwawasan Ustaz Hassan. Menjelang Pilihanraya Umum ke 11, Selangor Baru dicanangkan, PAS Selangor seolah-olah berada di ambang kemenangan. Malangnya PAS Selangor kalah juga. Kalah bukan keran idea dan kekolotan Ustaz Hassan tetapi kalah di bawah barisan kepimpinan yang berketerampilan dengan emej terkini dan dengan slogan serta ucapan yang begitu mempersonakan sehingga tidak berpijak di bumi nyata. Selepas itu, penentangan terhadap Ustaz Hassan sedikit lesu.

Beberapa bulan lalu, seorang "Reformis PAS" dari Pulau Pinang telah mempertikaikan kenyataan Ustaz Hassan yang mengingatkan ahli-ahli PAS supaya berhati-hati dalam menanggani isu pembebasan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Isu ini telah diambil kesempatan oleh "golongan bernafsu besar" untuk menghangatkan kembali usaha mereka menentang Ustaz Hassan.

Saya yakin, ini merupakan peluang keemasan bagi "golongan bernafsu besar" kerana Muktamar PAS dan pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat akan diadakan tidak lama lagi. Sekali lagi Ustaz Hassan akan dihalang untuk menduduki jawatan Timbalan Presiden. Kini, usaha-usaha tersebut telah bermula, maka tidak hairanlah jika berbagai Laman Web yang senada dengan "golongan bernafsu besar" menyiarkan penulisan-penulisan yang memburuk-burukkan Ustaz Hassan.

Tidak menghairankan jika "golongan bernafsu besar" menjadikan Laman-laman Web sebagai medan untuk menentang Ustaz Hassan, mereka telah membuktikan bahawa, mereka sanggup mempergunakan Institusi Majlis Syura Ulamak bagi menjayakan hasrat mereka. Saya yakin, mereka akan menggunakan apa juga cara walau pun dengan kaedah "matlamat menghalalkan cara". Saya menghormati mereka, jika mereka mengambil jalan yang lebih beradab dengan mengikut lunas-lunas Perlembagaan Parti, dengan kempen-kempen yang sihat, seterusnya memberi ruang sepenuhnya kepada perwakilan untuk menentukan siapakah yang layak bagi menduduki jawatan Timbalan Presiden. Jika mereka berterusan dengan sikap yang keras dan tidak beradab itu, bagi saya mereka adalah tidak layak untuk berada dalam PAS.

Saya ketengahkan perkara ini untuk kita menilai dan membuat kesimpulan apakah sebenarnya kehendak "golongan bernafsu besar" ini. Adakah penentangan mereka terhadap Ustaz Hassan demi kebaikan parti atau untuk apa ?

Seperkara lagi yang ingin saya ketengahkan setelah meniliti penulisan-penulisan yang menentang Ustaz Hassan ialah maksud "satu sumber" dan "maklumat dalaman" yang dikaitkan dengan peranan Ustaz Hassan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Persoalannya, bagaimana penulis-penulis tersebut mendapat maklumat di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat? Apakah maksud satu sumber dan maklumat dalaman itu ada kaitan dengan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sendiri? Jika ini berlaku, amat malang sekali bagi PAS kerana setiap perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mudah terdedah kepada umum dan bukan rahsia lagi. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat perlu membuat siasatan. Adakah ini juga angkara "golongan bernafsu besar" ?





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved