Idealis Mahasiswa
 
 

Pelajar IPT turut terlibat ajaran Ayah Pin


Hit = [ ]

oleh: Saharom Abd Aziz
sumber Bacaria Rabu 13/7/2005

JERTIH: Beberapa remaja yang dipercayai pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan dikatakan turut terjebak dengan ajaran sesat Ayah Pin.

Pelajar-pelajar itu dikatakan sering ke Kampung Batu 13, Hulu Besut yang menjadi markas ajaran itu pada setiap hujung minggu atau cuti semester dengan alasan mendalami 'ilmu agama'.

Hal ini didedahkan oleh seorang penduduk Kampong Bukit Payung, Mazlan Awang Ngah kepada Wartawan BACARIA dalam satu pertemuan di sini, baru-baru ini.

"Ada beberapa remaja yang saya percaya penuntut universiti berasal dari Tanah Merah Kelantan yang belajar di Kuala Lumpur tidak balik ke kampung terus menuju ke Perkampungan Ayah Pin.

"Saya tahu melalui penumpang yang selalu dihantar ke sana. Alasan mereka ajaran yang dibawa baik," ujarnya yang juga seorang pemandu teksi.

Apabila ditanya, apa yang mereka buat di sana, pelajar-pelajar tersebut menjawab: "Untuk belajar. Apa yang dipelajari tiada di tempat lain dan di sana yang paling baik,"

"Saya berkata, adik semua dah sesat. Sayang adik orang Islam dan orang Melayu, harapan keluarga, adik belajar universiti. Takkan adik nak belajar di sini. Saya kata kalau adik nak belajar agama banyak lagi tuan-tuan guru, masjid dan sekolah-sekolah pondok. Pasal apa adik datang ke sini ?"

Kata Mazlan, apabila dia memberitahu Ayah Pin sudah keluar dari Islam dan wahyunya diperoleh di Batu Caves, pelajar itu tidak percaya dan mengatakan itu hanya khabar angin.

Apabila beliau menyuruh pelajar tersebut kembali ke pangkal jalan kerana terlibat dalam ajaran sesat, pelajar itu marah dengan beliau. Merah padam muka pelajar itu.

Mazlan menasihati pelajar itu dengan berkata dari umur pelajar itu 7 tahun hingga 20 tahun takkan ibu bapa tak ajar sembahyang, tak ajar mengaji dan tak hantar ke rumah Tok guru.

Kata pelajar itu macam mana kita nak sembahyang kita kena belajar dulu. "Takkan kita nak sembah dinding," jelas anak muda berkulit putih dan berperawakan menarik itu.

Mendengar kata pelajar itu berderau darah Mazlan. Beliau menanyakan soalan bertubi-tubi kepada pelajar.

"Kita kena belajar dulu baru kita nak kenal Tuhan, diri nak kenal nabi." jawab anak muda itu.

      

Menurut Mazlan, Kumpulan Ayah Pin sudah bertapak di kampung sejak beliau kecil lagi, pada mulanya tidaklah seteruk begini. Apabila semakin berkembang haluannya jadi tidak menentu. Dulu setakat beratib begitu sahaja.

"Sekarang dah jadi lain. Pada malam minggu tempat tersebut memang menjadi tumpuan hingga jam 3.00 pagi. Yang menyertai kumpulan ini kebanyakan anak muda Melayu dari Kuala Lumpur, Johor, Melaka dan sebagainya," katanya.

Katanya, kebanyakan mereka yang datang ke perkampungan itu bertujuan menyelesaikan masalah yang mereka hadapi lalu terjebak dengan kumpulan itu.

Dalam operasi 3 Julai lalu yang bermula jam 5.30 petang dan berakhir jam 1 pagi, polis dan pegawai penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) menahan 21 pengikut ajaran 'Ayah Pin' termasuk seorang pegawai polis berpangkat Inspektor.

Turut diberkas dalam operasi tujuh jam bermula kira-kira jam 5.30 petang itu ialah isteri keempat Ayah Pin dan seorang anggota kumpulan muzik rock popular tanah air.

Pengikut setia Ayah Pin terbabit ditahan ketika sedang mengadakan perhimpunan mingguan di markas kumpulan itu di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu.

Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan diwartakan haram pada 1997. Pada Oktober 2001 lalu. 1,000 pengikut Ayah Pin termasuk empat isterinya dikehendaki mengikuti kursus tarbiah akidah oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berikutan pengakuan Ayah Pin keluar daripada Islam (murtad).

Berikutan itu. Ayah Pin dijatuhi hukuman penjara 11 bulan oleh Mahkamah Rendah Syariah Besut.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved