KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Ampang semalam, memerintahkan penyanyi dan pelakon Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman dan adiknya Muhamad Nazri serta Fairul Ezly Ramli untuk membela diri terhadap tuduhan bergaduh di tempat awam tiga tahun lalu.
Awie, 37, hadir ke mahkamah memakai jaket kelabu, kemeja berwarna kuning serta seluar jeans biru dituduh bersama-sama Muhamad Nazri, 31, terbabit dalam pergaduhan di tempat awam dengan Fairul Ezly, 28, abang kepada bekas anggota Kumpulan Kristal, Ainol Eqraf.
Majistret Mohamad Kamil berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka bertiga berdasarkan tiga elemen penting iaitu terdapat dua orang atau lebih bergaduh; pergaduhan itu berlaku di tempat awam; dan pergaduhan itu mengganggu ketenteraman awam.
Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lobi Kelab Oakleaf di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang dekat sini pada 1.45 pagi 26 September 2002.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 159 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 160 kanun sama yang membawa hukuman penjara satu bulan atau denda atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 8 dan 9 September depan sebagai tarikh perbicaraan membela diri itu.
Mohamad Kamil ketika membacakan penghakiman bertulisnya berkata keterangan empat orang saksi pendakwaan menunjukkan wujud elemen pergaduhan, yang membabitkan tiga lelaki secara aktif.
| |
Beliau berkata keterangan pemangku pengurus dan ketua bahagian pentadbiran dan sumber manusia Kelab Oakleaf, Shamsudin Mohammad dan Mod Farid Shafii, seorang peniaga dan kawan Fairul Ezly yang melihat kejadian itu, menyokong kuat mengatakan mereka terbabit dalam pergaduhan.
“Pada pendapat saya, keterangan-keterangan itu mencukupi untuk menunjukkan serta membuktikan ketiga-tiga orang kena saman itu terbabit secara fizikal di dalam satu pergaduhan,” katanya.
Mengulas mengenai elemen kedua, iaitu pergaduhan di tempat awam, Mohamad Kamil berkata peguam bela berhujah Kelab Oakleaf di Bukit Antarabangsa adalah satu tempat persendirian kerana ia mempunyai pagar, pengawal keselamatan dan hanya dikunjungi oleh ahli kelab yang mempunyai kad keahlian saja.
“Bagaimanapun, saya tidak menerima hujahan ini kerana Shamsudin, berkata lobi kelab itu terbuka kepada orang awam termasuk kemudahan restoran dan pub,” katanya.
Mohamad Kamil yang mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membacakan penghakimannya itu, berkata ketika pergaduhan itu berlaku, masih ada pelanggan sedang minum serta berdisco di kelab berkenaan, dan pergaduhan itu mengganggu ketenteraman awam.
Awie, Muhammad Nazri dan Fairul, selepas mendapat nasihat peguam bela masing-masing, memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi.
Awie dan Muhamad Nazri diwakili Abdul Nasir Abdul Aziz manakala Fairul Ezly diwakili Habeeb Rahman. - Bernama
|