JERTIH: Kumpulan Ayah Pin telah mula beroperasi sejak tahun 1980-an, dan merupakan satu pemangkin bagi sebuah kes mahkamah yang menjadi ujian bagi sempadan undang-undang dalam kebebasan beragama di Malaysia.
Pada 1998, empat orang ahli kumpulan Ayah Pin terang-terangan mengumumkan keluar dari agama Islam, yang menyebabkan mereka ditangkap.
Dakwaan ketuhanan Ayah Pin sendiri, termasuklah kepercayaan yang satu hari dia akan kembali sebagai Imam Mahadi tidak dapat diterima oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang melabelkannya sebagai seorang yang membawa ajaran terpesong.
Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan diwartakan haram pada 1997.
Pada Oktober 2001, 1,000 pengikut Ayah Pin termasuk empat isterinya dikehendaki mengikuti kursus tarbiah akidah oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berikutan pengakuan Ayah Pin keluar daripada Islam (murtad).
Berikutan itu, Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Mohamad, 65 dijatuhi hukuman penjara 11 bulan oleh Mahkamah Rendah Syariah Besut.
BACARIA sempat bertemu dengan Ayah Pin yang mendakwa dirinya dipilih sebagai utusan Allah untuk mengembangkan ajaran ilmu langit di sini.
Dalam pertemuan itu, Ayan Pin menegaskan yang beliau berusaha untuk menyelesaikan masalah manusia di bumi ini dan di langit, bukan menipu mereka.
"Saya penyelamat manusia. Saya menyelesaikan masalah dunia dan akhirat. Saya bukan Nabi, saya bukan Rasul. Saya penyelamat manusia," katanya bersungguh-sungguh.
Ikutilah sebahagian daripada temubual eksklusif ini.
Sejauh mana dakwaan bahawa Ayah Pin ini membawa ajaran sesat ?
Saya kini dianggap oleh orang luar sebagai sesat sebab apa yang saya buat luarbiasa pada orang lain. Ini di bawah hak asasi manusia. Beri nasihat pada orang yang tak betul, itu hak sendiri, untuk membaiki diri sendiri atau masalah jiwa. Saya cuma menolong sahaja. Saya bukan ambil upah cuma sebagai di bawah kerajaan naungan Tuhan, untuk menolong manusia yang minta pertolongan kepada saya.
Bukannya bomoh cuma membantu mereka tetapi diragukan oleh pihak berkenaan. Ini kerana saya bijak melampaui batasan, tiada yang boleh mengatasi saya.
Bagaimana merawat pesakit ?
Saya tak guna ubat, tak ada jampi, tak ada air tawar. Cuma apa yang saya kata menjadi.
Daripada mana dapat anugerah mengubat orang ?
Dari langit... Tuhan jadikan sendiri, bukan diberi anugerah. Saya penyelamat manusia, saya hanya jalankan kewajipan walaupun di mana sahaja saya berada. Saya berpandu kepada undang-undang kerajaan langit. Saya berjalan dengan tugas dari langit.
Adakah tertumpu pada agama Islam sahaja ?
Saya menyelesai masalah mana-mana agama di dalam dunia ini atau luar dunia lah. Menyelamat manusia dunia akhirat.
Mana-mana agama saya tahu, saya pandai semua undang-undang sama ada jadi atau tak jadi. Saya bukan tiruan tapi ini tugas saya.
Apa yang dimaksudkan dengan kerajaan langit ?
Sewaktu persembahan manusia dalam kayu, lembu, ulat, matahari, rupanya seperti rupa saya sendiri. Dalam bintang ke dalam bulan ke, itu rupa saya, itu yang menyatupadukan manusia. Sebab itu mana-mana agama dalam dunia akan mencari saya untuk menyelesai masalah. Meliputi setiap alam. Percaya tak percaya itu bab lain. Kepercayaan itu adalah bab diri sendiri.
| |
Maknanya, Ayah Pin ada dalam setiap agama ?
Ye lah, dalam setiap agama Ayah Pin terbit, dalam Islam sendiri pun. Yang tak ada agama pun bererti orang tu lagi baik. Dia akan memberi petunjuk kepada manusia. Agama Hindu saya sebagai dewa kayangan. Agama India saya sebagai Murugan atau Shiven.
Kalau orang Siam, dipanggil Murthu. Kalau orang Inggeris, dipanggil Sword. Ini bukan saya yang mengaku, ini adalah dari yang ke mari ke sini daripada macam-macam bangsa.
Bukan saya mengaku, orang yang kata pada saya. Saya bukan mengajar ilmu supaya orang taat pada saya, bukan.
Saya penyelamat manusia. Saya menyelesaikan masalah dunia dan akhirat. Saya bukan Nabi, saya bukan Rasul. Saya penyelamat manusia.
Kalau Ayah Pin penyelamat manusia, mengapa pihak berkuasa ganggu ?
Itu sebab pihak berkuasa tak senang hati sebab tak boleh mengatasi Ayah Pin. Saya tak marah pada sesiapa, kalau nak buat apa buat lah saya tak marah.
Walau saya habis harta benda pun saya akan urus kerajaan langit ni kerana nak menyelamatkan manusia.
Saya bekerja sahaja, yang menyelesaikan antara dia dengan Tuhan.
Boleh ringkaskan pengajaran dari langit ?
Saya tiada pendidikan di dunia, saya belajar di langit. Banyak nak huraikan pengajaran dari langit ni... undang-undang dan bangunan kerajaan di sana semua saya tahu.
Apa pandangan Ayah Pin tentang Majlis Agama ni ?
Majlis Agama ni ilmunya hanya untuk cari makan di dunia sahaja, langit macam mana dia sendiri pun tak tahu, sebab dia tak pernah pergi sana.
Kalau dia tak pernah pergi, dia tak akan aniaya saya. Saya ni taraf Mahaguru.
Kalau agama, bagaimana pula ?
Agama ni pilihan sendiri, kalau saya memaksa, saya salah. Kerajaan langit boleh pilih, buatlah amal agama macam mana pun supaya amalan itu boleh menyelamatkan diri sendiri.
Kerajaan tuhan ni hak kerajaan langitlah. Kerajaan langit ni menilai apa sahaja, cahaya ini untuk menghancurkan keburukan di dunia. Apa sahaja kerosakan saya boleh perbetulkan.
Saya akan menentang benda yang buruk. Saya akan bekerja dengan keadilan. Ajaran ini memang berpusat di langit tetapi berkembang ke seluruh dunia. Petunjuk dari langit saya akan tulis semua.
Adakah Ayah Pin ini diibaratkan sebagai utusan Allah ?
Saya tidak boleh diibaratkan... wajib !
Bagaimana urusan pentadbiran di langit ?
Mesyuarat mesti dibuat di kerajaan langit untuk cari tapak sebelum diluluskan oleh kabinet kerajaan langit. Saya tengok sendiri, saya nak cerita tak boleh.
Siapa yang menyumbang untuk mendirikan bangunan-bangunan di sini ?
Orang-orang sini.
Serbuan baru-baru ini ?
Serbuan tu diaorang mari sini, saya sudah dakwa di Mahkamah Tinggi. Dakwa Majlis, dakwa semua yang buat kesalahan tu.
Surat dakwaan dah siap, saya nak pergi ambil nanti. Tunggu tarikh perbicaraan sahaja.
Kata mereka Ayah Pin berjaya meloboskan diri ?
Saya ada, saya tak lari pun. Dunia pun tewas pada saya, langit dan bumi pun saya boleh lawan.
Apa harapan Ayah Pin pada kerajaan langit ini ?
Saya tetap akan jalankan kerja dan tugas saya.
Saya buat ni mengatasi undang-undang kerajaan sedia ada sekarang, belum ada dalam undang-undang lagi.
|