Idealis Mahasiswa
 
 

Kas-kas berlebihan boleh datangkan khayal ketagih


Hit = [ ]

sumber: Harian Metro Edisi KL Khamis 30/6/2005

KUALA LUMPUR: Selepas isu penggunaan herba kas-kas dalam masakan ditimbulkan baru-baru ini, kini mula wujud kesangsian sejauh manakah selamatnya makanan seperti kari dan kurma daging, yang biji kas-kas menjadi resipi utama bagi kebanyakan pengusaha makanan untuk membangkitkan selera pelanggan.

Bagi Timbalan Ketua Pengarah 1 Jabatan Pertanian, Datuk Sofian Mohd Salleh, penggunaan biji kas-kas secara berlebihan dalam apa jua jenis masakan boleh menyebabkan simptom khayal dan ketagihan.

“Sebenarnya ramai yang tidak tahu bahawa kas-kas biji pokok popi, pokok yang getah daripada bunganya itu menghasilkan candu,” katanya.

Umum mengetahui candu yang diproses boleh menghasilkan dadah morfin dan seterusnya heroin.

Kajian saintifik yang dijalankan pakar di seluruh dunia juga mengesahkan masakan yang mengandungi kas-kas boleh menyebabkan pemakannya diuji positif candu atau opiates.

Menurut Sofian, kas-kas digunakan secara tradisi di negara ini sebagai resipi beberapa masakan tertentu. Seperti juga bahan-bahan lain, umpamanya tapai, penggunaan kas-kas secara berlebihan pasti akan mendatangkan kesan sampingan.

      

Katanya, biji kas-kas yang ada dalam pasaran di negara ini diimport daripada beberapa negara luar seperti India kerana iklim Malaysia tidak sesuai bagi penanaman pokok popi.

“Lagipun, mengikut undang-undang pokok popi tidak boleh ditanam di negara ini,” katanya.

Isu penggunaan kas-kas dalam masakan mendapat perhatian meluas sejak kebelakangan ini apabila anggota Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof minggu lalu mendakwa bahawa restoran mamak menggunakan biji kas-kas dalam masakan mereka sehingga menyebabkan pengunjung ketagihan (terhadap masakan itu).

Bagaimanapun pakar botani Universiti Malaya, Prof Dr Mohamed Abdul Majid, berkata biji popi tidak mengandungi bahan narkotik kerana cecair yang menghasilkan opium pada tunasnya, hanya wujud sebelum biji terbentuk sepenuhnya.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved