|
KECENDERUNGAN ramai orang Muslim tidak mahu menerima pandangan ulama menjadi fenomena yang ketara berlaku di seluruh negara Islam termasuk di Malaysia.
Walaupun tidak wajib menerima pandangan ulama, tetapi wujudnya kecenderungan seperti itu amat berbahaya kerana masyarakat akan hilang tempat bergantung dan rujukan agama.
Semua boleh jadi jika masyarakat hilang tempat bergantung dan rujukan agama. Ini termasuklah boleh menyebabkan masyarakat menjadi kucar-kacir, terlibat dalam ajaran sesat dan sebagainya. Dalam jangka panjang ia juga boleh menggugatkan kestabilan kerajaan dan membantut pembangunan negara.
Dalam konteks luar negara, kemenangan calon sekular, Dr. Mahmoud Ahmadinejad dalam pemilihan Presiden di Iran minggu lalu merupakan salah satu petanda membuktikan kecenderungan ramai orang Muslim tidak menerima pandangan ulama turut merebak ke negara yang berada dalam cengkaman golongan agama dan ulama sejak tahun 1979 itu.
Bagaimanapun, perubahan ramai orang Muslim terhadap ulama di Iran berlaku sejak tahun 1997 bila Hujjatul Islam Seyyed Mohammad Khatami yang berhaluan reformasi menang dalam pemilihan Presiden. Tetapi perubahan itu berlaku dalam gelanggang ulama sahaja di mana kepimpinan negara berpindah daripada ulama konservatif dan jatuh ke tangan ulama reformasi, Khatami.
Sebaliknya dalam pemilihan Presiden Iran minggu lalu, kepimpinan negara terus hilang daripada ulama kerana yang menang pemilihan itu adalah seorang sekular yang konservatif, iaitu Ahmadinejad.
Walaupun mesej yang disampaikan oleh rakyat Iran kepada golongan ulama amat jelas sejak tahun 1997 lagi, tetapi ini bukan bererti ulama telah kehilangan kuasa di negara bermazhab Syiah itu.
Ini kerana kuasa di Iran sebenarnya berada dalam cengkaman ulama dan bukan Presiden yang mempunyai kuasa sangat terbatas itu.
Itu adalah salah satu contoh sikap tidak menerima pandangan ulama dalam arena politik di luar negara.
Contoh yang lain mengenai fenomena yang sama ialah berkaitan perubahan pendirian sesetengah negara Arab terhadap beberapa ulamanya yang ultra konservatif.
Ulama-ulama yang ultra konservatif itu kini dihalang daripada membuat fatwa atau muncul dalam media massa kerana didakwa fatwa dan pandangan mereka menggalakkan ekstremisme dan terorisme.
Tetapi ada juga negara Arab yang melakukan perkara itu ke atas ulama dan pemikir Muslim yang berfikiran terbuka seperti yang terjadi kepada Dr. Yusuf al-Qaradawi di Qatar dan Dr. Mustafa Mahmud di Mesir.
Dr. al-Qaradawi yang berasal dari Mesir itu terdedah kepada bermacam-macam gangguan dan sabotaj sejak beberapa bulan lalu. Mungkin beliau terpaksa meninggalkan Qatar ke Mesir atau Eropah pada masa akan datang jika gangguan dan sabotaj itu terus berlaku.
Dalam peringkat massa pula berlaku perkara yang sama.
Sebagai contoh di negara-negara Arab kini semakin ramai orang Muslim mengambil sikap lebih suka mendengar dan mengikut pandangan pemikir Muslim berbanding pandangan ulama. Malah ulama yang popular di kalangan mereka pun adalah ulama yang merupakan pemikir seperti Almarhum Syeikh Muhammad al-Ghazali, Dr. Yusuf al-Qaradawi dan Dr. Muhammad Amara.
Penulis tidak mempunyai fakta yang jelas tentang perkara ini, tetapi berdasarkan penelitian penulis, buku-buku agama yang dihasilkan oleh para pemikir Muslim dan ulama pemikir inilah yang paling mendapat sambutan di negara-negara Arab. Sedangkan buku-buku agama yang dihasilkan oleh ulama-ulama tradisional kurang mendapat sambutan walaupun yang menghasilkannya adalah Syeikh al-Azhar yang bertaraf Perdana Menteri sekalipun.
Begitu juga forum dan program televisyen yang ahli panelnya merupakan para pemikir Muslim dan ulama pemikir adalah yang paling mendapat sambutan.
Berpindah kepada kedudukan ulama di Malaysia. Dalam konteks Malaysia pun berlaku perkara yang sama di mana kecenderungan ramai orang tidak mahu menerima pandangan ulama amat ketara juga.
Sebagai contoh jika dulu hanya kebanyakan orang Pas tidak mahu menerima pandangan ulama UMNO/kerajaan atau sebaliknya kebanyakan orang UMNO/kerajaan tidak mahu menerima pandangan ulama Pas, tetapi kini ramai orang Muslim meletakkan ulama UMNO/kerajaan dan Pas dalam bakul yang sama.
Dalam Pas sendiri kehadiran golongan sekular semakin ketara dan ia menyebabkan golongan agama hampir terlindung serta dasar kepimpinan ulama tidak lagi mempunyai sebarang erti kini.
Dalam pemilihan pemimpin tertinggi Pas yang lalu, tiga Naib Presidennya dimenangi oleh golongan sekular belaka, iaitu Husam Musa, Mohammad Sabu dan Dr. Hassan Ali. Hairan juga orang Pas seperti semakin berminat dengan golongan sekular.
Di pihak lain sebagai alternatif kepada kecenderungan tidak mahu menerima pandangan ulama ini muncullah kecenderungan mencari penyelesaian sendiri dengan membaca buku-buku agama yang ada dalam pasaran atau mengakses bahan-bahan bacaan agama dari Internet termasuk dari beratus-ratus perpustakaan sibernya.
Tidak kurang juga mereka yang mencari ilmu agama melalui perbincangan di pelbagai forum agama di Internet. Diperhatikan bahawa 95 peratus daripada mereka yang berbincang dalam pelbagai forum agama di Internet tidak menyukai ulama, sama ada ulama UMNO mahupun ulama Pas. Malah lebih teruk lagi ada yang terang-terang mencemuh, mencela dan mengejek ulama.
Fahaman
Di antara yang menjadi punca menyebabkan berlaku perkara itu ialah kerana ramai orang Muslim kini melihat pemikiran ulama yang jarang terkeluar dari ruang lingkup fahaman agama tradisi yang diijtihad oleh ulama fikah sejak ratusan dan ribuan tahun lalu tidak lagi relevan dengan zaman ini.
Pemikiran ulama itu pula lebih bersifat menghukum dan bila hukum keluar daripada mulut mereka mesti merupakan hukum hitam putih belaka.
Bagaimanapun, penulis tidak bersetuju dengan sikap ramai orang Muslim memukul borong semua ulama begitu. Ini kerana terdapat ulama yang tidak bersetuju memenjarakan diri dalam hukum fikah tradisi mazhab.
Sebaliknya mereka sentiasa berusaha untuk berijtihad mencipta hukum fikah sezaman yang relevan dengan realiti hari ini. Bagaimanapun, bilangan ulama kategori ini amat kecil dan kebanyakan mereka adalah ahli akademik Islam.
Di pihak lain sebenarnya tidak mungkin mempersalahkan orang Muslim yang mempunyai kecenderungan melihat ulama dari sudut negatif itu. Kerana selain faktor suka memenjara Islam dalam fahaman kefikahan puak dan mazhab yang terbentuk sejak beratus dan beribu tahun lalu, ada banyak faktor lain yang menyebabkan orang Muslim itu tidak mahu menerima pandangan ulama ini. Bagaimanapun, penulis tidak akan memperincikan faktor-faktor berkenaan kerana terlalu sensitif, tetapi memadailah menyebut satu perkara sahaja, iaitu tentang kelembapan dan kelambatan para ulama bertindak, memberi respons dan menjawap permasalahan yang dihadapi atau timbul dalam masyarakat.
Sebagai contoh permasalahan terbaru yang perlu tindakan, respons dan jawapan segera daripada para ulama terutama yang memegang jawatan mufti ialah berhubung isu penggunaan rawatan methadone, pertukaran jarum dan pemberian kondom untuk mengurangkan gejala penyebaran HIV/AIDS.
Kabinet telah pun meluluskan untuk melaksanakan rawatan methadone itu pada Oktober akan datang. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pun telah menyatakan bahawa pelaksanaan rawatan itu hanya menggunakan kaedah darurat.
Maksudnya bukan menghalalkan yang haram, tetapi kerana darurat terpaksa dilaksanakan perkara itu.
| |
Perdana Menteri berkata: "Dari segi agama, kalau berlaku sesuatu darurat atau yang akan jadi darurat maka untuk pencegahan boleh ambil tindakan yang dicadangkan itu."
Bagaimanapun, beliau tidak menganggap keputusan Kabinet itu tidak boleh diubah seperti al-Quran. Malah beliau menganggap pelaksanaan pada Oktober ini hanya di peringkat percubaan dan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan masih sedia menerima cadangan-cadangan lain jika ia lebih baik untuk membendung penularan penyakit itu.
"Tetapi kalau ada pihak lain ada cadangan lebih baik lagi, maka Kementerian Kesihatan mesti bersedia menimbangkannya," katanya.
Begitu juga Kementerian Kesihatan Malaysia telah pun memberi penerangan kepada Majlis Mufti mengenai perkara itu.
Dengan itu apa yang perlu dilakukan oleh para mufti atau Majlis Fatwa Kebangsaan ialah menyatakan pandangan atau mengeluarkan fatwanya sekarang, sama ada bersetuju mahupun tidak bersetuju. Jika mereka bersetuju atau tidak bersetuju perlu dijelaskan sekali gus nas-nasnya yang menjadi hujah mereka supaya membolehkan orang ramai membuat penilaian terhadap pandangan dan fatwa mereka.
Pada pandangan penulis, para mufti tidak sepatutnya mengambil masa yang begitu lama untuk membuat keputusan. Seminggu sudah memadai. Ini kerana jika ada di kalangan mereka mempunyai hasrat untuk mencari nas-nas dan membuat penyelidikan mengenai permasalahan itu pada zaman ini tidak perlu mengumpulkan rujukan bertahun-tahun dan mengadakan perjalanan ke negeri-negeri yang jauh seperti yang dilakukan oleh Imam asy-Syafie, Imam Maliki, Imam Hambali dan Imam Hanafi.
Demikian itu kerana semua rujukan sudah terkumpul dan ada yang sudah didigitalkan serta didapati dalam pustaka-pustaka maya di Internet termasuk Perpustakaan al-Azhar.
Malah mereka juga boleh berinteraktif dengan ulama-ulama besar dunia Islam termasuk secara realtime untuk membincangkan perkara itu dengan mereka. Mereka juga boleh berbincang dengan ulama Maghribi dan Iran, menyoal mereka kenapa negara mereka mengharuskan pelaksanaan rawatan methadone ?
Dengan itu penulis tidak ada alasan yang wajar kenapa para mufti melengah-lengahkan permintaan kerajaan.
Bersetuju, jelaslah dengan seterang-terangnya dan tidak bersetuju pun jelaslah dengan seterang-terangnya. Wajib bercakap benar dan jangan hipokrit.
Kembali kepada isu kecenderungan ramai orang Muslim tidak mahu menerima pandangan ulama. Para ulama di Malaysia terutama mufti perlu memberi perhatian yang serius tentang perkara ini dan mencari pendekatan yang sesuai untuk mengurangkan kecenderu-ngan itu.
Sebenarnya kebimbangan tentang kedudukan ulama ini telah pun dibangkitkan dalam dua mesyuarat cerdik pandai dan ulama beberapa bulan lalu.
Sebagai contoh dalam mesyuarat yang diadakan di pejabat Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan Malaysia yang diadakan pada 4 Mei 2005, bekas Ketua Pengarah Jasa, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir yang kini Duta Malaysia ke Kaherah turut membangkitkan isu kebimbangan tentang kedudukan ulama itu. Beliau menganggap ulama mungkin akan hilang kedudukan mereka jika memadai dengan modal lama dan tidak berusaha membaharui pemikiran mereka.
Bagaimanapun, penulis mendapati pandangan Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid mengenai kedudukan ulama patut didedahkan kepada para pembaca ruangan ini.
Pandangan Datuk Dr. Mahmood Zuhdi terkandung dalam rencana yang disiarkan majalah semi akademik, Tanwir, bilangan pertama dan keluaran April, Mei dan Jun 2005.
Berikut ini disiarkan sebahagian pandangannya.
Beliau berkata: "Masyarakat pula perlu mempunyai persepsi yang tepat terhadap para ulama. Mereka perlu mempunyai pandangan yang jelas tentang siapa yang sepatutnya diterima sebagai ulama dan siapa yang sebaliknya. Kekeliruan yang terjadi dalam hal seperti ini boleh membantut usaha mempopularkan pandangan hukum semasa kerana bukan semua orang yang ada pelajaran tentang hukum Islam mampu melaksanakannya.
"Yang sepatutnya dimaksudkan dengan ulama ialah mereka yang mempunyai nilai kesarjanaan yang tinggi.
Malangnya dalam masyarakat Melayu sekarang ramai orang tidak menjadikan tahap kesarjanaan sebagai kayu pengukur kepada keulamaan seseorang. Mereka sebaliknya menggunakan imej luaran sebagai cermin.
Akibatnya ramai mereka yang sepatutnya bergelar ulama terlepas dari pandangan, atau malah diketepikan begitu sahaja kerana dianggap tidak thiqah (tidak boleh dipercayai) atas sebab-sebab luaran seperti cara berpakaian.
"Sebaliknya pula ramai orang yang digelar ulama semata-mata kerana imej luaran yang berorientasikan Timur Tengah, sedangkan dari segi kesarjanaannya tidak seberapa."
Seterusnya Dr. Mahmood Zuhdi berkata: "Selain ulama dan para sarjana hukum, birokrasi hukum juga perlu memainkan peranan yang wajar ke arah perubahan ini. Dalam masyarakat Melayu sekarang, birokrasi seperti itu mempunyai kedudukan penting dalam menentukan hukum dan memutuskan sama ada sesuatu hukum itu boleh dilaksanakan atau sebaliknya dalam masyarakat dan negara.
Pandangan
"Bagi tujuan ini adalah perlu para ulama dan sarjana hukum yang beraliran tajdid atau pembaharuan diberi ruang yang lebih luas menganggotai birokrasi seperti badan fatwa misalnya, juga badan-badan lain yang memikul peranan yang sama seperti lembaga penasihat syariah di institusi-institusi kewangan dan sebagainya.
Keanggotaan dalam institusi-institusi seperti itu perlu dilihat dari sudut keberkesanan merintis perkembangan baru hukum dan bukan memperkukuhkan lagi pandangan-pandangan hukum yang tidak lagi sesuai dipertahankan dalam era perubahan masyarakat yang ada sekarang.
"Malangnya, keanggotaan majlis-majlis fatwa dalam negara kita masih lagi dikuasai hampir sepenuhnya oleh kalangan mereka yang tidak menjiwai hasrat pembaharuan seperti di atas.
Pihak-pihak berkuasa agama nampaknya belum bersedia untuk merombak tradisi dengan melantik lebih banyak ahli-ahli akademik dalam bidang-bidang berkenaan dalam majlis fatwa di negeri masing-masing.
Keulamaan bagi tujuan tersebut masih lagi belum diukur berasaskan kesarjanaan seseorang, tetapi masih berasaskan tradisi ulama silam.
"Bagaimanapun, kecenderungan ke arah itu telah ada dan telah menunjukkan perkembangan yang baik. Jumlah ahli-ahli akademik yang dilantik sebagai ahli-ahli majlis fatwa dan sebagainya telah bertambah sekarang walaupun dalam kadar yang lembap. Malah terdapat juga kecenderungan baru bagi sesetengah negeri untuk melantik bekas-bekas ahli akademik sebagai mufti negeri.
"Bagi mengatasi keadaan yang lembap ini, institusi-institusi pengajian tinggi Islam perlu mewujudkan saluran alternatif penentuan hukum yang semasa bagi masyarakat. Di Timur Tengah misalnya, peranan seperti ini telah dimainkan dengan jayanya oleh Universiti al-Azhar. Sejak lama dahulu sampai ke hari ini, pandangan-pandangan al-Azhar tentang hukum jauh lebih dihormati oleh masyarakat dari fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh mufti negara.
Tentu sekali imej ini telah dibentuk dengan jayanya oleh tokoh-tokoh ulama al-Azhar dahulu seperti `Abduh, al-Maraghi dan ramai lagi."
Kesimpulannya ramai menyedari tentang kemerosotan prestasi dan kerosakan imej ulama ini, tetapi persoalannya macam mana dapat membaiki prestasi dan imej mereka supaya dapat mengelak daripada kejatuhan ?
Pada penulis jawapan berada di tangan ulama sendiri.
|