|
KOTA BAHRU - Mengunjungi bandaraya Islam “ala kitab buruk Datuk Nik Aziz Nik Mat” terlalu memualkan kerana bau busuk dan kekotoran dimana-mana serta terasa benar Kelantan telah dilanda lalat hijau yang banyak hingga menjejaskan perniagaan di pasar Siti Khadijah.
Pasar ini dulunya dibina oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan nama Pasar Buluh Kubu, sebaik sahaja kerajaan Pas yang berkuasa sejak tahun 1959 ditumbangkan oleh BN pada 1978 tetapi selepas BN tewas pada 1990 Nik Aziz menukar namanya kepada Pasar Siti Khadijah.
Kononnya bila pasar tersebut dijadikan pasar Islam bertambah baik tetapi malangnya imej Islam telah tercemar kerana terlalu kotor, berbau busuk dan dipenuhi dengan lalat hijau. Keadaan sekitar pasar menjejaskan peniaga-peniaga yang mencari rezeki disitu.
Kerajaan BN (1978-1990) berbelanja lebih RM100 juta bagi menyusun semula bandar Kota Bahru sehingga menjadi pembangunan terancang seperti kelihatan sekarang tetapi Pas hanya bercakap besar namun untuk menjaga kebersihan sekitar bangunan tidak mampu dilakukan.
Penulis sukar untuk menolak pandangan ustaz dari Melaka yang mendakwa rakyat Kelantan dilanda MUSIBAH daripada Allah kerana terlalu taksub kepada Pas dan kepimpinan Pas, terutama Nik Aziz.
Akibatnya mereka mengalami kesukaran untuk mencari rezeki dengan baik, selesa dan sempurna akibat persekitaran terlalu kotor, bau busuk dan lalat hijau memenuhi ruang pasar berkenaan menyebabkan pengunjung takut untuk membeli belah, terutama makanan.
Inilah agaknya bentuk bandaraya Islam yang sebenar dan ajaran Islam yang berteraskan Al Quran dan Sunnah seperti dimaksudkan oleh Pas selama ini iaitu sebuah bandaraya yang penuh dengan kekotoran, bau busuk, dan lalat hijau terdapat dimana-mana.
Kerajaan Pas Kelantan seperti “mati akal” untuk mengatasi masalah tersebut namun kepimpinan Pas Kelantan masih lagi bermegah dengan pemerintahan yang banyak membawa kesusahan kepada rakyat akibat jumud dan bersikap keras kepala malah enggan mendengar pandangan pihak lain yang dianggapnya tidak Islamik.
Islamik Pas pada sebutan tetapi kalau dibandingkan dengan bentuk pemerintahannya ternyata kerajaan tersebut tidak berdaya maju hingga menyebabkan ekonomi negeri Kelantan mengharapkan ehsan kerajaan pusat yang dicemuh dengan pelbagai keburukan oleh Pas.
Tinjauan di Kelantan selama dua hari mendapati sampah sarap bertimbun-timbun di merata tempat di bandar raya Islam Pas, Kota Bharu, bau busuk dan memualkan hingga menyebabkan penulis demam dan hilang selera makan selama beberapa hari.
Penulis merasai kerajaan Pas Kelantan tidak ada sikap belas kasihan kepada peniaga-peniaga dipasar Siti Khadijah kerana mereka setiap hari menahan bau busuk dan berperang dengan lalat selain berdepan dengan ketiadaan pengunjung dan perniagaan mereka jatuh merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
| |
Bukan setakat tempat jualan makanan dan barangan tertentu diserang bau busuk dan lalat tetapi sehingga ke surau berdekatan pasar berkenaan menyebabkan surau tersebut tidak ramai umat Islam berjemaah di situ walaupun peniaga-peniaga dipasar berkenaan jumlahnya ramai.
Berada di surau dekat pasar berkenaan terasa betapa hipokrit dakwaan Pas tentang dakwah Islam iaitu bukan sahaja tidak ramai yang berjemaah tetapi keadaan dalam surau juga kotor dan tidak diurus dengan baik.
Namun kerajinan rakyat Kelantan mencari rezeki untuk hidup memang boleh dibanggakan kerana dalam busuk, lalat dan tidak selesa mereka boleh bertahan untuk terus duduk berniaga dipasar itu bertahun-tahun lamanya tanpa menghiraukan tentang kesihatan diri mereka.
Tetap nasib mereka kurang baik kerana memilih kerajaan yang tidak memberi banyak manfaat kepada kehidupan mereka, sebaliknya mendatangkan kesusahan dan penderitaan, sedangkan pemimpin parti berada dalam kemewahan, sebagaimana di dakwa oleh perwakilan dalam muktamar Pas ke 51, baru-baru ini.
Walaupun mereka berulang kali mengeluh dan menyatakan kesusahan serta risiko yang bakal dihadapi oleh mereka seperti dihinggapi pelbagai jenis penyakit akibat kekotoran dan lalat namun kepimpinan Pas terutama Nik Aziz sering menyalahkan pihak lain dan rakyat.
Seolah-olah tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab atau apa-apa kaitan dengan masalah rakyat selepas rakyat memberikan mandat untuk mereka memerintah negeri tersebut.
Meninjau dipinggir bandar raya Islam Pas keadaannya agak malap dan suasana tidak bermaya kerana tidak ada pertumbuhan ekonomi yang mantap bagi menghidupkan suasana yang lebih baik.
Sepanjang dua hari dua malam berada di sana kegiatan maksiat berjalan lancar pada waktu malam, dimana sebilangan besar wanita Kelantan keluar pada waktu tidak memakai tudung kepala walaupun Nik Aziz berulang kali mengatakan keadaan akhlak kehidupan di Kelantan lebih baik.
Penulis dibawa oleh rakan-rakan bagi mellihat sendiri kawasan-kawasan pelacuran dan terkejut melihat perlakuan maksiat secara bebas di bandar raya Islam Pas. Walaupun perniagaan arak diharamkan dibawah pentadbiran Pas Kelantan namun botol-botol arak terus dibuka dimana-mana.
Entah ke mana perginya Skuad Amar Maaruf Nahi Mungkar yang ditubuhkan oleh kerajaan Pas Kelantan bagi menangkap sesiapa sahaja yang melakukan maksiat berat seperti berkhalwat, minum arak dan berzina kerana sepanjang dua hari tidak kelihatan anggota berkenaan beroperasi, terutama pada sebelah malam.
Apakah unit tersebut sudah dimansuhkan kerana maksiat sudah tidak ada di Kelantan atau tidak berupaya mencegahnya kerana gejala terus berkembang dan bertambah banyak di Kelantan sekarang ini hingga mereka tidak terdaya untuk membendungnya.
|