Idealis Mahasiswa
 
 

Tahu di mana Ayah Pin


Hit = [ ]

oleh Noor Jaafar
sumber: Harian Metro Online Edisi KL Selasa 5/7/2005


KHURAFAT... telaga ‘zam-zam’ di markas Ayah Pin yang didakwa boleh sembuhkan penyakit.

KERAJAAN mengetahui di mana ketua kumpulan ajaran sesat Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad bersembunyi dan memantau pergerakan lelaki itu dan pengikutnya.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar, berkata kerajaan tidak akan menahan anggota kumpulan ajaran sesat itu dan Ayah Pin mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebaliknya mendakwa mereka di mahkamah syariah mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001.

Katanya, walaupun menyedari kumpulan ajaran sesat masih berdegil dan enggan bertaubat, kerajaan tidak bercadang menggunakan ISA kerana bilangan mereka kecil dan tidak mengancam keselamatan negara.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen semalam, Noh berkata, kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan kumpulan itu kerana usaha menasihat dan memulihkan mereka gagal.

“Kita akan menggunakan peruntukan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah kerana ajaran Ayah Pin difatwa sebagai ajaran sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu pada 1997,” katanya.

Ariffin, 62, sebelum ini pernah dihukum penjara 11 bulan dan denda RM2,900 oleh Mahkamah Rendah Syariah Besut pada 27 Jun 2001 kerana menghina Islam.

Awal pagi semalam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) menahan 21 pengikut Ayah Pin termasuk seorang inspektor polis dan anggota kumpulan rock dalam operasi di sebuah perkampungan di Batu 31, Besut, yang menjadi markas pengikut ajaran itu.

      

Turut ditahan, seorang wanita berusia 33 tahun yang dipercayai isteri keempat Ayah Pin, tetapi Ariffin masih gagal dikesan dalam operasi membabitkan 21 anggota penguatkuasa JHEAT dan 40 anggota polis.

Anggota kumpulan ajaran sesat yang berusia antara 30 hingga 60 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 14(B) dan Seksyen 10, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001.

Empat daripada mereka akan didakwa mengikut Seksyen 14(B) dan Seksyen 10, manakala 17 lagi mengikut Seksyen 10 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.

Menurut Noh, kerajaan memantau secara bersepadu aktiviti kumpulan Ayah Pin dan polis juga memberi kerjasama kepada JHEAT untuk mengambil tindakan terhadap mereka.

“Sekatan jalan raya diadakan di laluan menuju markas Ayah Pin.

“Kerajaan sebelum ini memantau kegiatan Ayah Pin, termasuk kunjungannya ke kuil di Batu Caves dan di Bali, Indonesia,” katanya.

Mengenai penahanan seorang pegawai polis yang dikatakan terbabit dengan kumpulan Ayah Pin, Noh berkata, pihaknya sedang menyiasat sejauh mana pembabitan anggota terbabit dengan kumpulan itu.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved