|
Pihak pendakwa telah mengemukakan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang membebaskan tujuh pelajar universiti – ISA 7 – daripada tuduhan mengadakan perhimpunan haram empat tahun lalu.
Notis rayuan tersebut difailkan tiga hari selepas mahkamah majistret tersebut membuat keputusannya pada 22 April lalu, demikian menurut surat dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai pendaftaran rayuan pihak pendakwa tersebut.
Salinan surat tersebut yang bertarikh 2 Mei turut diterima oleh pelajar-pelajar terbabit baru-baru ini.
Pada 22 April lalu, mahkamah majistret itu membebaskan pelajar ISA 7 itu selepas mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan mereka menganjur dan mengambil bahagian dalam demonstrasi anti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di luar Masjid Negara di Kuala Lumpur pada 8 Jun 2001.
Majistret Mohd Khairi Haron juga berkata, pihak pendakwa gagal membuktikan yang ianya satu perhimpunan haram.
Ketujuh-tujuh pelajar terbabit ialah Rafzan Ramli, Helman Sanuddin, Wan Sanusi Wan Mohd Noor, Khairul Amal Mahmud, Nik Noorhafizi Nik Ibrahim, Ahmad Kamal Abdul Hamid dan Zulkefle Idris.
| |
Mahu Sambung pengajian
Mereka dihadapkan ke mahkamah pada 19 Julai 2001 mengikut Seksyen 27 Akta Police Act. Mereka mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut, yang jika sabit kesalahan, membawa hukuman maksimum dua tahun penjara, denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sejak itu, pengajian mereka di universiti masing-masing telah digantung. Berikutan itu, mereka mengemukakan rayuan kepada Kementerian Pelajaran dan menterinya ketika itu, Tan Sri Musa Mohamed berkata, mereka boleh diterima semula dengan syarat memohon maaf, tetapi mereka enggan berbuat demikian.
Difahamkan, ada antara mereka yang telah menulis kepada pihak universiti masing-masing, memaklumkan yang mereka telah dibebaskan, dan mahu menyambung semula pengajian mereka.
Bagaimanapuan, sehingga ini mereka belum mendapat sebarang jawapan dari pihak universiti berkenaan.
Badan-badan pelajar dan hak asasi manusia mengalu-alukan pembebasan pelajar ‘ISA 7' dan menggesa kerajaan dan pihak universiti terbabit supaya segera membenarkan mereka menyambung semula pengajian masing-masing.
|