|
KUALA TERENGGANU: Seorang pegawai polis dan seorang anggota kumpulan rock terkenal tanah air, antara 21 pengikut ajaran sesat Ayah Pin yang ditahan dalam satu operasi khas penguat kuasa hal ehwal agama Terengganu, di markas induk kumpulan itu, kelmarin.
Pegawai polis berpangkat inspektor yang bertugas di bahagian perhubungan awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu, ditahan bersama 20 pengikut lain di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Besut dalam operasi tujuh jam bermula 5.30 petang.
Turut ditahan isteri keempat Ayah Pin berusia 33 tahun dan pemain drum kumpulan muzik rock berkenaan.
Pengikut setia Ayah Pin itu ditahan ketika mengadakan perhimpunan mingguan di markas itu.
Bagaimanapun pegawai polis yang ditahan dalam operasi itu bukannya sedang menjalan tugas risikan atau siasatan, sebaliknya dikatakan sedang bercuti.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari negeri, Muhammad Ramli Nuh, berkata kumpulan itu termasuk sembilan wanita berusia antara 30-an hingga 60-an ditahan mengikut Seksyen 14(b) dan Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu (Takzir) 2001.
Menurutnya, pegawai polis dan 20 yang lain itu kemudian dibawa ke Balai Polis Kampung Raja Besut untuk disoal siasat sebelum dibebaskan dengan jaminan RM1,000 seorang.
“Empat daripada pengikut ajaran sesat itu akan didakwa megikut Seksyen 14(b) dan Seksyen 10 manakaka 17 lagi akan didaksa mengikut Seksyen 10 dan jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.
“Seksyen 14(b) mengatakan, siapa yang ada dalam miliknya apa-apa buku, risalah, dokumen atau rakaman.print ajaran sesat, boleh didakwa dan sabit kesalahan, boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya,” katanya di sini, semalam.
| |
Beliau berkata, mengikut Seksyen 10 pula, sesiapa yang menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama, boleh didakwa.
Katanya, dalam operasi itu, penguat kuasa merampas 20 cakera padat video (VCD) Ayah Pin sedang melakukan ibadat agama Hindu dengan mengunjungi dan melakukan upacara kegamaan di sebuah kuil di Batu Caves, Selangor.
Ayah Pin, 50-an, atau nama sebenarnya Ariffin Mohamad dapat meloloskan diri walaupun anggota penguat kuasa mengepung semua bangunan termasuk tiga kediaman di perkampungan itu dalam operasi berkenaan.
Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu memutuskan ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam Terengganu 1986 yang menyebut, ajaran dan pegangan Ayah Pin adalah palsu dan boleh membawa ancaman terhadap ketenteraman orang awam dan merosakkan akidah.
Ayah Pin pernah dijatuhi hukuman penjara 11 bulan di Penjara Pangkalan Chepa, Kelantan selepas didapati bersalah mengaku keluar dari Islam di Mahkamah Rendah Syariah Besut pada Jun 2001.
Operasi kelmarin diketuai Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Terengganu (JAIT), Mohamad Azam Alwi disertai 40 pegawai dan anggota polis serta tiga pegawai Imigresen.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Lim Char Boo ketika ditemui, mengesahkan mengenai tangkapan itu.
Katanya, operasi dilakukan JAIT dan polis hanya membantu membuat pemantauan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
“Kita mengesahkan ada menerima laporan mengenai tangkapan itu dan urusan pendakwaan dilakukan JAIT,” katanya.
|