Idealis Mahasiswa
 
 

Usul undi tidak percaya kepada Presiden PAS


Hit = [ ]

sumber - Malaysia-today

Bismillahhi Rahmani Rahim

Saudara Pengerusi Tetap, YAB Mursyidul Am dan Ahli-Ahli Majlis Syura Ulama, YB Presiden, YB Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ahli-Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, para perwakilan dan pemerhati muktamar Parti Islam SeMalaysia PAS.

Terlebih dahulu suka saya mengingatkan diri saya dan diri tuan-tuan dan puan-puan dengan firman Allah swt di dalam surah asSaf Ayat 4 yang bermaksud "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela AgamaNya, dalam barisan yang teratur rapi seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh."

Imam Al Qurtubi di dalam tafsirnya sewaktu memberi penafsiran kepada ayat tersebut menyatakan "Allah swt mengasihi orang-orang yang berjihad memperjuangkan Agama Allah di semua lapangan dengan penuh ketrampilan dan penghayatan mengikut peranan masing-masing dengan teguh, kukuh, tidak mudah patah semangat, dan tidak melarikan diri dari medan."

Pas yang ditubuhkan pada tahun 1951 telah mengalami pasang surut di dalam perjuangan. Kalah berganti menang, menang berganti kalah. Kita bersyukur sewaktu menang dan kita bersabar sewaktu kalah namun kekalahan demi kekalahan yang kita tidak terima tidak menjadi pengajaran bahkan kekalahan kita pada tahun 2004 adalah suatu kekalahan yang meranapkan Pas kerana di antara kira terlalu ramai yang angkuh dan ego. Lebih ramai yang menyalahkan pihak luar tanpa menyedari kelemahan dan mengakui kelemahan diri kita.

Setiap kali kita kalah kita akan mengatakan pihak lawan main kotor, pengadil berat sebelah, media massa memanipulasi kenyataan kita. Seolah-olah tidak ada secebis pun kesilapan di pihak kita. Seolah-olah kita adalah manusia maksum yang bersih daripada salah dan silap.

Sehingga hari ini penyokong Pas di peringkat Cawangan tidak didedahkan dengan post mortem yang dilakukan bagi menganalisa punca kita kehilangan kuasa di Terengganu dan punca kenapa leher kita berada di tali gantung di negeri Kelantan, menunggu saat pelantar jatuh maka terjerutlah leher kita.

Apa yang pihak cawangan dan pihak kawasan sedar, pemimpin terlalu bongkak dan pada yang sama terlalu bodoh. Puncanya kita memilih pemimpin yang terdiri daripada golongan yang hanya pandai berceramah mengkritik dan menyalahkan parti lawan tetapi tidak mempunyai ilmu politik dan buta kayu di dalam membuat kenyataan.

Apakah tidak bebal namanya jika sewaktu kempen pilihan raya kita mengatakan Perdana Menteri tidak menjadi imam solat jenazah ibunya maka dengan itu Perdana Menteri kurang keislamannya?

Tidak bahlulkah namanya kita memilih untuk menghentam DAP dengan mengatakan pemimpin mereka adalah ubat yang sudah luput tarikh sedangkan sasaran kita bukannya DAP. Apakah cerdik jika kita mengatakan kita kalah kerana orang-orang yang tinggal di kawasan setinggan, pekerja kilang, serta peniaga pasar malam tidak mengundi kita dan kita mendakwa siaran berita RTM hanya sesuai untuk orang-orang yang disebutkan itu selain daripada orang yang buta huruf?

Tidak bangangkah kita apabila tidak keluar sepatah haram kenyataan pemimpin kita bagi mengulas laporan suruhanjaya Penambahbaikan polis walhal ia adalah satu isu besar yang boleh dimanfaatkan sehingga pilihan raya umum 2008.

Itu hanyalah satu contoh kecil tentang bagaimana pemimpin yang kita pilih adalah pemimpin yang lebih sibuk untuk bergaya dengan kereta mewah walhal masih terlalu banyak penyokong kita yang hidup secara kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang dan pada masa yang sama menabung bagi menguatkan parti. Pemimpin menjadi parasit dan daun dedalu, hidup atas kesusahan ponyokong bawahan. Program di peringkat cawangan atau kawasan hanya dihadiri jika dijemput dan bukannya pihak pemimpin atasan turun mencemar duli menemui penyokong.

Sewaktu kita diberi kuasa di Terengganu kita bertukar menjadi Shah Iran yang tidak menyangka takhta merak kayangannya akan jatuh disepak oleh rakyat. Kita sombong dengan pihak media dan kalau boleh tidak mahu diwawancara oleh akhbar kerana tidak mahu tembelang kebodohan kita terhadap isu semasa diketahui oleh akhbar.

      

Kita menyangka dengan membahagi-bahagi lesen – lesen sementara menduduki tanah kerajaan, rakyat akan terus menyokong kita walhal rakyat Terengganu menjadi cuak dan muak apabila pemimpin di semua peringkat daripada yang berpejabat di Wisma Darul Iman hinggalah kepada Jawatankuasa Syura Rakyat sibuk untuk mengikis setiap inci hasil mahsul negeri Terengganu sehingga ada cawangan parti kita membentangkan dalam mesyuaratnya penyata pendapatan daripada hasil balak.

Kita di Terengganu waktu itu seolah-olah buta dengan penderitaan rakyat maka tidak ada apa yang perlu dikesalkan melainkan kebebalan pemimpin yang merasakan sistem demokrasi adalah sistem terbaik buat mereka. Tidak, sistem demokrasi bukan terbaik buat pemimpin tetapi terbaik bagi rakyat yang akan mengangkat kita jika mereka melihat kita boleh dipercayai dan akan menyepak kita jika mereka melihat kita hanya sibuk membuncitkan perut sendiri.

Sidang perwakilan muktamar sekelian.

Sebahagian besar daripada kita tidak berada di muktamar kali ke 28 pada 23 Oktober 1982. Muktamar bersejarah yang di adakan di balai Seminar Dewan Bahasa dan Pustaka itu menjadi titik tolak kewujudan kepimpinan ulama di dalam Pas. Pada muktamar tersebut kita memilih untuk menolak Yang Dipertua Agung Pas Datuk Asri Hj Muda hanya kerana beliau tidak mendengar suara orang-orang muda di dalam Pas.

Apakah tidak mungkin pada hari ini sekali lagi kita membuat keputusan untuk memberi isyarat kepada Presiden untuk menyedari bahawa setelah rakyat Terengganu menolak cara berpolitik beliau sehingga Pas hilang kuasa di Terengganu, dan beliau sendiri tewas di Parlimen Marang selain hampir tewas di Rhu Rendang maka ahli-ahli Pas meminta dengan penuh takzim, dengan penuh hormat agar beliau menurut jejak langkah orang-orang yang bermaruah iaitu mengundurkan diri apabila nampak arus untuk menolak beliau meninggalkan jawatan Presiden.

Apakah susah sangat bagi beliau untuk meninggalkan jawatan ini sedangkan telah terbukti cara kepimpinan beliau yang memperlecehkan orang tidak lagi diterima dan tidak lagi releven pada masa kini?

Politik menyalahkan orang dan politik melabelkan pemuda sebagai buih-buih pepsi cola bukanlah politik orang tua yang cerdik.

Pencalonan dan pemilihan pada penggal ini berjalan dengan penuh hipokrit. Cadangan Mursyidul Am tidak diendahkan. Presiden berlepas tangan asalkan dirinya tidak ditentang, kempen-kempen dibuat secara tidak bertanggungjawab. Parti bukan lagi menjadi sebuah bangunan yang kukuh bahkan tidak lebih daripada menjadi dangau menunggu durian luruh di dusun.

Maka:

Demi memandang kepada kegagalan Presiden hari ini, gagal dalam memenangi hati rakyat dan gagal dalam mengurus parti

Demi menyelamatkan Parti Islam Se Malaysia sebagai sebuah jamaah Islam yang ulung di negara ini dan di kenali ramai di dunia Islam

Demi mempertahankan konsep kepimpinan ulama yang telah diabaikan kerana ulama sendiri gagal berperanan sebagai ulama warasathul anbiya’

Maka:

Adalah diusulkan satu undi tidak percaya dikemukakan kepada Presiden Pas YB Haji Abdul Hadi bin Awang dan muktamar selaku badan pemutus tertinggi kepada parti pada muktamar kali ke 51 yang diadakan di Pusat Tarbiah Pas Kelantan membuat ketetapan untuk melantik Ustaz Mujahid bin Haji Yusof Ar Rawi sebagai Presiden Pas bagi penggal 2005/2007.

Sekian, wassalamualaikum wrt wbt.

ALLAH HU AKBAR ALLAH HU AKBAR ALLAH HU AKBAR

DI BAWA OLEH WAKIL PEMUDA





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved