|
Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Semoga segala usaha dan perjuangan kita mendapat keberkatan dari Allah SWT.
YB Dato’ Seri Presiden,
Selaku pendokong dan penggerak jemaah Islam PAS dan setelah berkecimpung selama hampir 28 tahun bersama PAS banyak pahit maung perjuangan telah saya lalui. Namun segalanya adalah satu pengalaman yang banyak mengajar sebagai satu pentarbiyah diri.
Sepanjang berada bersama PAS, saya telah di tarbiyah dan dididik untuk memberikan wala’ kepada kepimpinan tanpa berbelah bagi. Serta mentaati segala arahan dan perancangan. Namun disini sudah tiba masanya kita bersikap telus dan transparent terhadap apa yang berlaku dalam PAS.
Saya ingin memohon penjelasan daripada YB Presiden dan seluruh kepimpinan PAS akan segala persoalan yang terbuku di hati saya. Pertamanya persoalan pemergian Sdr Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa ke Majlis Pertabalan Presiden Amerika Syarikat, George Bush pada bulan Mac 2005 yang lalu. Saya difahamkan pemergian Ustaz Nasharuddin ke sana mendapat restu dan keredhaan pimpinan PAS Pusat, saya dan rakan-rakan mengharapkan satu penjelasan yang jelas dari sudut hukum dan politiknya.
Seingatan saya, sepanjang berjuang dalam PAS ini, saya berasa kesal apabila Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang bergelar Ustaz bertaraf profesional sanggup menjilat kembali ludahan beliau selama ini. Ceramah beliau dahulu yang sering mengherdik dan ‘memfatwakan’ nas-nas terhadap kebinatangan dan kejahatan Amerika Syarikat dibawah Presiden Bush seolah-olah tiada alasan lagi buat kita untuk berkompromi dan hanya jihad sahaja penyelesaian untuk kita menghadapi Bush. Betapa tergurisnya hati kami ahli-ahli PAS apabila mengenangkan saudara kita seIslam di Palestin diratah dan dicincang oleh Yahudi yang dibonekakan oleh Bush dan Barat. Kekejaman terhadap umat Islam Palestin ini tidak boleh pandang sepi oleh pimpinan PAS. Yang lebih menyayatkan hati saya adalah Ustaz Nasharuddin adalah satu-satunya pemimpin gerakan Islam yang dilihat meredhai pertabalan Bush dengan menghadirinya. Gerakan Islam yang lain seperti Ikhwan, Jamaat Islam, Hamas hatta PLO yang bersifat nasionalis sendiripun telah memfatwakan kerajaan Bush adalah kerajaan haram dan tiada sebab kita perlu menghadirinya. Tiba-tiba muncul seorang ustaz dari Parti Islam di Malaysia tersorot-sorot duduk megah di kerusi belakang tetamu ketika pertabalan syaitan Bush di Amerika Syarikat baru-baru ini. Perkara ini telah hangat diperkatakan oleh ahli-ahli terutama ketika Konvensyen PAS Wilayah Persekutuan pada awal Mei yang lalu namun saya berasa hairan bagaimana Dato' Mustafa Ali bermati-matian menafikan perkara ini di dalam Harakahdaily walaupun Ustaz Nasharuddin sendiri diam seribu bahasa bila diacukan perkara ini. Bagaimana Dato' Mustafa Ali boleh menjelaskan satu insiden yang beliau sendiri tidak berada disitu, ini sangat-sangat meragukan kami
Saya juga memohon penjelasan diatas tugas sebenar Setiausaha Agung PAS yang mana saya difahamkan oleh sumber-sumber tertentu bahawasanya Setiausaha Agung PAS mendapat gaji dari parti sebanyak RM4000.00. Saya tidak pernah mempertikaikan jumlah gaji yang diperolehi oleh Setiausaha Agung, tetapi saya merasa sedih sepanjang saya menjadi seorang Setiausaha yang tak bergaji di kawasan saya, tidak pernah saya berpeluang bertemu dengannya walaupun telah membuat temujanji. Adalah memeranjatkan lagi nasib saya ini juga dikongsi oleh rakan-rakan sejawatan dari kawasan yang lain. Sebagai seorang Islam yang sentiasa bersangka baik, perkara ini telah saya ajukan kepada kakitangan PAS di Taman Melewar, adalah sangat memeranjatkan bahawasanya kejadian dan ketidakamanahan ini rupanya telah berlaku sejak ketika Allahyarham Ustaz Fadzil lagi. Menghilang diri tidak berada dipejabat hingga adakalanya memakan minggu, kejadian ini bertambah menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini apabila beliau (Setiausaha Agung) sanggup turun berkempen bagi merebut jawatan untuk muktamar yang terdekat ini sehingga tidak datang ke pejabat selama seminggu. Perkara ini boleh disahkan oleh kakitangan Pejabat PAS Taman Melewar.
Sebagai seorang ahli, saya merasa sangat sedih apabila amanah dan gaji yang diterima oleh beliau dari yuran ahli dan sumbangan orang ramai telah diambil mudah dan di khianati dengan tidak menjalankan tugas amanah selaku Setiausaha Agung. Saya ingin bertanya kepada YB Presiden, sepanjang Ustaz Nasharuddin Mat Isa menjadi Setiausaha Agung, sudah berapa kawasan dan negeri beliau turun atas nama Ketua Pengurusan Parti. Sepanjang 7 tahun beliau menjadi Setiausaha Agung, berapa banyak kawasankah telah beliau jelajahi bagi memantau perjalanan dan gerakkerja parti? Bolehkan YB Presiden perincikan sudah berapa kali Setiausaha Agung mengadakan perjumpaan bersama Setiausaha kawasan-kawasan PAS serta Setiausaha Badan-badan Perhubungan Negeri sepanjang tempoh 7 tahun ini? Adakah YB Tuan Guru Presiden sengaja mengaburkan mata dan membisukan suara serta memekakkan telinga. Ini amanah! Pernahkan YB Presiden bertanya perkara ini, pernah YB Presiden memantau perjalanan dengan bertanya kepada kakitangan Pejabat Agung di Taman Melewar.
Penjelasan Kedua yang saya idamkan ialah berkenaan fungsi dan peranan sebenar Harakah. Baru-baru ini saya ada memohon untuk mendapatkan bantuan Tabung Kemiskinan Harakah untuk orang-orang miskin di kawasan saya. Setelah menanti selama 3 bulan, saya menghubungi Harakah untuk mendapatkan maklum-balas, malangnya saya telah dimaklumkan permohonan saya itu tidak mendapat perhatian pihak Harakah. Saya bersangka baik dengan bertanggapan bahawa mungkin ada kawasan lain yang lebih memerlukan tabung tersebut. Namun alangkan terperanjatnya saya apabila saya mendapat tahu bahawa ada pimpinan PAS telah meminjam sejumlah wang untuk melangsaikan hutangnya dengan bersandarkan setompok tanah yang tidak mempunyai sebarang nilai komersial. Pimpinan yang bernama Dato’ Hassan Ali yang bertaraf Naib Presiden ini dikatakan mendapat suntikan hampir RM200 ribu untuk tujuan tersebut. Yang lebih menyayatkan hati saya apabila tempoh tarikh pembayaran semula hutang tersebut tamat, Dato Hassan Ali gagal untuk membayar balik kepada Harakah. maka akhirnya tompokan tanah yang tiada nilai tersebut akhirnya secara rasmi menjadi milik Harakah. Saya difahamkan Harakah sendiri tidak tahu bagaimana untuk menguruskan sejankang tanah yang tidak mempunyai nilai tersebut.
| |
Pelik dan ajaib apabila Lembaga Pegurusan Harakah yang terdiri dari Dato Mustapa Ali yang juga Naib Presiden PAS, Ustaz Azizan Razak juga Naib Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa selaku Setiausaha Agung serta Dato Hishamuddin Yahaya selaku AJK PAS Pusat boleh membuat keputusan melulusan sejumlah yang sangat besar tanpa pengetahuan apatah lagi mendapat persetujuan seluruh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat kepada Dato Hassan Ali dan juga kepada Ustaz Ahmad Awang.
Saya amat meragui pimpinan PAS yang membarisi Lembaga Pengurusan Harakah terdiri dari Dato’ Mustapa Ali, Dato Hishamuddin Yahaya, Ustaz Nasaruddin Mat Isa dan Ustaz Azizan Razak yang dilihat bersikap berat sebelah dan cuai dengan meluluskan ‘bail-out’ pimpinan seperti Dato’ Hassan Ali ini. Adakah fungsi Harakah sekarang sebagai tempat pimpinan seperti Hasan Ali menyelesaikan hutang-piutang mereka. Adakah Harakah sekarang bertukar wajah menjadi sebuah institusi kewangan peminjaman PAS. Adakah Harakah sudah bertukar menjadi pusat pajak gadai pimpinan PAS. Sekiranya benar, adakah hanya pimpinan PAS sahaja yang mendapat perkhidmatan ini? Bagaimana dengan ahli? Tidakkan mereka juga mempunyai hak sama terhadap Harakah. Saya khuatir ini akan mendorong kepada kejatuhan dan kerugian kepada PAS. Saya amat khuatir Harakah akan menjadi pasport buat mereka yang berkepentingan untuk bebas dari tanggungjawab peribadi. Kes Dato’ Hassan Ali ini umpamanya sudah cukup membuktikan kepada ahli dan rakyat sikap double-standard Harakah. Difahamkan juga Dato Hassan Ali sekarang dan hari ini sedang menghadapi satu lagi masalah hutang yang sangat berat. Persoalannya, adakah Harakah sekali lagi akan menjadi ‘along’ untuk mem’bail-out’ Hassan Ali sekali lagi nanti. Tidak cukupkah ‘bail-out’ yang pertama dahulu dengan hampir ratusan ribu ringgit Begitu juga dengan Ustaz Ahmad Awang yang dikatakan telah meminjam sejumlah wang bagi permasalahan yang sama. Budaya ini perlulah dibendung dari sekarang. Hayatilah pengorbanan ahli-ahli dibawah yang sanggup berpuasa untuk parti. Janganlah ada pimpinan-pimpinan Pas cuba mengambil kesempatan keatas parti diatas pengorbanan mereka.
Perkara ketiga adalah mengenai rungutan keatas fungsi dan peranan sebenar Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr. Syed Azman. Para ahli difahamkan jawatan yang bergaji oleh parti ini ádalah merupakan satu jawatan elit parti. Semua pimpinan sedia maklum bahawa Setiausaha Politik sepatutnya menjadi penasihat dan pencatur bagi semua gerakerja Presiden PAS. Namun Sejak akhir-akhir ini, kami difahamkan jawatan tersebut telah disalahgunakan oleh Dr. Syed Azman. Di atas tiket Setiausaha Politik Presiden PAS, beliau menjaja untuk mendapat hubungan projek tertentu. Baru-baru ini apabila Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia mencapai kemenangan, beliau diatas nama Setiausaha Politik Presiden lantas mencuba bagi mengikat hubungan dua hala yang mana ianya adalah satu usaha yang baik. Namun diberitakan hubungan antara parti tersebut telah menjadi disebaliknya. Maklumat mengatakan Dr Syed Azman telah berbincang dengan pimpinan parti PKS di Indonesia untuk mendapatkan sebarang bentuk perniagaan untuk PAS di Indonesia. Lantas, atas semangat setiakawan seperjuangan, banyak saluran telah telah diusahakan oleh PKS Indonesia untuk tujuan tersebut bagi membantu PAS. Peliknya perkara ini tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat AJK PAS PUSAT. Namun Dr Syed Azman dilihat senantiasa berulang-alik ke Yakarta, Indonesia menemui pimpinan PKS, ini boleh disahkan oleh Pimpinan PKS sendiri. Perkara yang sama juga dilihat berlaku di Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP) yang mana Pengarah PPP, Dr Zulkifli Ahmad yang digaji oleh parti dilihat berjaya menukarkan imej PPP ke imej korporat PAS. Imej korporat yang dimaksudkan ialah PPP sekarang menjadi Pusat Perniagaan Peribadi. Dr. Zulkifli Ahmad telah menggunakan penjabat PPP sebagai pusat menjaja kondominium-kondominium dan Banglo-banglo mewah untuk tujuan Peribadi bersama seorang kakitangan Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Mohd Faiz, mereka menggunakan hubungan kerja dalam parti untuk perniagaan peribadi yang sedikit pun tidak dikongsi keuntungan buat PAS. Kunjungan pemimpin dan orang ramai ke Pejabat PPP di Jalan Pahang sekarang bukan atas nama PAS tetapi atas urusan perniagaan peribadi beliau.
YB Presiden, saya selaku ahli yang telah lama menginfakkan diri dalam perjuangan PAS merasa sangat sedih akan berlakunya tiga insiden pimpinan PAS yang dibayar gaji oleh parti tetapi menggunakan jawatan politik mereka untuk perniagaan peribadi serta menggunakan nama PAS untuk urusan berkepentingan diri. Saya mohon penjelasan dan siasatan rapi akan perkara ini.
Sebagai ahli dan pendokong PAS, semua persoalan yang saya ajukan ini tidak sedikit pun mempunyai satu nilai prejudis. Namum amanah dan kepentingan Islam itu yang menjadi dasar pegangan saya menyebabkan saya memohon penjelasan dari YB Tuan Guru Dato’ Presiden. Tiadalah niat dihati untuk menjatuh atau memburukkan sesiapa. Namun saya berkata berdasarkan bukti dari batang tubuh mereka yang berurusan dengan pimpinan-pimpinan PAS yang saya katakan diatas. Dan saya rela mati untuk Islam dan PAS, tapi saya tidak sanggup perkara seperti ini berlaku dalam PAS.
Akhir kalam, saya mengharapkan semua persoalan ini diperdebatkan dan pimpinan PAS perlu menjawab segala-gala persoalan yang telah saya utarakan. Penjelasan dari YB Presiden sangat penting untuk kami ahli-ahli bagi membuat penilaian dan persiapan bagi memilih bakal kepimpinan kami untuk muktamar akan datang ini. Kami berharap YB Presiden boleh memberikan ulasan tersebut didalam ucapan dasar Presiden bagi mengelakkan keraguan bagi persoalan ini timbulkan dalam perbahasan nanti.
Sekian, terima kasih. Wassalam.
|