|
Akhirnya apa yang dinanti-nantikan oleh ahli-ahli Pas berhubung kedudukan Datuk Dr. Haron Din terjawab apabila timbalan Mursyidul Am Pas itu membuat keputusan menarik diri daripada pencalonan semua jawatan termasuk timbalan presiden pada pemilihan parti tersebut, 3 Jun ini.
Keputusan Haron ini sememangnya sudah dijangkakan sejak awal lagi berikutan masalah kesihatan yang dialaminya dan beliau sendiri pernah membayangkan tidak akan bertanding dalam pemilihan tersebut.
Ini sekali gus bermakna buat kali keduanya, Haron terpaksa menarik diri, kali pertama dalam pemilihan yang lalu apabila berbuat demikian selepas kompromi yang dilakukan bagi mengelakkan pertandingan merebut jawatan timbalan presiden gagal setelah penyandang sekarang, Hassan Shukri bertegas untuk bertanding.
Berikutan keputusan Dr. Haron itu ia bermakna pemilihan jawatan timbalan presiden yang merupakan salah satu posisi yang paling mendapat perhatian akan menyaksikan pertembungan tanpa calon favourite.
Hassan Shukri yang sejak awal lagi bertegas tetap akan mempertahankan jawatan itu walaupun 'dinasihatkan' menarik diri kini perlu bersaing dengan beberapa calon lain.
Setakat semalam Timbalan Presiden Pas itu dijangka akan dicabar oleh Nasharuddin Mat Isa yang sudah mengesahkan keputusan untuk bertanding, manakala Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dijangka membuat keputusannya hari ini.
Beberapa calon lain seperti Azizan Abdul Razak dan Tuan Ibrahim dijangka akan menarik diri, Azizan dikatakan mengalami masalah kesihatan dan beliau turut dikatakan tidak akan bertanding mempertahankan jawatan naib presiden manakala Tuan Ibrahim pula dilihat lebih cenderung untuk mencuba nasib bagi kerusi naib presiden.
Ini bermakna Nasharuddin yang dilihat calon favourite bagi jawatan naib presiden telah membuat keputusan yang dianggap mengejut dengan bertanding jawatan timbalan presiden.
Langkah Nasharuddin itu dilihat sebagai tindakan untuk menggantikan Haron yang menjadi harapan pucuk pimpinan parti tersebut untuk menjawat jawatan berkenaan.
Ia terbukti apabila Nasharuddin dalam kenyataan berkata, "setelah mendapat nasihat daripada beberapa pimpinan kanan parti, saya mengesahkan untuk menerima pencalonan ke jawatan timbalan presiden." Keputusan ini dibuat, kata Nasharudin, semata-mata bagi membantu presiden dalam memantapkan parti bagi menghadapi cabaran dalaman dan antarabangsa. "Selain itu diharapkan keputusan ini dapat menyegar dan menyuburkan parti selepas kelesuan ekoran kemerosotan prestasi dalam pilihan raya umum lalu di samping memanjangkan agenda parti untuk mendekatkannya dengan rakan-rakan politik dan badan-badan bukan kerajaan di negara ini," kata Nasharuddin. Ini bermakna jika Abdul Halim turut mengambil langkah yang sama untuk bertanding ia akan menyaksikan pertarungan antara tiga ulama iaitu Hassan yang dilihat ulama garis keras, Nasharuddin dan Abdul Halim dari kelompok ulama liberal.
"Walaupun pada mulanya kita berpendapat Nasharuddin tidak akan terburu-buru mencuba nasib dalam jawatan timbalan presiden kerana faktor usia namun beliau sudah pasti mendapat restu daripada pimpinan tertentu sehingga memungkinkan beliau berani membuat keputusan berkenaan," kata seorang pemimpin Pas Kelantan.
Keputusan Nasharuddin juga dilihat ada kaitan dengan kempen memujuk beliau yang dikatakan dilakukan kelmarin oleh kelompok yang mahu menyaksikan Hassan Shukri tersingkir dari kerusi timbalan presiden.
"Mereka tidak begitu menaruh harapan kepada Abdul Halim untuk mencabar Hassan berikutan tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang secara terbuka menyokong Dr. Haron sebelum ini," kata pemimpin Pas itu.
| |
Berikutan perkembangan terbaru itu juga, Abdul Halim sudah pasti berada dalam kedudukan serba salah untuk membuat keputusan sama ada hendak bertanding atau tidak.
Ini kerana kemasukkan Nasharuddin dilihat telah 'mengucar-ngacirkan' percaturan sokongan sebelum ini, apatah lagi walaupun kenyataan Nik Abdul Aziz itu dilihat satu campur tangan namun bagi sesetengah pemimpin dan ahli Pas mereka berpendapat sebagai orang yang datang daripada satu negeri bersama Abdul Halim, Menteri Besar Kelantan tersebut sudah tentu 'lebih mengenali' bekas timbalannya itu.
Nasib
"Abdul Halim boleh mencuba apatah lagi, beliau tidak bertanding jawatan naib presiden, justeru untuk survival politiknya bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan itu perlu mencabar Hassan dan menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan nasibnya," kata seorang Yang Dipertua Pas sebuah kawasan di Kelantan.
Namun begitu pemimpin Pas tersebut tidak menolak kemungkinan bahawa peluang Abdul Halim untuk menang masih ada jika gelombang untuk menyingkirkan Hassan begitu kuat pada hari pemilihan nanti dan mereka beranggapan belum masanya untuk Nasharuddin menjadi orang nombor 2.
"Bagaimanapun dalam masa yang sama kita harus ingat bahawa dalam sejarah Pas belum pernah terjadi pertarungan tiga penjuru bagi merebut jawatan timbalan presiden.
"Oleh itu jika Abdul Halim melihat kekuatan yang ada pada Hassan dan Nasharuddin tidak mustahil beliau akan menarik diri daripada bertanding," kata pemimpin Pas itu.
Jika Abdul Halim menarik diri, ia bermakna Nasharuddin akan bertembung secara langsung dengan Hassan yang dilihat semakin tidak mendapat restu daripada pucuk pimpinan untuk mempertahankan jawatannya.
Nasharuddin sememangnya dilihat pemimpin muda yang berwibawa, malah beliau dikatakan berjaya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Setiausaha Agung dengan baik.
"Kelebihan terbesar Nasharuddin ialah beliau tidak mempunyai masalah dengan pucuk pimpinan parti ini yang penting, keadaan ini berbeza dengan Hassan," kata seorang pemimpin muda Pas Kelantan ketika dihubungi.
Jawatan timbalan presiden dilihat begitu penting dalam pemilihan kali ini bersama-sama jawatan naib presiden memandangkan pemimpin yang dipilih perlu menjadi penggerak utama dalam usaha Pas bangkit semula pada pilihan raya umum nanti.
Dalam soal ini menurut seorang pemimpin Pas, Nasharuddin adalah pemimpin yang diharapkan untuk menjalankan tugas-tugas itu berbanding Hassan yang dianggap tidak begitu menyerlah membantu Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi dalam pilihan raya umum lalu.
"Hassan pula dilihat pemimpin Pas yang paling setia tetapi tidak mempunyai pemikiran strategis. Tetapi pergorbanan yang dilakukan oleh Hassan terhadap parti selama ini mungkin akan memberi kelebihan kepadanya terutama dalam meraih sokongan golongan veteran dalam Pas untuk mempertahankan kedudukannya," kata beliau.
Biar apa pun tafsirannya, jika pemilihan Timbalan Presiden Pas dalam muktamar yang lalu menyaksikan pertembungan antara tokoh ulama dengan tokoh profesional, pemilihan kali ini bakal menyaksikan pertembungan antara ulama dengan ulama - satu golongan yang sering dilihat kelompok pendamai antara puak yang bertelagah.
|