Idealis Mahasiswa
 
 

Memulihkan Wajah PAS


Hit = [ ]

sumber - pas-reform.com

Kekalahan teruk parti dalam pilihan raya lalu harus menjadi petunjuk bahawa perubahan dalam PAS sudah tidak boleh dielakkan lagi. Apatah lagi, benteng terakhir kita, yakni negeri Kelantan pun nyaris tumbang jika tidak kerana pengaruh Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Kegagalan teruk dalam pilihan raya lalu bolehlah dianggap sebagai manifestasi kepada penolakan pengundi atas pagar terhadap kepimpinan Tuan Guru Hadi Awang

Jika kita masih ingat dalam pilihan raya 1999, sungguhpun wujud faktor Anwar, namun kesederhanaan allahyarham Datuk Fadzil Noor merupakan aset penting kepada parti.

Sejak mengambil alih kepimpinan Pas, Tuan Guru Hadi gagal mengkuhkan kedudukan Pas dalam geo-politik negara ini. Di bawah kepimpinannya, Pas terlepas Pendang dalam pilihan raya kecil dan menang tipis di anak bukit.

Kegagalan beliau memberi respon yang jelas kepada pengundi atas pagar menyebabkan bukan sahaja parti kalah teruk, malah beliau sendiri hilang kerusi tradisi beliau di Parlimen Marang.

Tumpasnya calon-calon terkemuka kita seperti Datuk Hassan Ali, Tuan Haji Ahmad Awang, Dr. Shafie, Dato' Ismail Kamus, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ustaz Mohamad Sabu hanya memberi satu realiti yakni rakyat terutamanya pengundi atas pagar mahukan satu pembaharuan dalam PAS.

      

Dengan kata lain, wajah PAS sekarang sudah teruk, jelik dan tiada daya penarik. Kalau ibarat wanita, pucuk pimpinan PAS hari ini sudah tiada daya tarikan dan "seri".

Justeru kita perlukan kepimpinan baru untuk memberi nafas baru kepada perjuangan. Perjuangan parti perlu disegarkan. Pengundi sudah bosan dengan gaya kepimpinan lama terutamanya gaya konfrontasi Tuan Guru Hadi Awang. Demikian juga sebahagian tokoh-tokoh yang tumpas dalam pilihan raya lalu wajar memberi laluan kepada pemimpin baru untuk memberi kesegaran kepada parti.

Perubahan pucuk pimpinan teratas akan memberi wajah yang segar bugar kepada imej parti. Rakyat akan memberi perhatian kepada kepimpinan baru selagi ia tidak mengulangi kesilapan kepimpinan lama. Yang baru sentiasa menarik perhatian.

Untuk itu adalah jelas dan wajar sekali Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi laluan kepada Dato' Dr. Harun Din memimpin PAS yang baru. Malahan, jika perlu nama-nama seperti Datuk Hassan Ali, Tuan Haji Hassan Shukri, Ustaz Mohamad Sabu, Ustaz Mahfuz Omar perlulah memberi laluan kepada tokoh baru seperti Husam Musa, Salehudin Ayub dan Mujahid Yussof.

PAS perlu "diremajakan" (rejuvenation) jika mahu ia terus relevan dengan kehendak massa. Jika tidak kita akan menjadi fosil dalam sistem demokrasi negara.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved