Idealis Mahasiswa
 
 

Belia Dan Harapan Masyarakat


Hit = [ ]

oleh Mohd Khairul Nizam Bin Md Sharib Penulis Tamu Idealis Mahasiswa

Akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan pelbagai tragedi berdarah yang melanda anak-anak bangsa terutamanya para pelajar kita di institusi pendidikan yang ada di Malaysia. Bermula dari kronologi kisah adik Afiq yang menjadi mangsa ‘ratahan’ rakan-rakan dan seterusnya hingga perginya adik Asrin ke-Rahmatullah. Penangkapan beberapa orang remaja dan pengawal keselamatan yang menghisap dadah dalam kawasan sekolah juga menggemparkan warga Malaysia. Banyak lagi isu-isu ‘panas’ yang melanda institusi pendidikan negara yang sudah semakin tercemar ini. Keterlibatan remaja yang juga belia harapan negara ini sudah tentunya membimbangkan kita semua yang menyandarkan beribu harapan untuk mewarisi negara suatu masa nanti.

Menyentuh aspek kemasyarakatan ini, sebagai rakyat yang cintakan maruah agama, bangsa dan tanah air ini golongan belia harus menjernihkan semula peranan belia sebagai tonggak harapan masyarakat. Kerja-kerja ‘penjenamaan’ semula peranan belia negara ini seharusnya bermula dari akar umbi iaitu institusi kekeluargaan dan seterusnya di alam pendidikan. Keluarga memainkan peranan penting bagi mencorakkan anak-anak yang diberi pendidikan agama yang baik di samping elemen pendidikan teknikal dan praktikal di institusi pendidikan. Penerapan nilai-nilai murni dalam sesebuah masyarakat perlu sama-sama dijalankan bukan sekadar program ‘melepaskan batuk di tangga’ atau mengaut untung glamour semata-mata. Program-program keilmuan dan keagamaan perlu diadakan berterusan dalam sesebuah komuniti masyarakat. Persatuan-persatuan belia yang ada ‘bukalah mata’, masyarakat rindukan pengisian-pengisian nilai-nilai murni ini. Belia seharusnya melipatgandakan usaha untuk mencegah semua aktiviti kurang sihat yang melanda masyarakat kita kini.

Kerjasama dari komuniti masyarakat yang ada untuk membantu persatuan-persatuan belia yang ada menjalankan apa jua program untuk kebaikan bersama amatlah diharapkan. Prihatinnya kita kepada isu-isu yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini adalah kerana sayangnya kita kepada ummah! Kempen-kempen sayangi masyarakat dari gejala sosial perlu diadakan dari semasa ke semasa bukan sekadar apabila timbul isu-isu besar yang mengugat ketenteraman negara. Pembangunan minda dan jatidiri generasi muda yang berkualiti mampu mendepani cabaran-cabaran realiti masyarakat globalisasi yang sedang kita lalui ini. Krisis nilai dan identiti golongan muda yang terjerumus ke dalam kancah konflik diri dan moral ini perlu sama-sama dibantu oleh generasi belia hari ini. Begitu juga dengan mahasiswa yang tergolong dalam kelompok belia ini seharusnya memainkan peranan terbaik untuk sama-sama ‘turun padang’ bersama masyarakat. Kembalikan semula apa yang selalu disuarakan ‘mahasiswa suara masyarakat’.

      

Program-program mahasiswa seperti Bakti Siswa dan sebagainya perlulah menjurus ke arah pendidikan dan latihan yang memberikan input-input kepemimpinan, perubahan sikap, kemahiran, akhlak dan keilmuan. Saya merasakan bahawa di semua peringkat pertubuhan belia, mahasiswa, program-program seminar, bengkel, khemah ibadah, khidmat negara dan sebagainya perlulah dipertingkatkan dan diperkemaskan pengisiannya dari semasa ke semasa. Generasi hari ini perlu dibangunkan kembali nilai jatidirinya yang bersumberkan kekuatan nilai dan cara hidup beragama yang lahir dari pemurnian bahasa, ilmu dan budaya. Kesemuanya ini dijalinkan bersama ikatan Tauhid yang kukuh dan pengisian akal, rohani dan jasmani yang berkualiti.

Di sini, saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada RTM TV1 kerana penyiaran slot Debat Perdana yang diadakan setiap hari Ahad jam 9 mlm. Rancangan ilmiah berbentuk diskusi yang memfokuskan pembangunan belia hari ini dan masa depan seharusnya menjadi tontonan kita semua dan sama-sama mengambil intipati penting pembincangan semua panelis yang dijemput untuk merancang dan bertindak untuk agenda memperkasakan belia negara. Apa yang diharapkan, semoga perdebatan dan perbincangan bukan sekadar dalam rancangan televisyen sahaja, seharusnya setiap idea-idea yang dilemparkan disusuli dengan tindakan yang dikotakan.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved