|
KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesan ajaran ‘Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol’ dikatakan aktif semula di kawasan perkampungan di Sepang, Selangor.
Pengarah Jais, Mohammed Khusrin Munawi, berkata kumpulan itu dipercayai dianggotai lebih 200 pengikutnya, termasuk orang kenamaan.
Menurutnya, Jais sedang memantau kegiatan kumpulan itu dari semasa ke semasa sebelum mengambil sebarang tindakan undang-undang mengikut Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor 1989.
“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut dan percaya kumpulan itu aktif semula di sebuah kampung dekat Sepang.
“Kami difahamkan anak murid Ibrahim Bonjol cuba menghidupkan semula kegiatan itu dan Jais sudah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasatnya,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.
Beliau berkata, kumpulan yang lebih dikenali dengan nama ‘Ibrahim Bonjol’ dikatakan mempunyai markas khas di kampung berkenaan bagi mengadakan pelbagai aktiviti keagamaan.
| |
“Jais sentiasa mengadakan intipan dan siasatan secara berterusan ke markas kumpulan terbabit. Apa yang kami tahu ahli baru perlu mematuhi beberapa syarat, antaranya mandi limau bagi menyucikan diri, sentiasa menghormati dan mentaati guru serta selalu bersedekah kepada guru mereka,” katanya.
Mohammed Khusrin berkata, kebanyakan pengikut kumpulan berkenaan dianggotai mereka yang berusia dalam lingkungan 40 tahun ke atas dan tidak menolak kemungkinan golongan belia turut terjebak.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil mendedahkan terdapat dua atau tiga daerah yang menjadi markas ajaran sesat serta amalan khurafat sedia ada di daerah tertentu di negeri ini.
Beliau dipetik sebagai berkata, senario yang berlaku dalam ajaran sesat ini, pada mulanya disebarkan di kalangan komuniti kecil, kemudian meluas secara perlahan-lahan dan tersembunyi.
Di Selangor terdapat lebih kurang 50 ajaran sesat yang sudah dikenal pasti.
|