|
KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Taruddin yang terharu mendapat gelaran ‘penghibur contoh’ daripada ulama Indonesia, menyifatkan pujian itu di luar dugaan dan membuktikan artis tidak perlu berpakaian seksi untuk popular.
Siti Nurhaliza mengakui dia pernah diundang dua kali oleh ulama muda Indonesia yang sangat berpengaruh, Abdullah Gymnastiar ataupun Aa Gym, sebagai tetamu jemputan dalam program keagamaan di televisyen tempatan tahun lalu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan ketua rancangan televisyen TVRI di Bandung di wilayah Jawa Barat, Anna Anggraeni, yang menyifatkan Siti Nurhaliza sebagai ‘bintang luar biasa’ sehinggakan ulama di negara itu, termasuk Aa Gym menganggapnya sebagai ‘penghibur contoh’.
Aa Gym sering menyebut nama Siti Nurhaliza dalam kuliahnya sebagai orang yang boleh diteladani industri hiburan Indonesia.
Beliau juga dikatakan sering menyebut nama Siti Nurhaliza sebagai artis yang tidak menunjukkan aksi seksi atau memakai pakaian menjolok mata untuk menjadi popular.
Sementara itu Siti Nurhaliza ketika dihubungi, di sini, malam tadi berkata, sokongan peminat Indonesia memberi gambaran lagu Melayu yang penuh dengan ungkapan teladan dan peringatan dapat memberi kesedaran kepada pendengar.
“Alhamdulillah, Siti diterima dengan tangan terbuka di Indonesia. Golongan artis kini bukan saja dianggap penghibur, malah silaturahim peminat berlainan negara dapat dieratkan menerusi seni.
“Melalui lagu, penyatuan antara dua negara mampu dieratkan selain menyemai nilai murni.
“Kalau dulu, ibu bapa berasa bimbang jika anak mereka berminat menceburkan diri dalam bidang seni tetapi kini jika mampu membawa diri dengan baik, Insya-allah mereka akan berjaya,” katanya.
Selain meraih lebih 100 anugerah di dalam dan luar negara, Siti Nurhaliza tidak pernah bergambar dengan artis lelaki untuk muka depan sebarang majalah atau akhbar.
Kakak ipar penyanyi itu, Rozie Razak, berkata penampilan bercirikan kemelayuan oleh Siti Nurhaliza boleh menjadikan teladan kepada peminatnya.
| |
“Sebelum ini, industri seni Indonesia agak sukar membuka pintu kepada artis luar tetapi dengan imej sopan yang dibawa artis Malaysia dapat diterima dengan baik oleh masyarakat republik berkenaan.
“Biasanya hubungan antara dua negara terjalin melalui pemimpin, kini menerusi seni itu sendiri seseorang artis mampu merapatkan silaturahim antara peminat di negara berlainan,” katanya.
Berdasarkan laporan Bernama, semalam, nama Siti Nurhaliza timbul dengan spontan dalam perbincangan antara pegawai Indonesia dan Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, ketika lawatan beliau ke Jakarta, minggu lalu.
Menteri Maklumat dan Komunikasi Indonesia, Dr Sofyan A Djalil, ada menyatakan populariti ikon Malaysia itu mendekatkan lagi kedua-dua negara.
“Siti Nurhaliza bukan sahaja cantik orangnya, beliau begitu bersopan dan persembahannya begitu popular, tiket persembahannya habis dijual setiap kali beliau mengadakan persembahan di Indonesia,” katanya.
Nurhadi Purwosaputro, pengarah stesen televisyen Indosiar, berkata: “Dia cantik, penampilannya anggun. Nyanyiannya bagus sekali. Siti Nurhaliza juga jauh lebih sopan dan ini yang menjadikannya satu daya tarikan”.
Pengurus Rancangan Indosiar, Triandy Suyatman berkata: “Penampilannya lain dari yang lain. Penampilannya mewakili Melayu”.
Pengarah Urusan RCTI, stesen televisyen terkemuka Indonesia, Sutanto Hartono berkata: “Siti Nurhaliza adalah nama besar di Indonesia. Apa yang menggamit hati peminatnya di Indonesia ialah paras wajah dan disiplinnya”.
Pengarah Rancangan Stesen TVRI Alex Kumara berkata: “Gayanya anggun dan nyanyian bagus sekali. Dia cantik, popularitinya di Indonesia tinggi sekali.
“Di kalangan penghibur, perwatakannya lebih ketara,” kata beliau.
|