|
KUALA TERENGGANU: “Kerajaan tetap akan merobohkan bangunan dan replika yang didirikan di kawasan perkampungan Ayah Pin kerana melanggar Ordinan Tanah Negara,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, semalam.
Selain itu, kerajaan juga akan mengambil tindakan tegas terhadap Ayah Pin dan pengikutnya.
Idris berkata, disebabkan isu Ayah Pin isu lama dan besar, tindakan terbaik dan lebih teliti perlu diambil terhadapnya..
“Serbuan ke atas perkampungan Ayah Pin bukan bertujuan menangkapnya tetapi lebih kepada pengumpulan bukti bagi mendakwa dia dan pengikut mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001,” katanya.
Beliau berkata, pengumpulan bukti berkenaan sangat penting bagi mengaitkan kegiatan kumpulan Ayah Pin atau Ariffin Mohamad, 65, sesat dan bercanggah dengan hukum Islam.
“Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan diwartakan haram pada 1997.
“Pada Oktober 2001 lalu, 1,000 pengikut Ayah Pin termasuk empat isterinya dikehendaki mengikuti kursus tarbiah akidah oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berikutan pengakuan Ayah Pin keluar daripada Islam (murtad),” katanya.
| |
Berikutan itu, Ayah Pin dijatuhi hukuman penjara 11 bulan oleh Mahkamah Rendah Syariah Besut.
“Cara lain menghalang ajaran sesat Ayah Pin hanyalah dengan merobohkan replika dan bangunan berkenaan sahaja,” katanya.
Idris berkata, Penasihat Undang-Undang negeri dan Pesuruhjaya JHEAT akan meneliti kes Ayah Pin dan tindakan lanjut akan dibuat mengikut peruntukan undang-undang.
Sabtu lalu, seorang pegawai polis berpangkat inspektor antara 21 pengikut ajaran Ayah Pin yang diberkas dalam operasi khas Bahagian Penguat Kuasa JHEAT di markas induk kumpulan itu.
Turut diberkas dalam operasi tujuh jam bermula kira-kira jam 5.30 petang itu ialah isteri keempat Ayah Pin dan seorang anggota kumpulan muzik rock popular tanah air.
Pengikut setia Ayah Pin terbabit ditahan ketika sedang mengadakan perhimpunan mingguan di markas kumpulan itu di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu.
|