Idealis Mahasiswa
 
 

PAS Sangat-sangat Gelisah Dgn Kemunculan Putera UMNO - Kerana Ia Sekat Usaha Pengaruhi Golongan Muda Sertai Mereka


Hit = [ ]

oleh: Suhana Mohd Ahir
sumber: www.kmu.net.my Wednesday, June 22 @ 00:00:00 MYT

KUALA LUMPUR: Laporan perisikan politik diterima baru-baru ini menunjukkan ada tanda-tanda gelisah di kalangan pemimpin utama PAS ekoran penubuhan Putera UMNO kerana ia mempengaruhi tempo pergerakan parti pembangkang itu menarik golongan muda menyertainya.

Malah pemimpin veteran PAS seperti Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara diam-diam meminta supaya anggota perisikan parti itu melakukan pemantauan terhadap penubuhan Putera UMNO

Sumber-sumber dalaman PAS Pusat di Taman Melewar dekat sini memberitahu tindakan terbaru UMNO itu sangat mengejutkan pemimpin atasan kerana mereka tidak menyangka selepas Pergerakan Puteri UMNO diwujudkan, UMNO terus memperkenalkan briged baru ini pula.

Sementara itu, Pengerusi Biro Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ketika dihubungi memberitahu UMNO-Online, penubuhan Biro itu secara rasmi lebih menjurus kepada usaha mendekatkan golongan muda dengan aktiviti berfaedah selain menjadi pendokong kuat aspirasi perjuangan UMNO.

“Sebagai contoh, mereka akan didedahkan dengan kursus-kursus atau program-program seperti Khidmat Negara (PLKN) supaya mereka tidak terjerumus dengan aktiviti kurang sihat. Contohnya, penagihan dadah berpunca dengan menghisap rokok,

“Putera UMNO akan menjalani latihan yang diberikan oleh parti bagi pendedahan awal supaya mereka akan tahu setiap objektif dalam parti.

“Pemuda UMNO akan sentiasa bekerja keras untuk memastikan mereka memahami perjuangan parti dalam mempertahankan hak orang Melayu selain berjuang dalam semua aspek ekonomi dan sosial,” katanya.

Mengenai had umur keahlian, beliau berkata, pengurusan tertinggi parti mencadangkan hanya mereka yang berumur 18 sehingga 21 tahun diberi galakan menyertai aktivitinya.

“Putera UMNO adalah Satu wajah kepada parti, mereka akan berpeluang dari setiap aspek, contohnya mereka yang tiada pekerjaan akan diberi kursus seterusnya pekerjaan di setiap kekosongan yang ada.

“Bagi mereka yang mahu membuka perniagaan sendiri akan terbela dengan diberi kursus asas tani serta budget untuk memulakan perniagaan. Pemuda juga akan memberi bimbingan dari segi ekonomi dan akhlak untuk memastikan mereka berada dilandasan yang betul” katanya.

Beliau turut memberikan rangka jumlah ahli yang menjangkau seramai 1,732 yang baru mendaftar sebagai Putera UMNO, ini menjadikan jumlah adalah 32,000 ribu orang Putera dalam parti.

Pemuda menyediakan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat kepada Putera UMNO membabitkan kelab motosikal ditubuhkan bagi mereka yang terlibat dengan lumba haram. Kelab Professional adalah golongan berpendidikan tinggi, mereka ini akan menjadi role model kepada Putera UMNO yang lain.

Kelab bantuan Bencana Alam, mereka akan menghulurkan bantuan seperti terjadinya tragedi Tsunami. Kelab Gerakan Khas serta Renjer berfungsi sebagai komunikasi, mereka akan memberi sms maklumat terkini kepada Pengerusi Putera setiap bahagian dan negeri.

      

Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan penubuhan Putera UMNO sebagai angkatan pelapis pemimpin yang akan datang.

Putera UMNO telah rasminya menjadi sebahagian dari keluarga UMNO, ia adalah langkah awal bagi mendedahkan objektif perjuangan parti serta memahami sejarah parti perjuangan.

“Disiplin akan diterapkan pada setiap ahli Putera UMNO bagi membentuk semangat yang kuat dan budi pekerti, seterusnya ia akan menjadi benteng yang kuat dalam parti.

"Itulah wajah dan imej Putera UMNO yang hendak dibina oleh parti," katanya ketika melancarkan Putera UMNO di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Turut hadir timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Abdullah berkata, ahli-ahli Putera UMNO perlu menjalani latihan untuk membentuk disiplin diri supaya mereka mendapat pembelajaran bagi menjadi pemimpin cemerlang pada masa depan.

Selain itu, beliau juga mahu mereka memahami sejarah perjuangan UMNO bagi mengenali lebih dekat lagi perjuangannya serta pejuang-pejuang bangsa dan sumbangan mereka kepada parti dan negara.

“Saya percaya, bila mereka memahami sejarah UMNO dan menyedari nikmat yang diperoleh pada masa ini hasil daripada perjuangan UMNO dalam parti, negara dan kerajaan maka saudara akan rasa bangga dan hargai perjuangan UMNO," katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli Putera UMNO supaya mewujudkan imej yang bersih daripada segala perkara tidak baik agar ia dihormati dan disegani apabila mewarisi perjuangan parti kelak.

Abdullah berkata, pelancaran Putera UMNO malam ini yang merupakan generasi penentu negara bagi mencapai Wawasan 2020, amat bermakna dalam sejarah parti.

“Apabila saudara membuat keputusan menyertai UMNO sebagai tenaga tambahan yang akan meneruskan perjuangan, saudara telah mula dalam satu fasa dalam kehidupan saudara, saudara akan jadi pejuang bangsa dalam UMNO.

“Peranan saudara adalah sebagai pejuang muda yang akan mewarisi perjuangan bangsa untuk masa akan datang," katanya. Beliau berkata, Putera UMNO harus merasa bangga kerana mereka adalah pejuang muda yang akan menentukan masa depan dan pada masa sama tahu apa yang diharapkan terhadap mereka.

Sehubungan itu beliau mahu ahli Putera UMNO mempersiapkan diri untuk menghadapi segala cabaran.

www.umno-online.com





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved