|
DUA orang itu - seorang dari Terengganu dan seorang lagi dari Pahang - nama mereka 'Umno'. Seorang Ahmad Umno Subajita Uzir, berusia 34 tahun manakala yang seorang lagi, Wan Mohd Umno @ Awang Wan Mohd, 58.
Ditemui di PWTC sempena ulang tahun parti UMNO ke-59 baru-baru ini, kedua-dua Ahmad Umno dan Wan Mohd Umno telah membuka satu rahsia.
Selama ini, memang ada cubaan daripada pihak pembangkang terutama PAS setiap kali menjelang pilihan raya berusaha mempengaruhi mereka supaya keluar daripada UMNO.
"Mujur saya sedar niat jahat mereka. Katakanlah saya terpengaruh dengan dakyah mereka, nanti dijajanya satu negara, 'tengok tu... orang yang nama Umno pun dah keluar UMNO.
"Saya menjadi ahli dan menyokong UMNO bukan semata-mata kerana nama saya Umno. Saya sokong parti keramat orang Melayu ini kerana telah terbukti rekod cemerlangnya dalam memperjuangkan kemerdekaan dan telah mentadbir negara kita dengan baik," kata Umno. ahli UMNO dari UMNO Bahagian Kemaman.
Diminta bercerita mengenai latar belakang keluarga, Umno berkata, sekalipun negerinya pernah diperintah oleh PAS dan berada dalam persekitaran pengaruh parti pembangkang itu yang agak kuat pada satu ketika, namun tidak seorang pun dari kalangan ahli keluarganya yang cenderung untuk menjadi ahli atau menyokong parti itu.
| |
"Kami sekeluarga memang bulat sokong UMNO. Dah lebih 50 tahun UMNO berbakti, buat apa nak perhati yang lain lagi ? Kita parti yang dikagumi dunia, tak usahlah ragu-ragu UMNO adalah parti yang paling baik untuk mentadbir negara kita," tegasnya.
Ahmad Umno kemudian berkata: "Kalau bapa saya sendiri ragu-ragu, takkan dia nak letak nama parti keramat ini sebagai nama anaknya ? Bukan semua orang sanggup buat begitu. Saya bangga dengan keberanian dan keyakinan bapa dan ibu saya. Sebagai bukti, saya akan terus sokong UMNO sampai bila-bila."
Menyara keluarga dengan menjalankan perniagaan sendiri di Cherating, Pahang, Ahmad UMNO hadir di PWTC 11 Mei lalu - genap 59 tahun selepas penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru - ditemani ibu, isteri dan dua anaknya.
Ibu Umno, Esah Che Hamat, 78, berkata nama Ahmad Umno diberikan oleh Tun Abdul Razak.
"Arwah suami makcik (Uzir bin Mahmud) berkawan baik dengan Tun. Semasa Tun melawat Terengganu, kebetulan makcik baru bersalin dan anak pun belum diberi nama. Bila hal itu diberitahu kepada Tun, beliau langsung mencadangkan nama Ahmad Umno Subajita," imbasnya.
Sempena majlis ulang tahun UMNO. Ahmad Umno dan Wan Mohd Umno telah diberi penghormatan untuk menyerahkan Watikah Perisy1iharan UMNO kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang kemudian mengisytiharkan tarikh 11 Mei sebagai Hari UMNO.
"Kalaulah tidak kerana semangat kuat dan keyakinan yang jitu kepada parti orang Melayu ini, sudah tentu kami tidak akan mendapat peluang dan penghormatan yang tinggi seperti ini," kata Wan Mohd Umno sambil tersenyum bangga.
|