|
Surat ini bertujuan menjadi bahan renungan para perwakilan ke muktamar PAS ke-51 minggu depan. Semoga mereka dapat membuat pertimbangan sewajarnya ketika memilih pucuk pimpinan parti. PAS merupakan parti politik di Malaysia yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangannya. PAS menjanjikan kerajaan berlandaskan al-Quran, sunnah, ijmak dan qias. Oleh itu, PAS bukan sahaja pilihan politik sebahagian umat Islam, malah mereka menganggapkan wajib menyokong parti itu yang berjanji untuk menegakkan Islam.
Bagaimanapun, pencapaian PAS dalam pilihanraya lalu tidak menunjukkan ia mendapat sokongan padu orang Islam, apatah lagi dari rakyat bukan Islam. Walaupun diakui bahawa demokrasi terbatas di Malaysia dan pentas politik tempatan tidak sama rata, PAS tidak terlepas dari melakukan kesilapan dan mempunyai kelemahan.
Di sini, saya ingin menggariskan beberapa kesilapan strategik dan taktikal yang dilakukan PAS. Senarai ini bukanlah menyeluruh, tetapi memadai untuk melihatkan perubahan yang perlu diambil supaya PAS kembali sebagai sebuah parti politik arus perdana.
1) PAS tidak mengambil strategi kedudukan pertengahan. Pasca pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, melalui strategi bijak almarhum Ustaz Fadzil Noor, PAS berjaya mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat sehinggakan rakyat pelbagai latarbelakang, fahaman dan agama, sanggup ke markaz tarbiyah PAS untuk menjayakan program Gerak.
Ini menunjukkan,dengan adanya isu yang pertengahan (centrist), PAS boleh mendapat sokongan dan kepercayaan sebahagian besar rakyat. Walaupun demikian, PAS telah mengecewakan rakyat apabila, setelah mendapat kemenangan kecil, mereka terus mengambil pendekatan untuk menengahkan dasar-dasar yang terlampau ortodoks untuk penerimaan kelompok pertengahan (middle ground).
Dengan memilih untuk menggunakan istilah Negara Islam, hudud, kharaj dan sebagainya, PAS mengambil kedudukan konservatif yang jauh kekanan, mengakibatkan PAS menakutkan rakyat di kelompok pertengahan sehingga terus hilangnya kepercayaan mereka kepada Barisan Alternatif sebagai pilihan politik yang berkredibiliti.
2) PAS salah anggap kekuatan sendiri. PAS menang besar pada 1999 tetapi Umno sangat lemah ketika itu dan isu DSAI menyebabkan ramai pengundi tradisi Umno tidak mengundi atau memilih pembangkang. Bagaimanapun, kelompok ini lazimnya kembali mengundi Umno dan itulah yang berlaku pada 2004.
PAS sebaliknya begitu yakin dapat menawan Kedah, Perlis, Pahang dan Selangor pada 2004 sehingga soal calon menteri besar menjadi bahan mulut di Kedah, Selangor dan Pahang. Jika PAS bersikap tawaduk dan realistik, sudah pasti tumpuan yang lebih akan diberi kepada Kelantan dan Terengganu serta dapat menghidu strategi dan taktik Umno di sana.
3) PAS telah beberapa kali tersilap langkah beberapa kali, terutama apabila mereka termakan umpan Dr Mahathir Mohamad semasa beliau mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam. PAS sepatutnya mengambil sikap mementingkan dakwah sebelum mengenengahkan hukuman sesuai dengan pendekatan taddaruj (gradualism). Melalui pendekatan dakwah yang mesra dan mendidik, rakyat bukan sahaja lebih senang menerima risalah PAS, malah mereka akan dapat menilai hipokrisi Umno.
| |
4) PAS mengambil pendirian dasar yang monolitik. Jika kita lihat Dokumen Negara Islam yang kononnya merupakan dasar pemerintahan negara di bawah PAS, ianya memberi gambaran bahawa kemampuan PAS untuk memikirkan dasar adalah terlalu terhad. Penggunaan hujah perlaksanaan hudud sahaja tidak mencukupi untuk memberi penyelesaian kepada permasalahan yang lebih membimbangkan rakyat seperti isu berkaitan ekonomi.
Sehendaknya, PAS mengambil tindakan supaya pemimpin dan golongan pemikir dalam parti itu mengeluarkan dokumen dasar yang lebih menyeluruh serta realistik supaya PAS dan dakwah Islam dapat diarusperdanakan dan rakyat rakyat dapat mendengar pemimpin PAS memberi cadangan dasar, ulasan serta hujah yang dapat diterima oleh pemikiran mereka.
5) PAS silap dengan anggapan bahawa kepimpinan ulama adalah yang terbaik dan boleh diterima rakyat. Memang diakui, pemimpin PAS seperti Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah manusia yang baik, jujur dan ikhlas. Tetapi PAS juga perlu sedar, mereka tidak berkemampuan untuk mengurus dan mentadbir dalam era moden dan globalisasi.
Inilah yang menyebabkan tercetusnya imej buruk pentadbiran kerajaan negeri di bawah PAS. Memang pentadbiran PAS jauh lebih ikhlas dan bersih dari pentadbiran Umno, tetapi keberkesanan pentadbiran PAS adalah terhad. Lihat saja selepas 15 tahun kerajaan PAS di Kelantan, mereka masih lagi tertakluk kepada karenah birokrasi dan istana. Lebih teruk lagi, amalan jalinan politik dan perniagaan semakin menjadi-jadi.
Jika Tok Guru dan Tuan Guru sebagai ulama yang disayangi dapat membezakan pendirian mereka daripada golongan ortodoks yang melemaskan parti, pasti PAS dapat melepaskan diri daripada dogma yang mengikat parti kepada era lampau yang tidak konsisten dengan realiti terkini.
Mereka dapat melakukan ini dengan menyokong pembukaan ruang kepada generasi pelapis ulama dan profesional yang progresif. Malah yang taat kepada pimpinan Tok Guru dan Tuan Guru adalah golongan ulama dan profesional yang progresif ini. Mereka yang ortodoks dan regresif terlalu sibuk berpolitik untuk mempertahankan status ‘ulama’ mereka dan kepentingan ekonomi mereka, sehingga sanggup mengenepikan hasrat Tok Guru dan Tuan Guru.
Saya berharap perwakilan PAS akan mengambil pendirian pragmatik dan memberi mandat supaya pemimpin yang mempunyai ciri dan watak yang mudah diterima rakyat umum, di ke depankan dan menerajui parti ke arah arus perdana politik tanahair.
|