Idealis Mahasiswa
 
 

Calon Naib Canselor Universiti Utara dicari


Hit = [ ]

oleh: SADATUL MAHERAN ROSLI
sumber - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 25 Mei - Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Shafie Mohd Salleh telah mengarahkan kesemua Timbalan Naib Canselor (TNC), dekan dan profesor di Universiti Utara Malaysia (UUM) menghantar keterangan diri bagi proses pemilihan untuk mengisi kekosongan jawatan Naib Canselor (NC).

Menurut sumber, Pemangku Naib Canselor UUM, Prof. Madya Dr. Abdul Razak Chik telah diminta untuk mengumpul biodata berkenaan sejak sebulan lalu dan perlu menyerahkan kepada Shafie dalam tempoh tiga hari.

Katanya, setakat ini siapa yang akan mengganti Allahyarham Prof. Datuk Dr. Ahmad Fawzi Mohd. Basri masih menjadi tanda tanya di kalangan warga UUM.

"Ada dua kemungkinan calon yang bakal menjadi NC UUM yang baru iaitu sama ada dari dalam atau luar universiti.

"Namun sebulan yang lalu, menteri telah mengarahkan 27 orang pegawai kanan iaitu tiga orang berjawatan TNC, dekan (13) dan profesor (11) di UUM menghantar biodata diri masing-masing.

"Bagaimanapun segala keputusan mengenai siapakah akan menjadi NC UUM yang baru terletak pada bahu Menteri Pengajian Tinggi kerana beliau sahaja yang mempunyai kuasa dari segi perundangan untuk memilih," katanya pada Utusan Malaysia di sini hari ini.

      

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai siapakah yang bakal menjawat jawatan NC UUM yang baru.

Isnin lalu, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fawzi meninggal dunia di Hospital Selayang akibat komplikasi jangkitan kuman dalam darah yang mengakibatkan tekanan darah ke jantung menurun (septicaemic shock) setelah empat bulan dimasukkan di hospital.

Menurut sumber, mengikut sejarah, hampir kesemua NC UUM terdiri daripada orang luar universiti kecuali Ahmad Fawzi.

"Justeru itu, kami tidak hairan jika pilihan kali ini datangnya dari calon luar juga.

"Kami menerima dengan tangan yang terbuka siapakah pilihan Shafie, apa yang penting ialah beliau mampu menguruskan UUM dengan cemerlang mungkin," katanya.

Tambah beliau, kelayakan untuk menjadi calon NC adalah seseorang itu mestilah terdiri daripada seorang profesor dan tidak diragui kesetiaannya kepada pemerintah.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved