Idealis Mahasiswa
 
 

NC baru diharap dapat memartabatkan UUM


Hit = [ ]

oleh Helmi Khalid
sumber: Harakahdaily.net Thursday, July 07 @ 16:53:18 MYT

KUBANG PASU, 7 Julai (Hrkh) - Yang DiPertua PAS kawasan Kubang Pasu, Dr Abdul Isa Ismail yang juga bekas pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) berharap, Naib Canselor baru institusi pengajian tersebut, Dato' Dr Nordin Kardi akan berjaya mengembalikan imej 'keuniversitian' di UUM.

"Kami sangat berharap agar UUM benar-benar menjadi sebuah universiti di mana ciri-ciri keuniversitian seperti `academic autonomy’ di sanjung tinggi, penerokaan dan pengkayaan ilmu menjadi cabaran serta dorongan dan budaya kecemerlangan bersemarak di setiap penjuru kampusnya," jelas Dr Abdul Isa dalam satu kenyataan beliau.

Tambah beliau, kerukunan hidup warga kampus mesti wujud dan menyubur di mana nilai-nilai kemanusiaan dan agama dihargai dan dipelihara.

"PAS Kubang Pasu sentiasa mengharapkan agar kebijaksanaan dan kewarasan sentiasa terserlah dan dimanfaatkan untuk menangani sebarang bentuk ancaman dan halangan terhadap keuniversitian UUM dan memohonkan agar keadilan dan kehormatan sentiasa ditegakkan," ujarnya lagi.

Di samping mengucapkan tahniah di atas pelantikan Nordin, beliau juga berharap pelantikan ini menandakan satu `turning point for the better’ dalam pengurusan sebuah organisasi awam yang telah dipertanggungjawabkan untuk mendidik dan melatih `meritorious’ muda-mudi Malaysia dalam pelbagai bidang pengurusan agar dapat menyumbang kepada stok modal insani berkualiti (quality human capital) yang diperlukan oleh negara.

Katanya lagi, saranan ini dibuat berdasarkan beberapa tindakan pihak tertentu sebelum ini yang menjadikan UUM seolah-oleh 'hak mereka sendiri' dan telah menjatuhkan kredibiliti UUM sebagai salah sebuah gedung ilmu di utara tanahair.

      

Tegas Dr Isa, janganlah kesombongan, kebebalan, ketidak-pedulian malahan `kebobrokan’ yang menyifati hampir setiap sudut dan aspek pentadbiran era lepas dibiarkan terus subur.

Kenyataan yang sama turut dihantar kepada Naib Canselor baru itu dengan harapan ia akan dijadikan salah satu panduan untuk menggerakkan UUM ke era lebih cermerlang.

"Kami sedar harapan ini tidak mudah ditunaikan berdasarkan realiti semasa kerana pengorbanan yang diperlukan bukan sedikit lantaran risiko yang terlibat amat besar, tetapi demikianlah yang membezakan pemimpin terbilang daripada pemimpin yang usang.

"Mudah-mudahan Yang Berbahagia Dato', mampu serta berani melakukan kelainan agar semalam tidak sama seperti hari ini dan esok lebih baik daripada sebelumnya. Selamat menerajui universiti kita," katanya.

Sebelum ini, pelantikan Nordin sebagai Naib Canselor ke enam UUM menerima kritikan awal memandangkan beliau adalah bekas Ketua Pengarah Biro Tata Negara (BTN) dan bukannya di kalangan ahli akademik negara.

Era UUM terdahulu juga sering dikaitkan dengan pelbagai gejala sosial di kalangan penuntutnya, dikatakan juga pernah berlaku beberapa tangkapan khalwat yang dirahsiakan, termasuk berita yang amat mengejutkan semua pihak iaitu penemuan seorang bayi dalam almari baju penuntut. - mks.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved