|
Pada hari ini kita mendapati institut pengajian tinggi swasta (IPTS) tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Dengan penubuhan Jabatan Pendidikan Swasta di bawah Kementerian Pelajaran, ia bagaikan petanda yang jelas menunjukkan bahawa pertumbuhan pendidikan tinggi yang berkonsepkan swasta amat rancak sehingga memaksa kerajaan menjalankan pemantauan yang lebih rapi agar sistem pendidikan di Malaysia yang sedia ada tidak tercalar dengan kewujudan ‘private institution’ ini.
Seiring dengan perkembangan ini, wujudlah dua golongan mahasiswa yang menuntut di institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang diletakkan sepenuhnya di bawah kerajaan dan golongan penuntut IPTS yang sememangnya dioperasikan oleh badan-badan kerajaan seperti TM, dan TNB mahupun persendirian. Secara kasarnya, kaedah dan sistem pembelajaran di IPTA dan IPTS tidak jauh berbeza. Struktur program dan silibus pembelajaran yang hampir serupa, termasuk sistem pentadbiran dan peperiksaan yang agak seragam memangkin persaingan yang sihat antara graduan IPTA dan IPTS.
Namun begitu, jika dinilai dari segi gerakan mahasiswa samaada dari aspek ‘accountability’ mahupun keterlibatan badan mahasiswa seperti MPP dan kelab-kelab untuk terlibat dalam membincangkan isu-isu mahasiswa, sosio politik dan ekonomi negara, ternyata gelombang gerakan ini di IPTA jauh lebih rancak berbanding di IPTS. Keadaan ini mungkin berpunca daripada pelbagai faktor yang menjarakkan jurang kesedaran tentang gerakan mahasiswa di IPTA dan IPTS.
Jika kita lihat dari aspek kemasukan pelajar ke IPTA dan IPTS, dapat diperhatikan satu trend bahawa kebanyakan lepasan sekolah menengah yang meneruskan pelajaran di IPTS adalah mereka yang mampu menanggung kos pembelajaran yang tinggi sama ada melalui kewangan persendirian ataupun ditaja oleh mana-mana pihak. Rata-rata yang ditaja pula adalah kelompok-kelompok pelajar yang cemerlang dalam SPM sehingga melayakkan diri mereka untuk ditaja. Dengan ini, dapat kita katakan bahawa IPTS merupakan institusi pendidikan yang esklusif tidak seperti IPTA yang syarat kemasukannya jauh lebih rendah untuk dipenuhi oleh sebilangan besar lepasan matrikulasi pendidikan kementerian. Dengan adanya status esklusif ini, tidak dinafikan bahawa wujudnya rasa ‘ekslusif’ dalam minda mahasiswa-mahasiswa IPTS sehingga ada di antara mereka yang langsung tidak menghiraukan apa-apa yang berlaku di sekeliling mereka selagi tidak mengganggu pelajaran mereka atau menghalang mereka dari berhibur untuk melepaskan ‘stress’.
Renteten daripada wujudnya perasaan ‘esklusif’, tidak hairanlah sekiranya didapati mahasiswa IPTS seumpama katak bawah tempurung, yang hanya tahu serba serbi dalam apa yang dipelajarinya dalam kuliah dan kelas tutorial, tetapi kosong dari segi pengetahuan isu semasanya. Bersendirian di dalam bilik sambil menonton VCD atau membuat ‘assignment’ sehari suntuk adalah aktiviti yang paling diminati oleh kebanyakan mahasiswa IPTS berbanding untuk melibatkan diri secara aktif dalam kelab-kelab, persatuan, badan pelajar mahupun program-program ilmiah anjuran kampus. Tidak kurang juga yang menganggap penglibatan dalam persatuan hanya membuang masa dan menyusahkan mereka. Bahkan, permainan komputer, anime, filem-filem terbaru dan dunia hiburan adalah perkara yang sentiasa menjadi isu hangat dalam perbualan seharian mereka.
| |
Jika dikaji secara kuantitatif, purata peratus mahasiswa IPTS yang turun mengundi dalam setiap pilihanraya kampus hanya mencapai tahap 50 peratus biarpun jarak kolej kediaman mereka dan tempat mengundi tidak sampai 15 minit dengan berjalan kaki! Tambahan pula, calon-calon untuk pilihanraya kerusi fakulti mahupun exco-exco adakalanya hanya cukup-cukup sehingga menyebabkan kebanyakan calon menang tanpa bertanding. Adakah ini disebabkan mahasiswa IPTS tidak tahu menahu langsung tentang prosedur pilihanraya kampus untuk menjadi calon, berkempen mahu pun memangkah undi? Atau mereka merasakan pilihanraya kampus ini hanyalah ‘event’ yang hanya disertai oleh puak-puak tertentu yang mereka katakan sebagai puak ‘gila kuasa’? Begitulah rendahnya kesedaran mahasiswa IPTS tentang betapa pentingnya penglibatan dalam menentukan wakil mereka di kampus biarpun mereka sedar yang selama ini kebajikan mereka tidak pun dipelihara oleh pihak pentadbiran universiti.
Perkembangan politik di kampus IPTS juga agak perlahan jika dibandingkan di IPTA. Kalau dilihat di IPTA, menjelang pilihanraya kampus sudah tentu akan wujud pelbagai kelompok-kelompok mahasiswa sama ada yang dicop sebagai pro-Aspirasi, pro-pembangkang, atau untuk mewakili kepentingan kelompok tertentu yang bersaing hebat untuk merebut segala kerusi yang dipertandingkan. Jika dibandingkan dengan IPTS, sudah pastinya kerusi yang dipertandingkan di IPTA jauh lebih banyak memandangkan setiap peringkat dipertandingkan termasuk fakulti dan kolej kediaman. Di IPTS, pencalonan hanya terhad untuk kerusi fakulti sahaja, itupun boleh dikatakan bilangan kerusi kosong menunggu untuk diisi lebih banyak dari bilangan calon yang hendak bertanding. Jika diperhatikan di IPTS, mungkin boleh dikatakan satu golongan sahaja yang aktif berpilihanraya iaitu golongan mahasiswa pro Islam yang telah diterapkan kesedaran tentang betapa pentingnya kuasa politik untuk menegakkan biah Islam di kampus, selain daripada calon-calon bebas yang bertanding atas tiket individu. Kalau untuk melihat pengaruh Aspirasi di IPTS, ia tidak sehebat di IPTA. Biarpun ada suara-suara yang mengatakan PMI di suatu IPTS telah diambil alih oleh golongan pro Aspirasi, ia adalah satu keadaan yang jarang-jarang berlaku dan memelikkan kerana kebiasaannya pro Aspirasi hanya mensasarkan MPP sebagai proksi mereka untuk menguasai kampus, bukanlah PMI yang sentiasa digambarkan didalangi oleh golongan mahasiswa pro PAS atau tali barut kepada badan ‘underground’ seperti GAMIS (rujuk www.idealis-mahasiswa.net).
Dengan penyertaan suram dalam pilihanraya oleh seluruh warga kampus IPTS, tidak hairanlah sekiranya golongan mahasiswa pro Islam sentiasa mencapai kemenangan 100 peratus dalam pilihanraya kampus saban tahun biarpun terdapat kelemahan dan kekurangan yang ketara dalam kempen atau kredibiliti calon yang diletakkan mereka. Apa tidaknya, sudah cukup dengan kekuatan ahli mereka yang masing-masing diwajibkan untuk memangkah undi, sudah tentu ia akan membawa kelebihan yang besar kepada mereka untuk memenangi pilihanraya kampus di tambah pula rasa ‘ekslusif’ yang sentiasa membantutkan pergerakan mahasiswa di IPTS. Adakah dengan melebarnya pengaruh PUTERA UMNO ke kampus IPTS akan merubah segalanya? Fikir2..
- Diambil dari laman KampusNegara.com
|