|
Perubahan ini yang dimaksudkan ialah perubahan pucuk pimpinan khususnya tiga jawatan penting iaiitu Presiden, Timbalan dan Naib Presiden. Itu tajuk yang dibincangkan oleh banyak nangoi-nangoi yang menjadi tukang kempen calon mereka.
Tapi sayangnya nangoi-nangoi ini tidak faham politik dan menjadi pak turut kepada kroni mereka yang kononnya menawarkan diri untuk menyelamatkan PAS. Sedangkan kerja kempen yang mereka lakukan sekarang termasuk yang mewujudkan pakej atau tongkang dalam PAS sudah menunjukkan merekalah yang sedang merosakkan PAS kerana dalam kata lain mereka telah mewujudkan jemaah dalam jemaah.
Yang peliknya, yang menjadi nangoi ini bukan calang-calang orang. Ada yang sedang dan pernah pegang jawatan penting dalam PAS di peringkat pusat.
Jawatan Presiden sudah selamat. Yang heboh dan riuh rendah dibincang, dilobi sekarang ialah Timbalan Presdiden dan Naib Presiden. Calon-calon yang kononnya hendak tawarkan diri berkhidmat dalam PAS ada yang pasang kaki untuk kempen dan ada yang diam diri serah pada perwakilan.
Saya amat setuju perubahan itu penting. Tetapi perubahan yang hendak dibuat janganlah sampai mengepikan langsung orang lama macam Dato’ Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Di Kelantan angin perubahan ini sudah bertiup lama hingga wujud beberapa kem. Kem yang sedang bina tembok sekarang antara yang kuat ialah kem tiga Abdul yang galak menebas dan mencantas tunas baru dan menebang teras lama.
Antara pucuk baru yang dicantas dan sedang dicantas ialah Ustaz Zulkifli Yaakob dan Husam Musa yang dilihat oleh mereka sebagai ‘musuh’ dalam politik mereka di Kelantan.
Manakala teras yang sedang digergaji ialah Tok Guru Nik Aziz yang dilihat sebagai pelambat proses revolusi mereka. Untuk mengenepikan Tok Guru mereka menyusun silent strategi yang tidak disedari oleh kebanyakkan orang. Antaranya ialah mereka telah berjaya memerangkap Tok Guru bagi membuat kenyataan akhbar yang menyebabkan ahli PAS marah kepada Tok Guru. Antara isu yang hangat ialah sokongan terbuka Tok Guru kepada Dr. Mariah Mahmud sebagai Naib Presiden. Maka berduyun-duyunlah orang PAS marah kepada Tok Guru hingga ada yang kata Tok Guru sudah nyanyuk, tua tak larat… semua ini membuka peluang kepada group tiga Abdul menguat strategi menawan Kelantan.
Maka kroni-kroni tiga Abdul ini pasang kaki lobi Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman yang kaki ampu Raja Kelantan sebagai Timbalan Presiden. Kalau dia memang sudah tentu jawatan Pesuruhjaya PAS Kelantan selepas ini dialah ampunya dan seterusnya PAS Kelantan jawatankuasa Perhubungan yang terdiri dari tukang bodek dan sudah tentu tiada lagi Husam dan Zulkifli Yaakob yang kali lawan.
Inilah antara perkara yang dilihat oleh perwakilan dalan pemilihan kali ini. Perwakilan hendaklah matang dan jangan sekali-kali terpengaruh dengan kempen murahan oleh kaki kempen yang akan menagih undi di muktamar minggu hadapan. Perwakilan yang bijak hendaklah boleh menilai sendiri kewibawaan calon yang bertanding dalam dua jawatan penting ini kerana mereka inilah yang akan menjadi tonggak kepada mempertahan, memperkasa dan menjalankan dasar parti yang berteraskan kepada Al Quran dan As Sunnah.
| |
Kepada calon yang sudah ada cita-cita untuk menduakan dasar PAS, mereka hendaklah ditolak kerana kemenangan ini adalah kearah menswastakan PAS kepada dasar sekularisme. Buktinya dalam pilihanraya umum ke 11, mereka sudah mencipta strategi dua lapis semata-mata untuk menang dan ini sudah lari dengan konsep perjuangan PAS yang bertahan 50 tahun dengan dasar yang jelas. Kalau 50 tahun dulu golongan seperti ini sudah diberi tempat dalam PAS, saya percaya PAS sekarang sudah senasib dengan Parti Negara dan Parti Semangat 46 yang sudah berkubur tanpa nisan.
Begitu juga calon-calon ini datang dengan payung terjun dan disambut dengan permaidani merah pada tahun 1999. Mereka terjun pun kerana waktu itu sudah ada angin perubahan bahawa Barisan Alternatif (BA) akan memang melalui gelombang Gerak yang dipukul oleh Almarhum Dato’ Fadzil Noor dan Haji Mahfuz Omar selaku Ketua Sekretariat Gerak.
Adapun pada waktu kedua-dua mereka sedang pulun memukul gelombang hingga tersungkurnya BN di Terangganu dan memang banyak kerusi di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Selangor ada pemimpin kanan PAS yang buta politik memeluk tubuh tidak setuju dengan cara mereka semata-mata kerana dendam dengan Datuo Seri Anwar Ibrahim.
Pengorbanan dan kesetiaan kepada parti tanpa mengira penat lelah, sanggup mengharungi sawah dan belantara dan sebagainya juga perlu diambil kira. Sebagai pemimpin hendaklah sanggup buktikan kecekalan hingga sanggup ke penjara kerana perjuangan yang benar bukannya hanya mahu diusung dengan pelana putih, hotel lima bintang, hipokrit, tiket kapal terbang kelas VIP yang bercanggah dengan budaya serta semangat perjuangan PAS yang memerlukan banya pengorbanan dan penat lelah.
Satu perkara lagi perwakilan juga harus mengambil kira visi yang hendak dibawa oleh calon-calon jawatan penting ini. Ke arah mana mereka hendak bawa PAS relevan dengan situasi sekarang. Contohnya Mahfuz sudah berani mengemukakan visinya melalui kenyataan medianya dan calon-calon lain juga mesti berani mengemukakan visi mereka untuk dinilai oleh perwakilan yang menjadi juri professional dan bukan juri awam dalam Akademi Fantasia yang memilih calon-calon mereka hanya berpandukan kepada rupa dan gaya sedangkan suara sumbang dan tarian tempang.
Dan...visi yang hendak dikemukakan itu hendaklah selari dengan sejarah perjuangan mereka sebelum ini...sejarah yang menunjukkan keikhlasan dan pengorbanan dalam perjuangan mereka...
|