Idealis Mahasiswa
 
 

Benarkah PAS berubah ?


Hit = [ ]

oleh: Zulkiflee Bakar (WARTAWAN UTUSAN)
sumber - Utusan Malaysia

Mungkin sudah menjadi tradisi dalam Pas apabila akan berlangsung muktamar parti itu maka bergemalah suara-suara dan desakan supaya ia dijadikan pentas untuk melakukan perubahan dalam parti berkenaan.

Namun begitu, seruan-seruan itu hanya tinggal kenangan sahaja apabila muktamar berakhir, kesudahannya Pas terus kekal dengan identiti lamanya dan pendekatan usang yang dilihat tidak mampu mengembangkan parti itu untuk menjadi sebuah parti yang diterima oleh semua kelompok masyarakat.

Pencapaian Pas dalam pilihan raya umum lalu telah menjadi bukti bahawa Pas hanya diterima oleh sekelompok sahaja masyarakat terutamanya orang Melayu di Kelantan.

Di Terengganu, Pas di bawah pimpinan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya mampu bertahan sepenggal sahaja manakala impian untuk menawan Kedah, Pahang dan Perak hanya tinggal dalam lipatan sejarah.

Semua ini telah membuktikan bahawa Pas sama ada hendak diakui atau tidak masih ditakuk lama dan lebih malang lagi seruan untuk berubah itu sekadar hanya menjadi laungan sahaja.

Kini laungan untuk berubah bergema lagi menjelang muktamar tahunan parti ke-51 pada 3 Jun ini di Kota Bharu, Kelantan. Tiada sesiapa pun dapat memastikan apakah muktamar kali ini mampu mengubah wajah Pas atau tidak.

Mungkin ramai yang menganggap bahawa Pas sedang menuju ke arah perubahan jika ia merujuk kepada senarai pencalonan bagi merebut jawatan tertinggi parti itu.

Apatah lagi, berdasarkan senarai berkenaan terlihat dengan jelas bahawa terdapat arus yang kuat untuk menyaksikan kepimpinan Pas dikuasai oleh golongan muda dari kelompok profesional atau ulama liberal.

Namun begitu apa yang perlu difahami ialah tidak semua kawasan (bahagian) Pas menghantar pencalonan, sebaliknya memutuskan untuk menentukan pendirian mereka ketika muktamar.

"Ini bermakna pencalonan tidak boleh dijadikan ukuran, sebaliknya kita harus melihat kepada undi untuk menentukan sama ada arus perubahan itu benar-benar melanda Pas atau tidak," kata seorang pemimpin Pas yang turut bertanding dalam pemilihan kali ini.

Sasaran

Kalaulah pencalonan diambil kira sudah tentulah ia tidak menunjukkan apa-apa perubahan memandangkan Abdul Hadi kekal sebagai presiden, sedangkan ketika muktamar terdahulu kepimpinan bekas Menteri Besar Terengganu itu menjadi sasaran berikutan prestasi buruk Pas dalam pilihan raya.

Justeru ramai pemimpin Pas yang ditanya pandangan mereka berhubung langkah yang perlu dilakukan bagi menunjukkan parti itu benar-benar bersedia untuk berubah ialah pemilihan kepimpinan yang bakal berlangsung pada 3 Jun nanti.

"Setelah Abdul Hadi kekal, ahli-ahli Pas perlu memastikan terjadi perubahan yang signifikan di peringkat lain seperti timbalan presiden, naib pesiden dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat.

"Jika kelompok lama yang dianggap tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan dikekalkan sampai ke bila pun Pas dilihat hanya beretorik sahaja dalam soal perubahan," kata seorang pemimpin Pas.

      

Berikutan itu mereka melihat pertarungan bagi jawatan timbalan presiden dan naib presiden menjadi penentu sama ada ahli-ahli Pas sudah benar-benar bersedia melakukan perubahan atau membiarkan imej lama terus kekal sehingga memungkinkan parti itu ditolak oleh rakyat.

Dalam soal ini, ada pemimpin Pas berpendapat kedua-dua jawatan itu secara menyeluruhnya perlu dikuasai oleh muka baru yang diharapkan akan menjadi peneraju kepada perubahan parti seperti mana dikehendaki oleh ahli-ahli dan penyokong Pas.

"Pemilihan kali ini amat penting kerana ia akan menjadi penentu sama ada Pas akan berubah atau tidak, kalau kita masih meletakkan barisan lama dalam saf kepimpinan sampai ke bilapun Pas tidak akan berubah kerana ia ibarat `kereta baru yang menggunakan enjin lama' "Oleh itu pemimpin-pemimpin muda seperti Nasharuddin, Husam Musa, Dr. Siti Mariah Mahmood dan Mahfuz Omar perlu diberi peluang kerana mereka ini dilihat kelompok yang mampu diterima oleh masyarakat di semua peringkat terutamanya golongan muda," kata seorang penyokong Pas dari golongan profesional.

Menurut penyokong Pas itu, masanya sudah tiba untuk parti tersebut mengubah imejnya dari sebuah parti yang dilihat `penuh dengan keagamaan' kepada sebuah parti global sesuai dengan perkembangan semasa tanpa meminggirkan perjuangan Islam.

"Pas tidak boleh lagi memperjuangkan dasar-dasar yang dilihat terlalu ekstrem atau ortodoks yang sukar diterima dan difahami oleh golongan pertengahan.

"Pas bukannya pertubuhan Islam tetapi parti politik yang mengharapkan sokongan semua rakyat dalam usaha memperjuangkan Islam, bagaimana kita hendak menegakkan Islam kalau sokongan yang diterima hanya di sekitar lingkungan kita sahaja," katanya.

Matlamat

Sama ada pemimpin dan ahli Pas hendak mengakui atau tidak, kegagalan Pas untuk meraih sokongan daripada rakyat adalah berikutan wajah atau imej yang dipaparkan oleh pemimpin parti berkenaan selama ini.

Rakyat sudah bosan melihat sikap pemimpin Pas yang sering sahaja menganggap apa juga yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak betul.

Tetapi dalam masa yang sama Pas sendiri tidak berkeupayaan untuk mengetengahkan satu dasar perjuangan yang jelas atau membentangkan rakyat apa sebenarnya matlamat mereka.

Malah dalam soal calon wanita pun mereka tidak konsisten dan berbeza berpendapat antara mereka, ada yang kata boleh dan ada pula yang kata sebaliknya.

"Semua ini mengelirukan rakyat, Pas perlu jelas dalam soal-soal seperti ini dan bukannya membuat keputusan berdasarkan kepada kepentingan politik semata-mata," kata seorang pemimpin Pas Kelantan.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved