|
Ahlan wa sahlan wa merhaban bikum dan selamat datang kepada semua pelajar baru yang berdaftar pada 3 Julai lalu. Penulis ingin meraikan kedatangan pelajar-pelajar baru sebagai sebuah ahli keluarga baru institusi pengajian tinggi.
Sekadar sedikit persediaan dan pembentukkan minda ‘mind setting’, penulis ingin sedikit sebanyak mencoret kehidupan di alam IPT. Pelajar-pelajar yang akan berdaftar pada hari ahad ini atau tarikh yang telah ditetapkan oleh institusi pengajian masing-masing akan secara rasminya bergelar mahasiswa abad 21. Mahasiswa abad 21 adalah satu generasi harapan yang bakal memikul amanah yang pelbagai di dalam mendepani era baru.
Abad 21 berkehendakkan mahasiswanya cemerlang dalam pelbagai aspek terutamanya di dalam akedemik dan sahsiah. Sistem dan disiplin belajar tidak statik dan sudah berubah mengikut keperluan semasa. Kalau diperingkat sekolah menengah dulu, pelajar hanya berharap dengan nota dan ‘suapan-suapan’ guru, di alam kampus tidak lagi. Kalau dulu pelajar hanya berjumpa guru hanya untuk menghantar kerja kursus atau ‘assignment’, kini tidak lagi. Kalau ketika di bangku sekolah dahulu bacaan-bacaan pelajar terhad hanya pada teks dan nota yang diberikan, di alam kampus tidak lagi. Kini massa berkehendakkan pelajarnya pro-aktif dan bertindak atas kaki sendiri. Sistem CGPA adalah sesuatu yang diistilahkan sebagai ‘makhluk’ yang mudah untuk turun tetapi payah untuk naik. Justeru, seharusnya mahasiswa perlu berusaha untuk mendapat angka yang tinggi di dalam sistem CGPA ini.
Namun demikian, Mahasiswa abad 21 yang berhadapan dengan era globalisasi mempunyai suatu paiwaian dan kehendak semasa yang perlu dipenuhi. Cabaran dan permasalahan semasa sentiasa menyelebungi semua pihak. Hedonisme, krisis Identiti dan pertembungan perbagai aliran pemikiran adalah antara cabaran semasa yang perlu ditangani oleh mahasiswa abad 21.
Justeru, jika hanya sekadar cemerlang di dalam bidang akedemik menerusi sistem CGPA masih tidak mencukupi untuk melahirkan mahasiswa abad 21. Idealisme, Aktivisme dan Intelektualisme adalah merupakan kunci utama kepada mahasiswa abad 21 yang perlu diperlengkapkan oleh mahasiswa sepanjang berada di alam kampus.
Idealisme merujuk kepada pegangan atau prinsip fundamental yang dihayati lagi diamati. Ia diasaskan kepada dua perkara pokok. Pertama adalah al-Amru bil Ma’ruf atau kecintaan kepada prinsip kebenaran, keadilan dan keharmoniaan. Wan Nahyu A’nil Mungkar atau kebencian terhadap kepalsuan, kezaliman dan kekacauan. Kedua-dua perkara pokok ini pula perlu ditunjangi dan didasarkan kepada suatu kesedaran bahawa manusia ini Khalifah di muka bumi ini, khalifahtullah dan A’bdllah, atau hamba Allah swt. Daripada konsep-sonsep ini akan mendorong mahasiswa atau sesiapa sahaja untuk mengerjakan kebaikan dan cemerlang dalam konteks yang lebih luas.
Aktivisme pula merujuk kepada keupayaan merealisasikan idealisme melalui tindakan-tindakan yang praktikal. Ia merupakan satu proses yang bersandarkan kepada kebijaksanaan mengolah idea-idea yang bernas dan kewibawaan menterjemah idealisme tersebut dalam aturan hidup secara kemas tanpa menimbulkan riak-riak yang negatif. Melalui aktivisme inilah lahirnya gerakan yang berintikan semangat perjuangan dan pengorbanan serta nilai-nilai kesukarelaan yang tinggi dikalangan mahasiswa abad 21. Mahasiswa juga tidak boleh mengambil pendekatan yang berpeluk tubuh yang hanya melihat tanpa berusaha untuk menyelesaikan permasalahan masyarakat dan daripada itu aktivisme juga adalah merupakan pra-syarat bagi mencapai kejayaan.
| |
Di era pascamodenisme ini, lebih 48 000 graduan Malaysia yang masih menganggur. Faktor utama yang dinyatakan di dalam kajian yang dijalankan adalah kekurangan ‘soft skill’ atau ilmu-ilmu tambahan dan kemahiran yang ditimba di luar kelas. Seperti mana yang dinyatakan oleh Bapak Presiden Sukarno dalam pidatonya yang terkenal menyatakan bahawa, “kepimpinan tidak bisa lahir dari mahasiswanya yang hanya terperap di dalam dewan kuliah dan menjadi ulat buku semata-mata, tetapi kepimpinan bisa lahir dengan mahasiswa yang turut terjun ke dalam kancah masyarakat”. Penyataan ini jelas menunjukkan bahawa kekuatan ilmu yang kita dapat melalui kelas dan kuliah perlu juga ditunjangi dengan kekuatan aktivisme yang tinggi. Justeru, kelab-kelab dan persatuan-persatuan yang ada di kampus patut disertai oleh bondongan mahasiswa.
Elemen yang terakhir adalah intelektualisme. Intelektualisme turut memberikan konotasi kepada kehebatan dan kecermerlangan kepada perolehan markah tinggi dalam peperiksaan. Selain daripada itu, intelektualisme juga adalah merupakan adalah merupakan satu proses penghayatan budaya ilmu melalui olahan idealisme yang dikembangkan dalam bentuk aktiviti-aktiviti yang mampu merangsang pemikiran analitikal dan kritis hingga berupaya untuk mewujudkan satu idea-idea baru yang praktikal bagi pembaikan diri dan masyarakat.
Mahasiswa abad 21, yang penuh dengan tanaga dan bersifat ‘energetic’ semahunya mempertingkatkan kekuatan intelektual. Pembudayaan dan penghayatan ilmu dijalankan sebanyak yang mungkin. Perbincangan ilmu dan pembacaan diperbanyakkan sebagai suatu aspek penting untuk membina intelektualisme mahasiswa abad 21. kekuatan pemikiran dan inteltual ini mampu untuk menangkis serangan pemikiran yang menjadi instrument yang memusnahkan masyarakat. Mahasiswa juga tidak mudah diperkotak katikkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.
Abad 21 berkehendakkan mahasiswanya mengetahui disiplin ilmu yang lebih daripada hanya mengetahui disiplin ilmu yang kita ceburi atau yang kita belajar daripada kelas sahaja. Mahasiswa yang mengambil pengajian agama perlu juga mengetahui ilmu ekonomi, mahasiswa yang mengambil undang-undang perlu juga mengetahui disiplin ilmu agama dan begitu juga sebaliknya dan yang lain-lainnya. Pada tika inilah mahasiwa layak bergelar mahasiswa abad 21 yang dinamik.
Ketiga-tiga elemen ini harus diadun secara seimbang, komprehensif dan sepadu dalam mendidik dan membangun generasi Mahasiswa abad 21. Melalui rasa dan kesedaran yang tinggi terhadap memartabatkan mahasiswa dan peranan yang besar kepada masyarakat berhasrat menjadi medium pelajar mengembangkan ilmu dan mempertingkatkan nilai Idealisme, Aktivisme, dan Intelektualisme, penulis turut ingin mengajak mahasiswa abad 21 agar lebih aktif dengan aktiviti dan rajin untuk berfikir. Seperti yang dinyatakan oleh Hasan Hudaibi “Jangan biarkan hidup mu walau sesaat tanpa berfikir tentang permasalahan ummat”.
Mohd Saifullah Mohd Zulkifli
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
|