|
Berikutan tersebarnya berita [bekas] Setiausaha Pas Selangor didakwa mencabul seorang gadis, Pas Selangor sekali lagi dilanda krisis kepimpinan. Sehingga lewat malam ini beberapa mesyuarat atau perjumpaan kecil telah diatur oleh para penggerak Pas Selangor.
Sebahagiannya sudah bersedia untuk meletak jawatan jika Hasan Ali terus menerajui Pas Selangor. Ramai dalam barisan Badan Perhubungan Pas Selangor mempertikaikan tindakan Hasan Ali melantik seorang tokoh yang tidak begitu dikenali dalam kepimpinan Pas, saudara Mohd Nor Izam bin Awalluddin, sebagai setiausaha Pas Selangor.
Mereka melihat tindakan melantik rakan dalam jualan langsungnya sebagai Setiausaha badan perhubungan Pas Selangor sebagai satu langkah mengukuhkan cengkaman kuasa HasanAli ke atas Pas negeri ini.
Kemarahan mereka bertambah bila Hasan Ali mengambil masa terlalu lama untuk menukar nama Setiausaha Pas Selangor sehingga isu ini menjadi bualan di kalangan pemerhati politik.
Banyak emel yang dihantar kepada kami turut mempertikaikan kebijaksanaan Hasan Ali menguruskan isu ini. Mereka tidak berpuas hati mengapa Hasan Ali hanya menukarkan nama setiausaha tersebut tidak sampai 24 jam sebelum pendakwaan sungguhpun Izam sudah ditahan reman beberapa hari sebelum itu.
| |
Sungguh pun kumpulan Hasan Ali boleh bernafas lega kerana berita ini tidak bocor kepada media arus perdana [disebabkan nama AJK Perhubungan Pas Selangor belum diumumkan] namun konflik dalaman sudah tidak dapat dielakkan. Ini kerana sebahagian besar kepimpinan Pas Selangor dan Pusat sudah dimaklumkan perlantikan tersebut.
Beberapa kumpulan veteran Pas Selangor merasa kecewa dengan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang, yang mengambil sikap mendiamkan diri tanpa mencari jalan penyelesaian.
Dalam beberapa minggu akan datang, konflik ini mungkin akan bertambah menarik.
Mungkinkah Hadi terpaksa membuat rombakan Pas Selangor ?
|