|
SOKONGAN kuat Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Datuk Dr. Haron Din sebagai satu-satunya calon yang layak mengisi jawatan Timbalan Presiden Pas pada pemilihan kepimpinan parti itu 3 Jun ini dipercayai ada kaitan dengan kedudukan Haron sebagai Timbalan Mursyidul Am dalam Majlis Syura Ulama Pas.
Sumber parti itu memberitahu, dengan imej Haron yang dilihat sebagai 'ulama berwibawa' berbanding penyandang jawatan itu, Senator Hassan Shukri, Menteri Besar Kelantan itu yang juga Mursyidul Am lebih menyenangi beliau.
Realitinya sejak menganggotai Majlis Syura penggal 2003-2007, kedua-dua Nik Abdul Aziz dan Haron memperlihatkan kerjasama rapat dalam memastikan dasar kepimpinan selari dengan parti.
Ini kerana meskipun Pas mempunyai Jawatankuasa Kerja Pusatnya yang dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, penentu mutlak segala keputusan bersangkut-paut dasar Pas berkaitan hukum dan syarak adalah terletak di bawah bidang kuasa Majlis Syura.
Abdul Hadi hanyalah ahli biasa majlis tersebut. Ahli majlis lain ialah Idris Ahmad, Hassan, Harun Taib, Azizan Abdul Razak, Ahmad Awang, Hashim Jasin, Dr. Sanusi Daeng Mariok, Yahaya Osman, Datuk Dr. Mahfuz Mohamad, Datuk Ishak Baharom (bekas mufti Selangor), Dr. Mohamad Mohd. Daud dan Abdul Ghani Shamsuddin.
"Kredibiliti Majlis Syura lebih tinggi kerana apa sahaja dasar yang dibincangkan oleh jawatankuasa kerja Pas perlu dibawa ke majlis berkenaan untuk kelulusan.
"Majlis Syura bertanggungjawab menjelas dan menfaksir dasar Pas selain memelihara tatatertib dan disiplin ahli Pas. Justeru, sokongan tuan guru (Nik Abdul Aziz) terhadap Haron tepat pada masanya jika diambil kira usaha pucuk pimpinan untuk memastikan Pas 'diangkat lebih tinggi' dari aspek kepimpinan ulamanya terutama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang (2007 atau 2008)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurut sumber itu lagi, kedudukan Haron di mata Nik Abdul Aziz 'agak tinggi' jika diambil kira kedudukannya sebagai orang kanan beliau dalam Majlis Syura. Sebenarnya harapan yang disandarkan oleh Menteri Besar Kelantan itu terhadap Haron begitu menggunung sejak pemilihan jawatan pada Muktamar Tahunan Pas ke-49 di Kuala Lumpur pada 2003 lagi.
Ketika itu, Haron diharap akan menyertai pertandingan jawatan Timbalan Presiden. Namun disebabkan prinsipnya ketika itu yang hanya akan menerima jawatan dalam Pas jika tidak berlaku pertandingan, harapan itu musnah setakat itu apabila beliau menarik diri di saat-saat akhir selepas menyaksikan ia melibatkan persaingan tiga penjuru.
| |
Pada pemilihan itu, Hassan yang mempunyai kelulusan bidang perundangan Islam dan Sastera Arab di Universiti Baghdad, Iraq menewaskan Datuk Mustafa Ali. Ironinya, imej Haron bukan sahaja 'cemerlang' di mata Nik Abdul Aziz tetapi juga kepada Abdul Hadi. Ahli Pas pasti mengingati betapa Haron begitu diuar-uarkan sebagai calon untuk mewakili parti itu pada pilihan raya umum 1999. Bagaimanapun, disebabkan tidak mahu mencalonkan diri kerana takut diisytiharkan muflis, selain mendakwa hanya calon simpanan serta alasan tidak pernah berkata mahu bertanding, harapan ahli Pas terpendam begitu sahaja.
Begitupun sebulan kemudian, harapan terhadap Haron masih berbunga. Abdul Hadi yang membawa Pas menerajui Terengganu pada tahun tersebut sanggup pula melepaskan kerusi Parlimen Marang yang disandangnya untuk memberi laluan kepada Haron menjadi barisan pembangkang di Dewan Rakyat. Kata Presiden Pas itu, beliau akan akur dengan kehendak pucuk pimpinan Pas sekiranya parti itu mahukan pilihan raya kecil diadakan bagi memberi laluan kepada Haron. Siapa 'pucuk pimpinan' berkenaan pada masa itu yang dimaksudkan oleh Abdul Hadi masih menjadi tanda-tanya. Namun ia dimengertikan sebagai Majlis Syura.
"Haron memang disegani di kalangan pemimpin kanan Pas. Atas sebab itu, beliau dilantik sebagai Timbalan Mursyidul Am dan bukannya Hassan meskipun Hassan juga dari golongan ulama," kata sumber itu lagi.
Pengaruh Majlis Syura dalam penentu hala tuju dan kedudukan barisan kepimpinan Pas akan datang sememangnya sukar diketepikan. Peranan majlis itu sebenarnya jauh melangkaui jawatankuasa kerja pusat Pas. Dikatakan pertemuan UMNO-Pas mengenai penyatuan Melayu terpaksa ditangguhkan pada 2001 juga disebabkan oleh 'campur tangan' Majlis Syura. Pemerhati politik termasuk kalangan ahli Pas sendiri beranggapan penangguhan itu diputuskan oleh Majlis Syura dan bukannya oleh jawatankuasa kerjanya yang diketuai Allahyarham Datuk Fadzil Noor.
Malah jawatan Mursyidul Am Pas yang mengetuai majlis itu turut disifatkan lebih tinggi daripada Presiden. Nik Aziz sendiri ketika mengulas cadangan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Annuar Musa pada 1998 supaya Pas Kelantan menaikkan beliau sebagai Presiden menggantikan Fadzil berkata, soal itu tidak pernah timbul kerana jawatan Mursyidul lebih tinggi daripada Presiden.
|