Idealis Mahasiswa
 
 

Lesbian Muslimah pejuang reformasi Islam


Hit = [ ]

oleh ASTORA JABAT
sumber: www.astorajabat.com

RAMAI menganggap penulis dalam ketiga-tiga rencana yang lalu membela Islam liberal. Sebenarnya penulis tidak membela Islam liberal, tetapi membela kebebasan bersuara yang tidak melampau batas. Pada waktu yang sama penulis menentang sesetengah cerdik pandai Muslim yang mengeluarkan hukum secara semberono terhadap Islam liberal sebagai sesat dan rosak akidah. Dalam Islam tidak boleh dikeluarkan hukum sesat dan rosak akidah terhadap seseorang berdasarkan pandangan dan tafsiran, sebaliknya ia perlu ada bukti berupa fakta yang jelas. Mengenai isu Islam liberal ini sepertilah penulis telah terangkan dalam ketiga-tiga perbincangan yang lalu bahawa dicakupi dalam penamaan Islam liberal itu para cerdik pandai Islam tersohor dari seluruh dunia.

Penamaan itu sama ada diberi kepada mereka oleh media massa mahupun mereka sendiri yang menamakan diri mereka begitu seperti yang berlaku di Indonesia, Arab Saudi dan negara-negara Islam lain.

Penulis menganggap perlu membentangkan maklumat dan fakta mengenai mereka yang digelar atau menggelar diri sebagai Islam liberal ini dari sudut yang berbeza daripada sesetengah cerdik pandai Muslim kaki menghukum itu.

Tujuan penulis berbuat begitu selain menjelaskan kekeliruan para cerdik pandai Muslim kaki menghukum itu, ia juga untuk dapat memberi gambaran yang lebih jelas kepada para pembaca mengenai mereka yang digelar atau menggelarkan diri sebagai Islam liberal itu dari segi istilah dan sejarah kemunculan mereka.

Dengan cara itu penulis berharap para pembaca dapat membuat penilaian mengenai mereka itu secara lebih tepat dan kita terikut-ikut dengan hukum berdasarkan pandangan dan tafsiran serong para cerdik pandai Muslim kaki menghukum itu.

Secara peribadi penulis tidak bersetuju dalam banyak perkara yang diperkatakan oleh Islam liberal. Ambil contoh Islam liberal di Indonesia. Meneliti tulisan golongan Islam liberal di Indonesia ini didapati mereka menentang pemikiran agama dogmatis. Tidak salah mereka berbuat begitu kerana umat Muslim kini memang perlu keluar daripada penjara pemikiran agama dogmatis itu.

Bagaimanapun, bila meneliti butir-butir pemikiran yang dilontarkan oleh kebanyakan aktivis Islam liberal di Indonesia didapati mereka lebih cenderung untuk mengamal keliberalan dan kebebasan yang mutlak dalam membuat tafsiran kepada teks-teks al-Quran.

Sedangkan para aktivis Islam liberal di Indonesia sendiri itu kecuali seorang dua bukan pakar dalam bidang agama.

Perlu disebut di sini bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut menganggap Islam liberal sebagai tidak salah. Beliau ketika menyampaikan ucapan mengenai Islam Hadhari di The Oxford Centre For Islamic Studies, Magdalen College, University Of Oxford pada 1 Oktober 2004 berkata, Islam liberal itu boleh dianggap sebagai Islam sederhana.

Cuba perhatikan petikan ucapan beliau ini. "It is with this in mind that today we must also encourage reform and renewal in Islamic thought. I have always believed that by opening up the discursive space in the Muslim world, we enrich our intellectual tradition and directly challenge the extremist doctrines that Islam has become synonymous with over the last few years. Muslim political leaders, scholars and intellectuals must be courageous enough to encourage, and not stifle, voices of moderation and reason.

Whether one refers to these voices as modernist Islam, or progressive Islam, or even `liberal Islam', I believe they have an important contribution to make to the renewal of Islamic thought.

"Islam must not be ossified and fossilised by blind imitation of traditional thought and opinion. Rigid obscurantism, exclusively literalist doctrines and atavistic notions of a past ideal prevents Islam from being a religion for all time as intended by Allah. We must be open to the prospect of reform or islah and renewal or tajdid," katanya.

Ucapan penuh Perdana Menteri boleh dibaca di sambungan ini.

http://www.pmo.gov.my/Web NotesApp/PMMain.nsf/fsMainPMNew

Islam liberal yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri ialah Islam liberal yang baik seperti beberapa tokoh Muslim yang penulis pernah menyebut nama mereka dalam ketiga-tiga rencana yang lalu. Ia bukan sama sekali Islam liberal yang tidak baik dan menyeleweng seperti yang penulis akan bincang dalam rencana ini.

Salah satu Islam liberal menyeleweng itu ialah seorang pejuang reformasi Islam yang dikenali dengan nama Irshad Manji.

Irshad Manji yang merupakan seorang lesbian yang menghalalkan perkahwinan sejenis itu adalah personaliti televisyen terkenal di Kanada. Beliau selalu muncul dalam program-program televisyen berunsur queer itu. Dalam program-program televisyen tidak bermoral itu beliau selalu menampilkan golongan suka sejenis dari negara-negara Islam seperti Iran, Pakistan, Arab Saudi dan lain-lain.

Irshad berusia 36 tahun merupakan warga negara Kanada, seorang India Muslim yang dilahirkan di Uganda. Beliau dalam buku The Trouble With Islam Today yang diterjemahkan ke dalam banyak bahasa dunia menceritakan bagaimana beliau berubah menjadi orang Muslim refusenik yang memberontak terhadap ajaran agama.

Bagaimanapun, selepas membaca buku The Trouble With Islam Today, penulis dapati tidak mungkin marah sepenuhnya kepada pemberontakan Irshad itu. Kerana didikan keluarga yang silap, pengajian agama ala Taliban, kongkongan masyarakat Muslim yang didudukinya dan perkembangan kebangkitan agama dalam era selepas meletus revolusi Islam di Iraq pada tahun 1979, Perang Teluk Pertama antara Iran dan Iraq yang meletus pada tahun 1980, perang puak Mujahidin yang mendapat dukungan Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Islam pada tahun 80-an dan 90-an di Afghanistan dan lain-lain perkembangan mempengaruhi ramai Muslim secara negatif termasuk personaliti seperti Irshad.

Penulis ingin memetik secara ringkas penjelasan Irshad Manji dalam buku The Trouble With Islam Today. Yang dipetik di sini hanya bab pertama dan sedikit bab sembilan, tetapi itu pun sudah mencukupi untuk mengetahui punca yang menyebabkan beliau menjadi menyeleweng.

Dalam bab pertama itu Irshad menceritakan bahawa beliau berhijrah dengan keluarganya ke Barat seperti dilakukan oleh berjuta-juta orang Muslim dalam masa 40 tahun yang lalu. Pada tahun 1972 beliau tiba di Richmond, Vancouver, Kanada ketika dalam usia 4 tahun.

Beliau menceritakan kenapa keluarganya terpaksa berhijrah ke Kanada. Beliau berkata antara tahun 1971-1973 beribu-ribu orang Muslim selatan Asia terpaksa meninggalkan Uganda selepas Idi Amin mengisytiharkan bahawa Afrika hanya untuk orang berkulit hitam sahaja. Pemimpin Uganda yang dianggap perangai ganjil itu hanya memberi beberapa minggu saja kepada penduduk selatan Asia itu untuk meninggalkan Uganda dan jika tidak, mereka akan dibunuh.

      

Beliau juga menceritakan bahawa orang Muslim dari selatan Asia datang ke timur Afrika kerana dibawa oleh penjajah Inggeris untuk membina jalan kereta api di tanah-tanah jajahannya. Selepas beberapa generasi orang Muslim dari selatan Asia menjadi saudagar yang kaya termasuk bapanya yang juga ejen menjual kereta Mercedes-Benz.

Bagaimanapun, Irshad turut menceritakan bagaimana keluarganya bertindak zalim ke atas orang-orang berkulit hitam yang bekerja dengan mereka. Mereka memperlakukan orang-orang berkulit hitam seperti hamba.

Selepas dua tahun berada di Kanada, ibu Irshad menghantarnya ke gereja Rose of Sharon Baptist untuk dijaga dan dididik ketika tiada di rumah.

Irshad seterusnya mencungkil rasa dendam dan benci kepada emaknya dengan berkata, emaknya juga daripada jenis yang tidak suka kepada budak.

Bapa Irshad juga orang keras perwatakannya. Irshad berkata, dia mesti berada di bawah kongkongan bapanya secara mutlak. Di antara peraturan yang mesti dipatuhi ialah jangan ketawa waktu makan, jangan berkata apa jika bapanya mencuri wang tabungannya, perlu ingat jika bapanya menendang roti, tendangan akan datang mesti lebih dahsyat, jika bapanya memukul ibunya jangan panggil polis.

Permasalahan besar yang dihadapi Irshad ialah didikan agama di sekolah agama Islam di Richmond selepas mendapat didikan agama Kristian di gereja.

Penulis tidak mahu memetik penjelasan-penjelasan Irshad mengenai perkara ini, tetapi kesimpulannya dari segi ajaran adalah sama dengan sekolah-sekolah puak Wahhabi yang melahirkan puak Taliban di Peshawar, Pakistan.

Menyeleweng

Dalam petikan-petikan di atas dapat dilihat dengan jelas apa masalah yang dihadapi Irshad pada zaman kecilnya. Bermula dengan dilema orang kaya dan mewah menjadi miskin dan melarat di Kanada selepas diusir dari Uganda sehingga konflik pendidikan agama dan didikan keluarga yang keras dan tidak berperikemanusiaan, ia membentuk manusia yang keliru identiti agama dan bangsa serta menghalalkan hubungan sejenis seperti itu.

Walaupun Irshad dalam bukunya The Trouble With Islam Today ada banyak penyelewengan termasuk menghalalkan lesbianisme, tetapi ini bukan bererti keseluruhan bukunya begitu. Sebaliknya beliau banyak membincangkan perkara-perkara betul mengenai Islam dan penganutnya.

Apa yang penulis dapat simpulkan bahawa jika orang Muslim tidak melakukan ke atas Irshad seperti mereka lakukan ke atas Salman Rushdie dan Nasrin Taslima seperti menghukum mereka murtad dan kafir dan berusaha untuk membunuhnya, Irshad yang masih mengaku Islam dan pejuang reformasinya walaupun dalam bentuk yang menyeleweng tidak akan meniti jalan seperti mereka.

Ini kerana Irshad menyeleweng dalam pencarian kebenaran.

Dengan itu walaupun penulis menganggap Irshad menyeleweng, tetapi tidak menganggapnya terkeluar daripada agama atau kafir. Begitu juga bila membaca sejarah perjalanan hidupnya yang amat sedih itu menyebabkan penulis tidak berasa benci kepada Irshad, kasihan dan simpati kepadanya.

Dalam bab kesembilan, menjelaskan dengan terang sekali bahawa beliau merupakan orang yang beriman kepada Allah.

Irshad menulis, aku berpindah kepada soal yang aku tujukan kepada humanis sekular di kalangan kamu. Aku menghormati pilihan kamu kerana tidak beriman kepada Tuhan. Tetapi apa yang aku akan dapat jika aku tinggalkan keimanan sebelum tiba waktunya. Agama telah mengajarkan aku supaya tidak tunduk kepada sesiapa kecuali Allah yang menduduki secara tidak teguh dalam diriku.

Dapat dilihat dengan jelas dalam petikan di atas bahawa Irshad masih dalam pencarian dan beliau tidak mahu mengikut puak sekular yang tidak percaya kepada Tuhan walaupun iman beliau sendiri kepada Tuhan tidak kuat.

Seterusnya Irshad mengkritik Nasrin Taslima, seorang ahli perubatan Bangladesh dan aktivis fenimis yang telah dihukum murtad dan kafir oleh penduduk negaranya.

Irshad berkata, Nasrin Taslima pernah memberitahu aku bahawa tidak ada hari akhirat dan jika engkau mati, engkau matilah dan itulah dia kesudahan dan penghabisan.

Aku menjawab, dari segi saintifik secara mutlak tidak dapat diragukan perkara itu, tetapi siapa kata sudut pandangan saintifik itu lebih tinggi dari sudut pandangan lain ?

Irshad berhujah dengan Nasrin dengan mengecapnya tidak percaya kepada Allah. Kemudian setelah berhujah panjang lebar dengan Nasrin, Irshad membuat kesimpulan dengan berkata: Sudah menjadi jelas yang tidak meragukan bila dia (Nasrin) berkata, "Aku tidak mahu menghapuskan agama kecuali agama yang menentang kemanusiaan. Jika tidak ada agama yang menentang kemanusiaan, maka sudah dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan agama."

Ini bererti Nasrin yang kini terang-terang berperang dengan Islam sebagai ditonjol dalam media massa Barat sebenarnya kecewa dengan suasana penghayatan agama orang Muslim terutama orang Muslim di negaranya.

Beliau tidak dapat membezakan antara Islam dan Muslim.

Kemudian beliau menjadi bertambah kecewa bila orang Muslim di seluruh dunia mengutuk dan mengecamnya.

Salman Rushdie pun menghadapi perkara yang sama. Seorang ulama Al-Azhar yang merupakan bekas Menteri Wakaf Mesir, Dr. Ali Mahguob pernah berunding dengan Salman untuk membawa beliau kembali kepada Islam pada akhir tahun 80-an atau awal tahun 90-an dulu. Salman bersetuju dan beliau bersedia untuk datang bertaubat depan Syeikh Al-Azhar, Syeikh Gadul Haq Ali Hadul Haq di Mesir. Tetapi usaha Dr. Mahgoub itu ditentang oleh Syeikh Gadul Gaq. Akibatnya Salman kekal dipandang murtad seperti difatwa Imam Khomeini. Salman dalam satu kenyataan dalam akhbar Barat beberapa tahun lalu berkata beliau kini bukan lagi beragama Islam.

Beza Irshad dengan Nasrin dan Salman ialah Irshad masih mengaku Islam walaupun menyeleweng.

Siapa yang ingin membaca buku Irshad boleh melayari sambungan ini. http://www.muslim-refusenik.com/index.html

Bagaimanapun, terjemahan buku The Trouble With Islam Today dalam bahasa Arab dan bahasa Urdu sahaja yang boleh dibaca sepenuhnya. Sedangkan buku asal dalam bahasa Inggeris boleh dibaca sinopsisnya sahaja.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved