Idealis Mahasiswa
 
 

Lagi Gejala Ajaran Sesat Didedahkan Selepas Ayah Pin: Zikir Rock, Pakai Bikini


Hit = [ ]

oleh: Imran Mohamad Nor
sumber: Bacaria Rabu 13/7/2005

SHAH ALAM: Berzikir sambil menari, kemudian tak sedar diri dan pakaian ditanggal sehingga mendedahkan sebahagian anggota tubuh. Itulah salah satu gejala ajaran sesat yang telah dikesan di negeri ini, dedah Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Fakrul Azam Yahya.

Menurut Fakrul, kumpulan tersebut dikenali sebagai 'Zikir Rock' dikenal pasti bergiat aktif di negeri ini mengamalkan amalan berzikir sambil menari secara berkumpulan terdiri dari lelaki dan wanita tanpa ada batasan.

Katanya, pada permulaannya, mereka berzikir secara perlahan kemudian semakin rancak seperti konsert rock sehinggalah menjadi diri seperti dirasuk.

"Ketika mereka tidak sedar diri itulah mereka menanggalkan pakaian sehingga memperlihatkan bahagian-bahagian tubuh yang tidak sepatutnya didedahkan," ujarnya.

Sementara itu, satu lagi ajaran sesat yang turut mempamerkan tubuh seksi kaum wanita ialah Banuar Bikini yang diilhamkan oleh Haji Banuar Roslan atau lebih dikenali Banuar Bikini beroperasi di Kampung Bukit Kapar, Klang, dekat sini.

"Ajaran Banuar Bikini ini pula mengamalkan amalan kebatinan dan mencampur adukkan dengan agama sehingga pengikut tunduk dan patuh menyalurkan harta dan wang ringgit sebagai satu pengorbanan.

Tambah Fakrul lagi, apa yang lebih menarik lagi ialah Banuar mendakwa mengamalkan tarikat walaupun lebih memberikan tumpuan dalam perubatan tradisional terutama wanita sama ada anak dara atau isteri orang dengan menggunakan kuasa ghaib.

"Ada seorang mangsa mendakwa pernah berubat dengan Banuar. Ketika berubat, Banuar menyuruh wanita itu berpakaian seksi atau berkemban seperti bikini ketika hendak dimandikan. Bukan seorang dua yang mendakwa diperlakukan demikian.

"Mungkin kerana suka menyuruh orang berpakaian seperti bikini, maka orang pun memanggilnya dengan gelaran Banuar Bikini," jelasnya.

Katanya lagi, ajaran Banuar Bikini ini beroperasi di Kampung Bukit Kapar, Klang sejak tahun 2001. Bagaimanapun, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JAIS berjaya mengekang gerakan kumpulan ajaran sesat Banuar Bikini dua tahun yang lalu.

      

Ketua dan juga pengasasnya, Banuar Roslan telah ditahan dan diambil tindakan serta diberi amaran.

"Begitu juga dengan kumpulan Zikir Rock yang mana ketuanya adalah orang baru. Mereka dibebaskan setelah disabitkan kesalahan. Kini pihak JAIS sedang dan akan sentiasa memantau pergerakan mereka bagi memastikan amalan-amalan terdahulu tidak lagi dihidupkan kembali," katanya.

Menurut Fakrul, selain dari ajaran sesat Banuar Bikini dan Zikir Rock, terdapat banyak ajaran-ajaran sesat yang lain dikenal pasti bergiat aktif di Selangor.

Dalam penyelidikan dan tangkapan yang dilakukan oleh Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JAIS, sepanjang tahun 2004 hingga penengahan 2005, sebanyak 22 ajaran sesat beroperasi di negeri itu.

Antara ajaran sesat tersebut ialah Tarikat Naksabandiyah, Ajaran Nordin Puteh, Tarikat Mufardiyah, Ajaran Haji Ghazali Othman, Ajaran Ilmu Hakikat, Ajaran Ilmu Tajalli, Ajaran Tarikat, Ajaran Martabat, Golongan Anti Hadis, Ajaran Kahar Ahmad, Aurad Ismailiah, Al-Arqam, Ajaran Syed Mohamad Al-Masyhor, Ajaran Sulaiman, Ajaran Ilmu Hakikat, Ajaran Qadiani/Ahmadiah, Ajaran Islam Jamaah, Tarikat Samaniah, Ajaran Tijah, Fahaman Syiah dan Ajaran Zamree.

Jelas Fakrul, kesemua pengamal ajaran sesat ini ditahan di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam, 1989 di mana jika disabitkan kesalahan mereka akan dikenakan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau dipenjara atau kedua-duanya sekali. Dalam pertemuan itu, Fakrul memberitahu, kebanyakan pengikut ajaran sesat ini adalah orang-orang yang kurang atau tiada langsung pendidikan agama.

"Kerana itu mereka mudah terpengaruh dengan cakap-cakap ketua kumpulan ajaran sesat ini yang sememangnya tahu tentang hukum hakam agama. Tetapi oleh ingin jadi ketua, mereka sanggup lakukan apa saja asalkan cita-cita mereka tercapai," ujarnya.

Selain dari faktor gila kuasa, kata Fakrul, faktor kewangan dan seks juga menjadi tarikan utama ketua kumpulan ajaran sesat.

Fakrul menasihati orang ramai yang kurang arif dalam ilmu agama, segera membuat aduan kepada pihak yang arif dalam agama seperti ustaz atau imam masjid sebelum melibatkan diri dalam mana-mana kumpulan agama.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved